Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jumlah itu hanya daripada mangsa pelaburan yang membuat aduan kepada PPIM manakala jumlah keseluruhan pelaburan daripada mangsa lain mencecah RM9 juta.
Menurutnya, kesemua mangsa mula melabur sejak November 2016 dengan jumlah pelaburan setiap seorang mencecah ratusan ribu.
“Kedua-dua pentadbir syarikat itu menyasarkan golongan pesara sebagai mangsa dan mengaburi mata pelabur dengan menggunakan nama Yayasan Amanah Niaga Kebangsaan. Apabila mereka menggunakan nama yayasan, pelabur menjadi yakin bahawa syarikat pelaburan mereka tulen dan boleh dipercayai.
“Mereka kononnya akan memajakkan emas yang dila­burkan oleh mangsa dan akan mendapat pu­langan setiap bulan. Malang­nya, hanya beberapa bulan sahaja pelabur menikmati pulangan sebelum kedua-dua pengasas syarikat itu mendiamkan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir bersama beberapa mangsa pelaburan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, akibat daripada pe­nipuan pelaburan itu, kese­mua mangsa kehila­ngan wang pencen yang sepatutnya dijadikan simpanan hari tua manakala dua pengasas tersebut hidup mewah.
“Ada mangsa kehilangan rumah dan terpaksa bekerja semu­la untuk menampung kehidupan seharian. Oleh itu, saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh seterusnya membawa dalang sindiket ini ke muka pengadilan.
“Kita juga difahamkan dua beranak ini masih aktif menjalankan penipuan dan kini menggunakan nama skim pelaburan lain pula untuk mencari mangsa baharu,” ujarnya.