Ketua Aktivis (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, filem tersebut tidak sesuai untuk ditonton oleh kumpulan peringkat umur berkenaan.
 “Saya agak tidak bersetuju pihak bertanggungjawab mengklasifikasikan filem ini sebagai P13, atau penonton yang melebihi usia 13 tahun.

“Bagi saya filem-filem sebegini sepatutnya perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia bukan saja memaparkan budaya ganas dan tahyul, malah boleh memberikan kesan negatif kepada penonton, khususnya kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu Pengarah Filem, Ahmad Idham pula kesal kerana tayangan filem Dukun diadakan serentak dengan tayangan filem Qhaliq yang telah terlebih dahulu mendapat jadual tayangan daripada pihak berkuasa.
“Saya tidak mahu tunding jari pada sesiapa, jadi saya beri laluan untuk filem Dukun pada 5 April ini. Saya sebagai penerbit dan pengedar sudah faham kesannya jika dua filem Melayu bersaing serentak di pawagam.
“Sama ada satu untung atau satu rugi, atau ‘membunuh’ kedua-duanya sekali. Namun saya tidak nafikan wujudnya rasa terkilan dan teraniaya. Saya tak tahu apa agenda mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE