Monday, October 30, 2017

4201) PDRM BURU '9 DRAGONS' DIPERCAYAI VIP DALANGI SINDIKET PERJUDIAN NEGARA – ASTRO AWANI – 30/10/17


PDRM buru '9 Dragons' dipercayai VIP dalangi sindiket perjudian negara
Mohamad Fuzi mendedahkan sindiket itu didalangi VVIP bergelar Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

"Saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Ditanya mengenai lokasi sindiket tersebut, Mohamad Fuzi memaklumkan perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan.

"Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.

"Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

"Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM. Tetapi saya minta jangan ada dakwaan menyatakan terdapat anggota polis 'dibayar' untuk melindungi kegiatan ini," katanya.

4200) KAJI SEMULA KOS SARA HIDUP - UTUSAN MALAYSIA - 21/10/17



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan kerajaan mengkaji semula kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat yang tinggal di bandar besar.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, hal ini perlu dalam mengubah nasib golongan miskin bandar dengan menilai semula kemudahan dan bantuan yang diberikan. 

"Jika dilihat ketika ini, kos sara hidup di bandar semakin tinggi sehingga pekerja yang berpendapatan RM4,000 sebulan hanya mampu tinggal di flat kos rendah kerana gaji yang diperoleh tidak dapat menampung kehidupan di rumah lebih selesa.

"Saya menggesa kerajaan meneliti semula peningkatan kos sara hidup dan menyelaras sistem gaji mengikut keperluan semasa supaya mereka mampu meningkatkan kualiti hidup", katanya kepada S2.

Tambahnya, walaupun terdapat ramai rakyat negara ini melakukan dua kerja untuk menanggung kos hidup namun, tindakan tersebut akan memberi impak masalah sosial terutama kepada anak-anak.

"Apabila ibu bapa melakukan kerja sambilan sehingga lewat malam bagi mencari wang sampingan, kehidupan anak-anak akan terganggu sehingga masa bersama keluarga berkurangan", ujarnya.

4199) PENGGUNA, INDUSTRI ANGGAP KEMALANGAN TIADA KAITAN – BERITA HARIAN – 30/10/17



Persatuan pengguna dan pengusaha bas serta lori membantah cadangan Kementerian Pengangkutan mahu mengkaji memperkenalkan dasar tamat hayat kenderaan. Dasar itu yang akan menetapkan had usia kenderaan di jalan raya, dicadangkan dengan alasan mahu mengurangkan risiko kemalangan disebabkan kenderaan lama.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguma Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata cadangan itu tidak relevan kerana nahas jalan raya tidak berkait dengan usia kenderaan.
Jika ada pun, katanya, kementerian perlu menunjukkan statistik bagi menyokong cadangan itu serta membuktikan kenderaan berusia menyumbang kepada nahas jalan raya. “Adakah statistik yang menunjukkan kenderaan berusia menjadi punca kemalangan? Tunjukkan statistik itu kerana pengguna mahu tengok, barulah boleh putuskan pandangan mengenai cadangan ini.
Jika statistik tiada, maka dasar itu tidak relevan. Ia umpama jatuhkan hukuman bunuh pada kenderaan ‘antik”. Tidak semestinya perlu dilupuskan kenderaan lama” katanya kepada BH, Semalam.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata pihaknya sedang mengkaji mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan bagi mengurangkan risiko kemalangan seperti yang membabitkan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang, Selasa lalu yang menyebabkan lapan maut. Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu sudah berusia 32 tahun, manakala sebuah lagi bas berusia lebih 10 tahun.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali percaya dasar itu tidak akan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di negara ini. Katanya, pengenalan dasar itu juga bertindih dengan fungsi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah pun menetapkan had usia bas serta teksi.
“Kemalangan selalu berpunca daripada kesilapan manusia dan masalah jalan raya, kajilah faktor itu. Saya harap kementerian akan rujuk kepada pihak industri untuk pandangan berkaitan kewangan dan perkara lain yang mereka mungkin tak tahu.” katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengendali lori Kuala Lumpur dan Selangor, Alvin Choong, berkata pihaknya juga tidak bersetuju dengan dasar itu kerana akan membebankan pengusaha lori.
Katanya, kemalangan, khususnya membabitkan lori, tidak berkaitan dengan usia kenderaan, tetapi berpunca daripada kecuaian pemandu serta penyelenggaraan kenderaan yang tidak sempurna.
“Persatuan kami menentang cadangan ini. Kementerian perlu berbincang dengan kami sebelum membuat dasar ini. Takkan kami perlu beli lori baharu sedangkan yang lama masih boleh digunakan.
Tunjuk statistik “Apakah ada statistik untuk buktikan usia kenderaan menjadi punca kemalangan? Mereka perlu tunjukkan statistik itu dahulu.” katanya. Bagaimanapun, Persatuan Haulier Malaysia menyokong cadangan itu dengan syarat had usia kenderaan yang ditetapkan adalah munasabah, iaitu sekurang-kurangnya 15 atau 20 tahun. – Presidennya, Nazari Akhbar, had usia itu sesuai kerana Sesebuah kenderaan komersial biasanya bergerak sehingga 15,000 kilometer sebulan.
“Bayangkan berapa jarak perjalanan dalam tempoh setahun dan sudah pasti ia beri kesan pada ciri-ciri keselamatan pada kenderaan itu. Jika lori rosak (disebabkan usia) dan berada di bahu jalan, ia juga boleh menyebabkan kemalangan pada kenderaan lain,” katanya.

4198) PM RINGAN BEBAN SUAMI ISTERI - UTUSAN MALAYSIA - 29/10/17




PELBAGAI pihak berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meringankan beban rakyat dengan memberi pilihan kepada mereka untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung tanpa melalui ejen.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengumuman Najib yang juga Menteri Kewangan itu cukup melegakan ramai pihak, khususnya ibu bapa muda.

Kata beliau, pembantu rumah bukan lagi suatu kemewahan, sebaliknya ia adalah keperluan kerana majoriti pasangan suami isteri hari ini bekerja dan hanya pulang ke rumah lewat petang atau tengah malam.

“Pasangan suami isteri juga tidak lagi terbeban untuk menyediakan sejumlah wang antara RM5,OOO ke atas bagi membayar ejen pembantu rumah, jadi terima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan yang cukup dekat di hati rakyat.

“Dalam masa Sama,langkah kerajaan ini sebenarnya dapat menghapuskan perbuatan monopoli ejen-ejen pembantu rumah yang dilihat menindas masyarakat yang memang terdesak memerlukan pembantu dengan menetapkan kadar harga tidak masuk akal” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mengumumkan pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Selain itu, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, masyarakat harus menggunakan peluang yang ditawarkan itu dengan bertanggungjawab agar tidak muncul ‘ulat-ulat yang cuba mengambil kesempatan.

“Tawaran kerajaan kutuan ini adalah nilai tambah meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40), jadi ia harus digunakan sebaiknya.

 Jangan sesekali kita membenarkan pihak lain mengambil kesempatan dengan pilihan ini. “Ini tanda penghargaan kerajaan kepada golongan M40 yang majoriti penyumbang kepada ekonomi negara, jadi kita wajarmenggunakan dengan sebaik mungkin,” katanya. Dalam pada itu, Profesor
Ekonomi Sunway University Business School, Dr. Yeah Kim Leng berkata, pengumuman Perdana Menteri itu dapat menggalakkan masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak lagi bersikap menuding jari terhadap pihak lain.


Selain menjimatkan kos pengambilan pembantu rumah, pilihan yang diberikan kerajaan itu akan melatih masyarakat menjadi lebih teliti sebelum mengupah mana-mana warga asing sebagai pembantu rumah. “Menariknya, pilihan itu membolehkan masyarakat melihat dan menilai sendiri potensi warga asing dari negara mana yang lebih baik sebab sebelum ini kita banyak bergantung dengan pembantu rumah dari Indonesia sahaja,” katanya.

Friday, October 27, 2017

4197) MASYARAKAT PERLU JADI ‘MATA DAN TELINGA’ PIHAK BERKUASA – UTUSAN MALAYSIA – 27/10/17



KUALA LUMPUR 26 Okt. – Masyarakat perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan melaporkan aktiviti
yang dipercayai berselindung di sebalik perniagaan sah bagi memastikan transaksi wang haram berjumlah
berbilion ringgit berjaya digagalkan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johanberkata,
apa juga kegiatan sindiket haram tidak akan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi sekiranya
pihak berkuasa tidak mempunyai maklumat mencukupi.
“Kita sedia maklum perkara ini sudah lama diperdebatkan tetapi masalah ini dilihat masih gagal diselesaikan.
Penglibatan masyarakat amat diperlukan kerana pihak berkuasa tempatan tidak mampu menangani isu ini
secara bersendirian.
“Saya berharap semua pihak dapat membantu memberikan maklumat sekiranya mereka mendapat informasi
yang berguna bagi memudahkan penguat kuasa menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan secara
 sistematik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 Beliau diminta mengulas laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini yang mendedahkan lebih
15 syarikat berselindung di sebalik perniagaan sah di seluruh negara dikesan melakukan transaksi
 kewangan haram berjumlah berbilion ringgit hasil daripada pelbagai aktiviti jenayah seperti penyeludupan, penjualan dadah dan perjudian.
Dalam masa sama, PPIM mendesak pihak berwajib memperketatkan undang-undang sedia ada dan menjalankan pemantauan berkala.
“Kegiatan jenayah ini jika dibiarkan boleh menjejaskan ekonomi dan reputasi negara. Siasatan dan tindakan susulan perlu dilakukan
secara berterusan dalam memastikan individu terbabit menerima hukuman yang setimpal.
“Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga disaran menjalankan siasatan dan meneliti senarai
perniagaan yang gagal untuk membayar cukai, tidak mustahil mereka ini mungkin turut terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM),
Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang
lebih agresif dan proaktif dalam membendung isu melibatkan sindiket haram.
“Anggota berwajib harus memandang serius hal ini dan tidak mengambil jalan mudah untuk membanterasnya.
Jangan lagi mengamalkan sikap ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’ yang menyebabkan sindiket seperti ini
terus bermaharajalela sehingga kini.
“Saya menyarankan pihak berwajib menggunakan pelbagai pendekatan yang khusus seperti
memperbanyakkan anggota profesional, kelengkapan peralatan atau teknologi terkini dan juga
ilmu pengetahuan tinggi agar isu ini dapat dibanteras segera,” katanya.


4196) PERKASA SOKONG PPIM BANTERAS JUDI – UTUSAN MALAYSIA – 27/10/17




KUALA LUMPUR 26 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menyatakan sokongan dan pendirian untuk terus bersama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam usaha membanteras aktiviti perjudian negara.
Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Ruslan Kasim berkata, tidak ada mana-mana agama di dunia menghalakan aktiviti tidak bermoral itu sebaliknya ia merupakan ke­salahan yang besar.
 “Aktiviti perjudian yang beroperasi secara berlesen mengikut perundangan negara atau sebaliknya merupakan kesalahan dalam setiap ajaran agama, moral dan budaya.
“Perkasa dengan penuh takzim menyokong usaha yang dijalankan PPIM dan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang cuba melin­dungi aktiviti perjudian sama ada penjawat awam, pemimpin kerajaan atau pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, mendedahkan menerima beberapa ugutan dan ancaman daripada sindiket perjudian selepas membuat pendedahan berkaitan aktiviti berkenaan yang didala­ngi sembilan ke­tua digelar dragon yang mengutip RM5 bilion sebulan.
Kata Roslan lagi, Perkasa turut mendesak pihak berkuasa menyia­sat perkara demikian sehingga ke akar umbi dakwaan dikemukakan aktivis PPIM mengenai kegiatan perjudian itu dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, Ruslan me­ngajak masyarakat bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengembleng usaha dan tenaga bagi membanteras aktiviti yang tidak bermaruah berkenaan.

Thursday, October 26, 2017

4195) PPIM TIDAK MAHU EXCO SELANGOR BERSIKAP LEPAS TANGAN – UTUSAN MALAYSIA – 26/10/17


KUALA LUMPUR 25 Okt. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor supaya tidak bersikap lepas tangan berhubung isu pampasan lebih RM13 juta ringgit kepada pembeli projek asrama SiberTel.
NADZIM JOHAN

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Exco tersebut perlu campur tangan dalam perkara tersebut kepada pampasan itu melibatkan 208 orang pembeli dengan nilai RM13.77 juta.
Kata beliau, seorang wakil daripada pengadu, Rozrin Mohd. Salleh yang juga pembeli projek asrama SiberTel, telah berjumpa dengannya dan mendakwa pemaju asal projek berkenaan, Bidari Ehsan Sdn. Bhd. telah gulung tikar dan sedang berada di dalam proses pelupusan hutang kerana gagal melaksanakan terma dan syarat yang termaktub di dalam perjanjian jual beli.
Namun jelasnya, dimaklumkan projek telah diambil alih oleh satu syarikat pemaju yang mahu membaik pulih dan membangunkan semula projek terbengkalai Sibertel.
 “Masalah timbul apabila pemaju penyelamat tersebut iaitu Rising Charm Sdn. Bhd. hanya menawarkan pampasan RM10,000 yang akan dibayar dalam jangkamasa 36 bulan atau menawarkan kepada pembeli untuk membeli unit baru di tapak yang sama dengan harga hampir 300 kali ganda harga belian asal.

“PPIM telah berjumpa dengan wakil pengadu dan berpuas hati dengan aduan mereka. Kami menggesa Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor (Iskandar) campur tangan dalam urusan pampasan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ppim-tidak-mahu-exco-selangor-bersikap-lepas-tangan-1.543096

4194) PPIM NAFI DIPENGARUHI PARTI POLITIK – UTUSAN MALAYSIA – 26/10/17



KUALA LUMPUR 25 Okt. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan pihaknya tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik sebaliknya ikhlas memperjuangkan nasib pengguna.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, beliau menyatakan perkara itu berikutan ada pihak terutama dalam media sosial yang menuduh PPIM mempunyai agenda politik.
 “Kami dituduh mula bias dan berat sebelah terhadap sesetengah parti politik sedangkan kami selamanya adalah non-partisan dan tumpuan hanyalah untuk memperjuangkan nasib pengguna di negara ini dan bukannya untuk menyokong dan mempunyai kepentingan dengan mana-mana ahli dan parti politik.

“Walau bagaimanapun, kita akan mencari formula dan kaedah bagaimana isu ini dapat ditangani dengan baik dan ambil kira semua pandangan dalam mengekalkan harmoni dengan semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM kesal apabila apa yang diperjuangkan oleh persatuan itu dikaitkan dengan politik sehingga menimbulkan perdebatan dan polemik di media sosial.
“Saya minta semua pengguna media sosial supaya bertenang. Ini soal kepenggunaan, soal hak kita sebagai pengguna.
“Kita perjuangkan untuk semua tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau teraniaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

4193) PPIM SASAR GEMPUR SKIM PELABURAN HARAM PULA – UTUSAN MALAYSIA – 26/10/17



KUALA LUMPUR 25 Okt.  – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan gerakan bagi menggempur dan membanteras kegiatan pelaburan haram yang semakin berleluasa sehingga begitu ramai menjadi mangsa penipuan sindiket sedemikian.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM akan berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara, pakar atau perunding kewangan, pelaburan, pihak berkuasa polis dan peguam bagi membantu mangsa dan orang ramai dalam menangani masalah pelaburan haram ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera sebarang bentuk aktiviti penipuan pelaburan ke Unit Pencegahan Penipuan (UPP) yang baharu dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.
Nadzim berkata, penubuhan UPP ini sebagai pusat rujukan kepada orang ramai supaya mereka tidak tertipu sehingga mengalami kerugian yang teruk.
“Dengan UPP ini kita mempunyai pelan tindakan termasuk menerima aduan atau maklumat, mengadakan perjumpaan bersama pengadu, membuat semakan, mengadakan perjumpaan bersama pihak terlibat atau pemilik syarikat pelaburan.
“Makluman kepada umum mengenai kegiatan penipuan termasuk senarai hitam syarikat dan nasihat dan tindakan yang perlu diambil oleh mangsa atau pengadu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.


Menurutnya, PPIM memandang serius mengenai kegiatan pelaburan haram yang didapati semakin berleluasa sama ada dalam bentuk internet dan penubuhan syarikat-syarikat.
“Malahan pada masa ini, PPIM telah menerima lebih daripada 30,000 aduan mangsa pelaburan haram dan penubuhan UPP ini penting supaya jangan ada lagi yang menjadi mangsa.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya namun kita mahu supaya orang ramai berhenti serta-merta daripada melaburkan wang simpanan mereka dalam skim-skim yang berselindung di sebalik nama dan kaedah-kaedah pelaburan yang mencurigakan dan menipu,”katanya.
Malah katanya, terdapat syarikat yang menyediakan surat-surat perjanjian dan kontrak yang bersetem yang kononnya membenarkan transaksi dan mematuhi undang-undang.
“Sedangkan semua surat itu sebenarnya untuk membenarkan mereka menipu. Ini kerana kebanyakan syarikat tidak mempunyai kebenaran dari Bank Negara untuk mengambil deposit daripada orang lain,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Bank Negara ada mengeluarkan senarai nama syarikat-syarikat yang dikenal pasti melakukan pelaburan haram namun terdapat banyak lagi syarikat dan invidu yang menjadi dalang aktiviti haram ini.
“Mereka hanya perlu menukar nama dan mengubah sedikit modus operandi dan kaedah pelaburan untuk tujuan menipu,”katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya menghubungi UPP di talian 01111181000 mengenai sebarang aktiviti pelaburan haram sebelum mereka menjadi mangsa.
“Orang kita mudah sangat tertipu, kadang kala bukan pisang berbuah dua kali tetapi sudah berkali-kali tetapi tidak pernah serik-serik untuk melaburkan duit simpanan mereka terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tidak sahaja kononnya untuk mendapat keuntungan pelaburan berkali-kali ganda malah tawaran untuk membeli rumah yang lebih rendah dari harga pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

4192) MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT & PENGANUGERAHAN WATIKAH LANTIKAN PEGAWAI KEHORMAT DAN BERSEKUTU ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (APM) PERSATUAN OKB (ORANG KOTA BHARU) – HARIAN METRO – 25/10/17




 Majlis ini telah dirasmikan oleh YAS Mej. Jen. (B) Dato’ KPj, (PA) Azmy Bin Yahya, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam dan YM Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, sebagai Tetamu Kehormat untuk majlis ini.
Seramai 54 orang Ahli-ahli Persatuan OKB (Orang Kota Bharu) yang diketuai oleh Datuk Nadzim Johan, Penasihat Khas Presiden (Perdagangan & Kepenggunaan) POKB dan juga merupakan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima tauliah pangkat sebagai Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Persatuan OKB (Orang Kota Bharu) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan YBhg. Datuk Nadzim Johan dan diharapkan dapat menyumbang khidmat bakti di dalam Persatuan OKB dan Angkatan Pertahanan Awam.










4191) SIDANG MEDIA : TAWARAN AHMADIAH-QADIANI UNTUK BERMUZAKARAH BERSAMA PPIM – 25/10/17



Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima surat untuk bermuzakarah dengan pengikut qadiani lanjutan daripada sidang media PPIM pada 27 September 2017.
Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata beliau tidak bersetuju untuk bermuzakarah kerana menghormati nasihat Jabatan Mufti Selangor untuk tidak mengadakan sebarang sesi dialog bersama pengikut qadiani kerana ajaran tersebut telah difatwakan sebagai bukan Islam dan tiada keperluan untuk bermuzakarah.
Sebaliknya beliau menggesa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang digunakan oleh pengikut qadiani kerana tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Kita minta penduduk Kg. Nakhuda yang rasa tidak selamat terus membuat laporan polis untuk keselamatan kampung yang dikhuatiri mengancam penduduk”, jelasnya.
“Kami rakyat di Negeri Selangor dengan rasa rendah diri merayu kepada Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk membantu kami mengmbil tindakan kerana kami tidak mempunyai kuasa”, tegasnya.

Mengulas lanjut isu ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia, Sheikh Abdul Kareem berkata Isu ajaran Qadiani ini telah dibincangkan oleh ulama-ulama Islam dari seluruh dunia dan telah wujud kesepakatan mengatakan ajaran ini telah keluar dari Islam”, katanya.
Perkara sebegini perlu dijelaskan kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.
Tambahannya lagi, isu ini telah dibincangkan dihadapan Sultan Selangor, keputusan daripada perbincangan itu adalah warta mengatakan ajaran qadiani ini keluar daripada Islam.


Oleh itu, kita tidak boleh mengadakan apa jua perbincangan bersama qadiani, jika kita mengadakan juga perbincangan maka kita umpama telah menderhaka kepada Sultan Selangor.
Kami memohon Tuanku untuk menjaga keselamatan dan akidah penduduk kg Nakhuda supaya tidak terjerumus kedalam ajaran sesat qadiani.
Pengikut ajaran qadiani telah dihukum kafir oleh ulama dan kebenaran telah mutlak. Ajaran ini desepakati telah keluar dari Islam, kedudukan mereka sama dengan kafir yang memohon menggunakan kalimah Allah.

Pengerusi Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH), Ustaz Masridzi Bin Sat berkata bukan pihak Jabatan Agama Islam ataupun Mufti yang tidak mengambil tindakan, sebenarnya isu ini telah lama timbul. Ada beberapa pengikut ajaran qadiani yang telah ditangkap tetapi disaman balik.
“Kita tidak akan layan muzakarah yang ditawarkan kerana apabila kita melayan bermakna kita tidak menghormati Sultan Selangor, Majlis Fatwa dan Jabatan Agama Islam.
Bila benda sudah berakar umbi, bermaksud benda ini kita sudah lama biarkan bertahun ia bertapak sehingga susah untuk dihapuskan.


Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) , Dr. Noorazman Samsuddin berkata sensitiviti umat Islam yang berada di tempat kita sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal sehingga berterusan tanpa disekat maka kita akan dapati perkara yang berlaku di tempat lain akan berlaku di tempat kita.
“Saya menyeru kepada pihak istana supaya memandang perkara ini dengan lebih serius supaya perkara ini tidak berlarutan”, katanya.
Bagi pihak MHO, kita memandang dari aspek kemanusian, kebebasan ada landasan dan tidak boleh keluar dari perlembagaan negara.



“Pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin menyambut baik muzakarah tersebut tetapi atas nasihat pihak Mufti bahawa perkara ini telah selesai lama dan fatwa telah dikeluarkan bahawa qadiani ini bukanlah satu agama yang terlibat dengan Islam,” ujar Panel Syariah PPIM, Ustaz Abd Halim.
Muzakarah tersebut tidak akan dibuat kerana kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan terhadap muzakarah tersebut.
“Kita di PPIM bukan takut tapi kita ikut arahan pihak tertinggi PPIM dan perbincangan dengan Mufti Selangor telah memutuskan untuk tidak bermuzakarah dengan ahmadiah-qadiani ini.

4190) DUA AKTIVIS PPIM MENGAKU TIDAK BERSALAH CEROBOH PREMIS – BERITA HARIAN – 25/10/17



Kajang: Dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam terhadap tuduhan melakukan khianat dan menceroboh premis sebuah syarikat kereta pajak di sini, Julai lalu.
Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi bersama Ketua Operasi unit itu, Ali Salimin membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Yusuf 27, dan Ali, 5Q, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd pada jam 3.30 petang, 10 Julai lalu.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan stor Syarikat berkenaan di Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, di Sini dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun KeSekSaan. Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pencerobohan jenayah di tempat sama, antarajam 3.30 petang hingga 7.30 malam, hari sama dan didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Mereka yang ditahan polis pagi Semalam dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dan ditetapkan 24 November untuk Sebutan Semula keS. Pendak-Waandilakukan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Tharih Afendi.

4189) AKTIVIS PPIM MENGAKU TIDAK BERSALAH MENCEROBOH – UTUSAN MALAYSIA – 25/10/17



KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khasnya, Ali Salimin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan bersubahat melakukan khianat dan menceroboh sebuah pusat pajak kereta, pertengahan tahun ini.



Mengikut pertuduhan pertama, Yusof, 27, dan Ali, 50, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd. di hadapan stor syarikat tersebut, di Sungai Sikamat, Jalan Cheras, Batu 13 di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
 Bagi pertuduhan kedua, Yusof dan Ali didakwa bersubahat melakukan pencerobohan jenayah di tempat dan tarikh yang sama di antara pukul 3.30 petang dan 7.30 petang.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Ke­seksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes.
Peguam, Mohd. Fadhly Yaacob yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya hadir sendiri ke balai polis untuk menyerahkan diri dan tiada sebab untuk mereka melarikan diri.
“Kedua-dua anak guam saya juga perlu menanggung ahli keluarga mereka iaitu Yusof yang merupakan peniaga perlu menanggung enam anak dan isterinya yang tidak bekerja manakala Ali yang bekerja sebagai jurulatih gimnasium pula, perlu menanggung ahli keluarganya termasuk ibu bapanya yang uzur,” kata Mohd. Fadhly.
Kedua-dua tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan tersebut.
Sementara itu, Muhamad Yusof ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak terkesan malah akan mengekalkan momentum untuk terus membela nasib para pengguna yang tertindas di negara ini.
“Namun apa yang dikesalkan akibat mereka yang cuba membela atau menjadi saksi pula yang dikenakan tindakan, ditangkap, dituduh dan didakwa di mahkamah menyebabkan ramai yang tidak lagi mahu dan takut untuk memberikan kerjasama bagi menegakkan keadilan,” katanya.
Namun beliau berharap agar aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak putus asa dan patah semangat ekoran beliau terpaksa dihadapkan ke mahkamah ketika berusaha untuk membela nasib mangsa penipuan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, seluruh umat Islam diajak untuk bersama-sama PPIM melakukan solat Hajat di Masjid Wilayah bermula pada pukul 6 petang, Khamis ini sebagai tanda sokongan padu menentang penipuan dan usaha-usaha untuk melemahkan semangat pengguna di negara ini.

4188) YUSOF, ALI DITUDUH KHIANAT – HARIAN METRO – 25/10/17



 Kajang: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM Ali Salimin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, di sini, semalam atas pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar dan menceroboh Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Julai lalu.
Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.
Yusuf, 27, dan Ali, 50, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalab Cheras Batu 13, Kajang jam 3.30 petang, 10 Julai lalu.
Mereka dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula.

Monday, October 23, 2017

4187) ‘MATI PUN KAMI TIDAK TAKUT’ – ASTRO AWANI – 20/10/17


NADZIM: “Kami memanggil sidang media ini untuk memberitahu mereka (sindiket judi haram) bahawa kami tidak takut, habis teruk pun mati dan kami tidak takut.”


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengakui menerima pelbagai ugutan susulan daripada usaha mereka membongkar pusat-pusat judi haram.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan NGO tersebut tidak takut terhadap sebarang ugutan mahu pun ancaman daripada mana-mana pihak.
“Kami memanggil sidang media ini untuk memberitahu mereka (sindiket judi haram) bahawa kami tidak takut, habis teruk pun mati dan kami tidak takut,” tegas Nadzim dalam sidang media di sini hari ini.
Pada masa yang sama, PPIM berharap masyarakat akan terus menyokong setiap usaha yang dibuat termasuk pihak berkuasa ke arah membanteras aktiviti judi haram.
“Berdasarkan tinjauan oleh Kementerian Wilayah, dua tahun lalu mencatatkan 600 pusat judi, kini jumlah tersebut sudah meningkat kepada lebih 3,000 pusat judi haram,” ujarnya.
Beliau berharap setiap anggota masyarakat menyalurkan maklumat dan teguh memberi sokongan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah melenyapkan pusat-pusat judi haram.

4186) LEKA SESAAT UNDANG MAUT – UTUSAN MALAYSIA – 20/10/17


KUALA LUMPUR 20 Okt. – Tabiat pengguna jalan raya baik pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang menggunakan telefon bimbit ketika di jalan raya boleh mendatangkan kesan buruk yang lebih cepat daripada penyalahgunaan dadah.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menjelaskan, ia disebabkan kelekaan sesaat pemandu serta penunggang yang asyik dengan telefon bimbit boleh menyebabkan kehilangan nyawa.


Katanya, lebih membimbangkan apabila bukan hanya nyawa pemandu serta penunggang terbabit sahaja terancam tetapi nasib pengguna jalan raya lain turut diperjudikan.

“Bukan hendak kata penggunaan dadah itu tidak berbahaya berbanding memandu menggunakan telefon bimbit tetapi kalau terjebak dengan dadah kita lihat kesannya kepada individu akan ambil masa dan kita boleh ambil langkah pencegahan serta pemulihan. Tetapi kalau leka dengan telefon bimbit semasa memandu, sama ada jawab panggilan, membalas WhatsApp atau sebagainya, kesannya lebih memudaratkan.
“Sesaat sahaja sudah cukup menentukan hidup atau mati. Lebih teruk apabila pemandu yang leka menggunakan telefon bimbit sehingga menyebabkan kemalangan tidak mengalami kecederaan, tetapi pengguna jalan raya lain yang terlibat pula parah atau meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendapati lebih 100 pemandu aktif dikesan menggunakan telefon bimbit dalam tempoh 30 minit pemantauan.
Ditanya sama ada kelakuan itu mempunyai kaitan dengan kelonggaran undang-undang, Nadzim menolak pandangan itu dengan memberitahu bahawa penguatkuasaan sedia ada sudah mencukupi, tetapi masalah besar terletak kepada sikap pemandu serta penunggang itu sendiri.
“Maaf saya berkata begini, tetapi pemandu kita seolah-olah tidak dididik untuk mematuhi, memahami dan bertanggungjawab ketika di jalan raya. Sampah pun mereka boleh buang merata-rata di atas jalan raya,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula percaya kelekaan pemandu menggunakan telefon bimbit ketika berada di jalan raya menyumbang kepada majoriti kes kemalangan di negara ini.
“Bagaimana mahu fokus kepada pemanduan apabila pada masa sama pemandu memberi tumpuan kepada komunikasi menerusi telefon bimbit. Sebab itu kita lihat banyak kemalangan berlaku berpunca daripada kelekaan ini, pemandu tidak memberi tumpuan di atas jalan raya,” ujarnya.
Beliau juga percaya dalam situasi hari ini sukar untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu-lintas dengan tidak menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu atau menunggang motosikal.
Katanya, meskipun pelbagai bentuk program dan iklan yang menekankan bahaya memandu sambil menggunakan telefon bimbit, namun pengguna jalan raya dilihat cenderung mengabaikannya.

4185) PPIM TAK GENTAR UGUTAN SINDIKET – SINAR HARIAN – 21/10/17


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak gentar dengan ugutan  sindiket perjudian yang tergugat dengan pendedahan dibuat NGO itu.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, malah pihaknya tidak akan berganjak dalam usaha membasmi sindiket perjudian haram yang bertapak di negara ini sejak sekian lamanya.

Menurutnya, ini peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk melihat kegiatan perjudian haram dapat dihentikan secara besar-besaran.
“Kita tak gentar dengan ancaman, malah sedia pertaruh nyawa. Saya mohon doa dan sokongan masyarakat supaya beri kekuatan serta sokongan kepada pihak berkuasa.
“Dengan kesungguhan pihak berkuasa, saya yakin dan percaya kegiatan ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, semalam.
Mengulas lanjut pendedahan terbaru sindiket berkenaan yang dikaitkan dengan 9 Dragons, Nadzim berkata, sindiket berkenaan telah mengadakan perjumpaan berikutan rasa tidak senang  terhadap campur tangan yang dibuat persatuannya terhadap urus niaga mereka.
“Saya dimaklumkan mesyuarat ini diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri lima atau enam ketua kumpulan yang mengetuai sindiket berkenaan.
“Mereka adakan mesyuarat kerana rasakan periuk nasi terganggu dengan campur tangan PPIM terhadap bisnes mereka,” katanya.
Sementara itu, Nadzim turut mengakui dihubungi polis berhubung pendedahan aktiviti perjudian berkenaan sebelum ini.
“Insya-ALLAH, saya akan ke Bukit Aman minggu depan untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Nadzim  mendakwa, sindiket perjudian haram di Malaysia dikawal oleh  individu seramai sembilan orang dikenali sebagai 9 Dragons.
Beliau dakwa sistem itu telah lama diamal kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan mereka yang berada dalam agensi penguat kuasa ‘dibeli’ bagi melicinkan kerja kotor mereka.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...