Wednesday, July 5, 2017

3849) PERSATUAN PENGGUNA TIDAK SETUJU LIBERALISASI INSURANS KENDERAAN - UTUSAN MALAYSIA - 5/7/2017

utusan malaysia 5.7.2017
Kuala Lumpur 4 Julai - Perkembangan liberalisasi insurans kenderaan turut mengundang pelbagai reaksi ekoran langkah itu akan memberi impak kepada lebih 27.61 juta kenderaan berdaftar di Malaysia.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, langkah memansuhkan tarif insurans kenderaan ini membebankan pengguna kerana mirip kepada polisi insurans kesihatan apabila mengenakan caj mengikut aspek yang ditetapkan oleh syarikat.
Katanya, tidak mustahil pengguna akan memilih untuk tidak mendapatkan perkhidmatan insurans berikutan aspek baharu yang ditetapkan oleh syarikat insurans yang amat menyusahkan.
Pengiraan baharu harga insurans ini termasuk sikap pemandu, jadual penyelenggaraan kereta bagi pemandu kenderaan, tempat meletak kenderaan dan sistem anti pencuri yang dipasang pada kenderaan.
"Jangan kelirukan pengguna dengan menyatkan polisi ini bersifat persaingan terbuka kerana nyata pengguna yang akan ditindas.
"Kenderaan adalah harta mudah alih dan berbeza dengan insurans rumah dan kesihatan justeru BNM perlu kaji dengan teliti sebelum melepaskan tarif tersebut. Hal ini kerana, kita masih lagi belum bersedia untuk mengguna pakai formula baharu ini kerana perkara ini diputuskan secara mengejut,"ujarnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan mencadangkan tempoh percubaan dikenakan bagi skim insurans kenderaan baharu tersebut supaya semua pihak terlibat termasuk pengguna dapat memberi input mereka mengenai keberkesanan sistem terbabit kepada kerajaan khususnya BNM.
Beliau mencadangkan agar tempoh percubaan dibuat enam bulan hingga setahun iaitu sehingga tempoh pembaharuan insurans supaya pihak kerajaan dapat membuat semakan semula jika terdapat kekurangan dalam skim baharu tersebut.
"Skim baharu sepatutnya adalah lebih baik dan tidak membebankan golongan tertentu. Bagi memastikan skim baharu ini berjaya, input perlu ada dari semua pihak dalam pasaran.
"Ini supaya pelindungan kepada pengguna terjamin dengan skim baharu ini dan syarikat insurans tidak melibat kepada keuntungan sahaja,"jelasnya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...