Wednesday, October 4, 2017

4132) Pelakon Ditahan Bantu Siasatan – Sinar Harian – 4/10/17



KUALA LUMPUR – Pelakon, Datuk Boy Iman, 37, yang juga Pengarah Urusan DBI Properties, ditahan polis bagi membantu siasatan, berhubung dakwaan penipuan jualan rumah melibatkan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian RM6.2 juta. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menerima 188 laporan berhubung kes berkenaan.

 “Berdasarkan siasatan, syarikat tersebut didapati menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga jauh lebih murah dari pasaran, lingkungan RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

 “Bagaimanapun, selepas bayaran dilunaskan, rumah tersebut tidak dibina” katanya dalam kenyataan, semalam. Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota JSJK Bukit Aman telah menahan pelakon berkenaan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang, semalam. Acryl berkata, hasil pemeriksaan dipejabat pelakon itu, polis merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, BMW E92, tiga telefon bimbit, sijil doktor falsafah dan pelbagai dokumen yarikat.

Sementara itu, polis turut menahan dua lagi individu berusia 45 dan 29 tahun di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, selain merampas dua telefon bimbit dan pelbagai dokumen syarikat. “Semua individu tersebut direman dua hari bermula semalam, untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penelitian didapati sindiket penipuan hari ini semakin bijak memanipulasi kehendak dan keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim penipuan serta pelaburan bagi menarik perhatian mangsa.

“Justeru, masyarakat diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan Skim atau tawaran luar biasa yang dibuat oleh mana-mana individu atau syarikat.

“Penawaran sesuatu Skim yang berbeza daripada kebiasaan haruslah dinilai dan disemak dengan terperinci, rujuklah dengan agensi atau pihak yang lebih arif bagi mengelak anda menjadi mangsa penipuan,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...