Wednesday, July 19, 2017

3918) "TUDUHAN PPIM TERHADAP POLIS TIDAK BENAR" - HARIAN METRO - 19/7/2017

harian metro 19.7.2017
Kuala Lumpur: Polis nafi tidak mengambil tindakan berhubung aduan kegagalan pemilik kereta menuntut semula kereta dipajak kepada sebuah syarikat, AGR Trade Sdn Bhd seperti didakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana setiap laporan diterima akan melalui proses siasatan yang adil dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Katanya, negara ini mempunyai undang-undang dan semua lapisan masyarakat tidak kira badan bukan kerajaan (NGO) mahupun polis sendiri perlu mematuhinya.
“Tuduhan (PPIM) mengatakan polis tidak siasat, tak peduli laporan adalah tidak benar. Semua rakyat tidak kira siapa pun mereka termasuk polis kena ikut undang-undang.
“Bila ada laporan, kita cari saksi, rakam percakapan... kita kena jalankan siasatan, kumpul keterangan sebelum memajukannya siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara untuk mereka buat keputusan seterusnya sama ada nak tuduh (di mahkamah) atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sambulan Hari Raya peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.
Pada masa sama turut menyelar PPIM yang mengambil tindakan sendiri dengan menceroboh ke syarikat berkenaan tanpa merujuk kepada polis.
Katanya, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia di luar bidang kuasa mereka sebagai sebuah NGO.
“Kita tidak boleh buat macam samseng, serbu sebarang tempat tanpa alasan.
“Kita juga ada terima laporan terhadap mereka dan kita akan siasat tindakan mereka itu yang tidak mengikut undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Khalid mengakui banyak laporan dibuat terhadap pemilik syarikat itu yang dikenali sebagai Datuk Kabi dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Kita mesti siasat betulkah seperti mana dalam laporan, apa kesalahan mereka kena siasat. Ini kerana banyak perjanjian di antara orang yang menyewakan kereta mereka dengan syarikat itu, jadi kita kena kaji semua,” katanya.
Pada 11 Julai lalu, kira-kira 30 pemilik kereta dengan beberapa aktivis PPIM dikatakan memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat itu dengan tujuan mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga berlaku kekecohan.
Susulan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit membuat satu laporan polis pada hari sama.
Snapshot
https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/07/245793/tuduhan-ppim-terhadap-polis-tidak-benar

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...