Monday, April 23, 2018

4454) RUGI RM4 JUTA PELABURAN EMAS, 28 INDIVIDU LAPOR POLIS – BERITA HARIAN – 21/4/18


KUALA LUMPUR: Seramai 28 mangsa penipuan membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM4 juta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul, di sini, hari ini, terhadap sebuah syarikat yang menawarkan pakej pelaburan emas.
Syarikat yang didakwa didalangi dua individu anak-beranak itu menggunakan nama yayasan dan dewan perniagaan untuk mengelirukan mangsa mereka.

 Selain itu, mereka turut menggunakan nama bekas pegawai tinggi kerajaan termasuk nama seorang bekas ketua polis negeri untuk mendapatkan kepercayaan mangsa.

Anak-beranak yang didakwa menjadi dalang penipuan dengan seorang daripada mereka bergelar Datuk menyasarkan golongan pesara kerajaan dan swasta yang memiliki wang persaraan yang banyak.
Berdasarkan modus operandi, mereka menawarkan emas untuk dilaburkan mengikut pakej emas seberat satu gram bersamaan RM173 atau emas seberat satu kilogram bersamaan RM173,000.
Jumlah keuntungan setiap bulan dijanjikan sebanyak 25 hingga 35 peratus bergantung kepada jumlah pelaburan.
Pesara swasta, Zulkifli Ahmad, 59, berkata dia kerugian RM300,000 selepas menyertai skim pelaburan itu pada November 2016.
Katanya, syarikat berkenaan sudah lama tidak membayar faedah pelaburan dan hanya memberi beberapa dokumen sebagai jaminan untuk menerima keuntungan.
“Ketika itu seminar mengenai skim pelaburan emas diadakan di Port Dickson dan ramai yang datang mendengar penjelasan pakej ditawarkan.
“Saya mengeluarkan simpanan untuk menyertainya dan pada awalnya ada pulangan diterima setiap bulan.
“Namun, bermula Februari 2017, syarikat berkenaan tidak membayar keuntungan pelaburan, malah semakin banyak perkara meragukan mulai timbul.
“Saya turut diugut pemilik syarikat sehingga terpaksa pindah rumah dan menyembunyikan diri,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, hari ini.
Pesara guru, Mohd Top Dol, 75, pula mengeluarkan wang persaraan dan simpanannya berjumlah RM600,000 selepas tertarik dengan pakej pelaburan ditawarkan.
“Ramai kalangan individu bergelar VIP yang menyertai pelaburan itu yang menambahkan lagi kepercayaan saya.
“Akhirnya, saya sedar ditipu selepas syarikat tidak lagi memberi pulangan setiap bulan, malah pemilik syarikat dilihat membeli lapan kereta mewah, sedangkan saya hanya ada sedikit wang perbelanjaan untuk makan dan minum,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim menggesa polis menyiasat kes jenayah komersial itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menipu pelabur.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi menghentikan kegiatan penipuan yang dilihat semakin membimbangkan.
“Mereka bijak menjadikan golongan pesara sebagai sasaran, hingga mangsa kehilangan rumah, mengeluarkan simpanan Tabung Haji, malah ada yang kini sedang dirawat akibat serangan jantung selepas tertekan dengan kerugian ditanggung.
“Justeru, PPIM membawa semua mangsa membuat laporan polis secara beramai-ramai,” katanya.

Artikel Oleh : BERITA HARIAN
RUGI RM4 JUTA PELABURAN EMAS, 28 INDIVIDU LAPOR POLIS

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...