Friday, June 28, 2019

5033) 'USTAZ' LAGAK ALIM - HARIAN METRO - 28/06/2019


Dalang tipu pelaburan 164 mangsa babit kerugian RM1.2 juta

Berpenampilan warak, seorang lelaki didakwa menjadi dalang syarikat bagi memperdayakan mangsa untuk menyertai skim pelaburan membabitkan kerugian RM1.2 juta sejak 2016.

Lelaki yang berusia 40-an itu turut menggunakan nama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi meyakinkan mangsa kononnya pelaburan mereka mampu memberi pulangan lumayan.

Difahamkan, syarikat itu menawarkan skim pelaburan tapak iklan dalam talian dan bergiat dalam bidang penternakan sudah memperdayakan 164 mangsa dari seluruh negara terutama dari Perak. 

Mangsa yang juga pesara kerajaan, Sheikh Razali Bux Sheikh Osman Bux, 60-an, berkata, dia dan keluarga rugi RM10,500 selepass terpedaya dengan janji manis lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ustaz. 

Katanya, dia berkenalan dengan lelaki itu menerusi rakan di hotel di Perak pada 2016 sebelum ditawarkan menyertai pelaburan yang disediakan syarikat beliau.

“Lelaki itu menjanjikan pulangan menarik setiap bulan jika saya melabur sekurang-kurangnya RM350, selain turut dibawa ke seminar pelaburan bagi memberi keyakinan.

“Saya menerima pulangan pada awal penyertaan sebelum syarikat berkenaan mendiamkan diri selain memberi pelbagai alasan ketika mahu mendapatkan penjelasan,” katanya pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, dia hairan kerana gagal mendapatkan pulangan semula seperti didakwa sedangkan syarikat terbabit mendakwa mahu mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya bersama pelabur membuat tuntutan semula wang kami, namun tidak dilayan,” katanya.


60 dakwa ditipu RM1.5j

Kuala Lumpur: Seramai 60 individu mendakwa diperdaya syarikat pelaburan hartanah, infrastruktur dan perdagangan emas dengan nilai kerugian cecah RM1.5 juta.

Syarikat itu meyakinkan pelabur operasi mereka mendapat sokongan kerajaan China dan Kemboja serta turut bawa berjumpa orang ternama di Kemboja sambil melancong ke negara itu untuk menyakinkan mereka.

Mangsa hanya menyedari ditipu apabila hanya mendapat pulangan pada peringkat awal sebelum syarikat itu memberi alasan untuk tidak membayar komisyen.

Mangsa dari Muar, Johor, Jamaludin Hamdan, 57, berkata, dia rugi RM37,000 kerana terpedaya dengan syarikat berkenaan selepas diperkenalkan kenalannya yang turut melabur.

“Pada mulanya saya was-was, namun mula tertarik selepas dibawa bercuti ke Kemboja dan dibawa berjumpa ‘orang atasan’ negara terbabit bagi meyakinkan kami pelaburan itu sah,” katanya pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.


Artikel oleh: Harian Metro

'USTAZ' LAGAK ALIM

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...