Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, masalah tersebut menyebabkan golongan usahawan berkenaan terpaksa mencari pelbagai kaedah lain untuk memperoleh modal bagi meluaskan perniagaan mereka.

Katanya, masalah itu secara tidak langsung boleh menjejaskan perniagaan mereka dan meluaskan jurang ekonomi antara kaum di negara ini.

“PPIM menerima banyak aduan daripada pengusaha Melayu bahawa mereka terpaksa berdepan dengan urusan dokumentasi yang lama untuk memohon pinjaman dan setelah menunggu sekian tempoh, permohonan pinjaman tidak diluluskan tanpa makluman awal.

“Tanggapan bahawa orang Melayu mudah untuk mendapat pinjaman perniagaan dan perumahan patut dikikis dalam kalangan masyarakat hari ini. Hakikatnya, orang Melayu juga berdepan dengan masalah birokrasi di agensi-agensi berkaitan,“ katanya dalam sidang akhbar berhubung masalah pengagihan dana kepada usahawan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) Se­langor, Normah Abu Bakar; timbalannya, Mohd. Latifi Hashim dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Bakti Malaysia (Perkib), Dr. Mohd. Mokhtar Ghazali.

Dalam pada itu, Nadzim menegaskan kerajaan perlu meneliti dan mengadakan perbincangan bersama persatuan-persatuan perniagaan untuk mengenal pasti golongan usahawan yang layak menerima bantuan pinjaman.

Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan tidak berlakunya situasi berat sebelah yang menyaksikan pihak tidak sepatutnya menerima pinjaman.

Sementara itu, Normah berkata, agihan pinjaman perniagaan yang ditetapkan oleh kerajaan perlu dilaksanakan secara adil dan telus untuk kepentingan semua pihak termasuk golongan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang semakin berkembang di negara ini.

“Banyak pengusaha Melayu gulung tikar akibat tidak mempunyai modal mencukupi bagi mengembangkan perniagaan mereka dan itu merupakan satu kerugian untuk ekonomi negara,” katanya.