Kekesalan itu diluahkan oleh Jamaludin Hamdan, 59, yang terjerat dengan skim cepat kaya menjanjikan pulangan pelaburan sebanyak 10 peratus pada setiap bulan.
Katanya, dia dan beberapa mangsa lain dibawa bercuti ke negara tersebut oleh pihak pelabur kononnya bagi melihat sendiri projek hartanah yang akan dibangunkan di sana.
"Lawatan kami di sana turut diiring oleh pihak berkuasa berpangkat Jeneral malah kenderaan yang kami naiki juga turut diring oleh pasukan polis lengkap bersiren.
"Siapa tidak terpedaya dengan layanan sebegitu sehingga membuatkan kami yakin dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan pelaburan pada setiap bulan itu," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan dan beberapa mangsa sindiket pelaburan lain.
Menurut Nadzim, sindiket pelaburan yang didalangi oleh seorang 'Datuk' itu melibatkan kerugian sebanyak RM1.5 juta dengan 60 mangsa kebanyakannya dari Sabah dan Sarawak.
Tegasnya, sindiket yang sudah bertapak sejak 2016 itu menyasarkan golongan bekerja yang berusia antara 35 hingga 60 tahun.
"Kita bimbang dengan sindiket pelaburan yang masih berleluasa sehingga hari ini malah mereka masih aktif mengiklankan skim tersebut yang hanya menyebabkan lebih ramai mangsa baharu akan ditipu," jelasnya.
Dalam pada itu, Jamaludin berkata, dia mengetahui tentang pelaburan itu melalui seorang ejen yang diperkenalkan oleh rakannya yang lain.
"Taktik mereka bijak juga sebab tidak menggunakan sebarang platform media sosial sebaliknya melalui rangkaian kenalan iaitu kawan atas kawan sehinggalah saya terjebak dengan pelaburan tersebut," luahnya. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia
SINDIKET PELABURAN PERDAYA MANGSA DENGAN PERCUTIAN MEWAH