Thursday, June 27, 2019

5027) TERPEDAYA DENGAN PERWATAKAN 'USTAZ' - UTUSAN MALAYSIA - 27/06/2019



KUALA LUMPUR - Seramai 6,000 mangsa terpaksa berputih mata apabila keuntungan bernilai RM8 juta yang dijanjikan daripada projek pelaburan hanya ibarat menanam tebu di tepi bibir.

Itu nasib yang terpaksa dihadapi oleh kebanyakan mangsa yang berasal dari Ipoh, Perak apabila sindiket pelaburan menjual tapak iklan secara dalam talian dikaburi oleh seorang individu yang kononnya memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Usuluddin dari sebuah universiti tempatan.

Malah, apabila semakan dibuat dengan universiti awam itu, mendapati individu bergelar 'Dr. Z' yang berperwatakan 'Ustaz' itu rupa-rupanya gagal menamatkan pengajian di universiti tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh pesara swasta, Sheikh Razali Bux, 61, yang mengalami kerugian sebanyak RM9,800 apabila pihak syarikat menjanjikan keuntungan antara 10 hingga 15 peratus kepada peserta.

"Sindiket ini licik, kononnya menjalankan aktiviti dalam talian dengan menawarkan pelaburan 'market place' dan kemudian disusuli dengan menjanjikan skim pelaburan penternakan, pertanian, hartanah dan perumahan.

"Taktik mereka seterusnya akan mendakwa kononnya projek yang dijalankan itu ditipu bagi mengelak daripada membayar dividen keuntungan kepada peserta.

"Kami sudah banyak kali menghubungi Dr. Z itu namun tidak pernah dilayan sebaliknya menyuruh kami untuk berurusan dengan pihak peguam yang dilantik. Kami ini sudahlah orang kampung, manalah tahu hendak berurusan dengan peguam dan sebagainya," luahnya.

Sheikh Razali berkongsi tentang sindiket penipuan pelaburan itu dalam sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan dan beberapa mangsa sindiket pelaburan lain.

Mengulas lanjut, Sheikh Razali berkata, nama syarikat yang digunakan juga berunsurkan Islamik sehingga bijak mengaburi mata orang ramai.

Kongsinya, pejabat yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng di sini itu sudah beroperasi sejak awal 2016 dan memperdaya mangsa dengan cerita pelaburan yang menarik.

"Mereka tak promosi di media sosial sebaliknya akan berjumpa dengan peserta sendiri di sebuah hotel dan bercerita tentang pelaburan yang menjanjikan keuntungan.

"Namun, itu semua hanya satu bentuk penipuan dan kebanyakan mangsa merupakan ibu tunggal dan warga emas yang sudah berpencen. Kami juga kecewa apabila hanya segelintir sahaja yang berani membuat aduan kepada pihak polis dan PPIM," jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia
TERPEDAYA DENGAN PERWATAKAN 'USTAZ' 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...