Friday, June 28, 2019

5030) 40 INDIVIDU BERPUTIH MATA DITIPU SKIM PELABURAN - BERITA HARIAN - 28/06/2019


Kuala Lumpur: Terpengaruh janji manis bakal menerima pulangan lumayan menyebabkan lebih 40 individu kerugian mencecah RM2 juta, selepas menyertai dua skim pelaburan kononnya berasaskan hartanah.

Mangsa terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pesara dan warga emas, terpaksa berputih mata apabila wang simpanan mencecah ratusan ribu, hangus tanpa pulangan dijanjikan.

Walaupun mangsa sudah berusaha pelbagai cara termasuk membuat laporan polis, namun masih gagal mendapatkan semula wang mereka selepas syarikat pelaburan terbabit memberi pelbagai alasan, selain kini menghilangkan diri.

Pesara Telekom, Jamaludin Hamdan, 59, mendakwa kerugian wang simpanan RM44,000 selepas menyertai satu skim pelaburan hartanah pada awal 2016, yang kononnya bakal menjalankan pelbagai projek hartanah yang mendapat sokongan daripada Kerajaan China dan Kemboja.

“Saya tidak teragak-agak melaburkan wang selepas terpengaruh dengan tawaran pulangan mencecah 10 peratus setiap bulan daripada jumlah pelaburan yang dibuat.

Guna nama M-capital
“Syarikat menggunakan nama Millenium Capital (M-capital) turut membawa kami ke Kemboja untuk melihat sendiri tapak hartanah yang bakal dijadikan asas pembinaan sebuah jambatan, bagi meyakinkan kami.

“Kami hanya mendapat hasil pulangan pada tiga bulan pertama sebelum syarikat terbabit lesap dan ejen-ejennya tidak dapat dihubungi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM di sini, semalam.

Mangsa yang berasal dari Muar, Johor itu, berkata selain dirinya, ada lebih 200 individu lain yang turut melabur dengan syarikat sama dengan jumlah pelaburan minimum AS$1,000 (RM4,400).

Seorang lagi mangsa, Sheikh Razali Bux, 61, berasal dari Ulu Kinta, Perak, mendakwa kerugian hampir RM10,000 selepas melabur Mangsa dengan sebuah syarikat pelaburan yang menggunakan tema Islam pada 2016.

“Saya difahamkan pengasas syarikat itu kononnya adalah seorang bergelar Datuk, selain mempunyai kelulusan peringkat doktor falsafah dalam bidang Usuluddin daripada sebuah universiti tempatan.

“Saya percaya itu semua hanya taktik digunakan bagi mengaburi orang ramai untuk membuat pelaburan dan mendakwa wang itu bakal digunakan untuk pelaburan dalam bidang hartanah, pertanian dan penternakan.

Pulangan 15 peratus sebulan
“Setiap ahlinya yang mencecah hampir 6,000 orang dijanjikan pulangan antara 10 hingga 15 peratus sebulan, bergantung kepada jumlah pelaburan dengan nilai serendah RM350 untuk satu lot pelaburan,” katanya yang juga seorang pesara hospital swasta di Ipoh.

Sheikh Razali berkata, beliau menyedari tertipu apabila selepas tiga bulan, syarikat menggunakan nama Sinar Ummah Berhad itu tidak membayar pulangan bulanan seperti dijanjikan.

“Mereka beri pelbagai alasan, termasuk menutup laman web yang pada mulanya digunakan ahli untuk menyemak penyata bulanan dan aktiviti perjalanan syarikat.

“Susulan itu, lebih 40 ahli membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit pada Mac lalu selepas pelbagai usaha kami untuk mendapatkan semula wang, gagal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menasihati orang ramai supaya membuat semakan dan rujukan terlebih dahulu, sebelum mengambil keputusan menyertai sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Buatlah semakan pendaftaran syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan rujuk terlebih dahulu dengan pihak polis serta Bank Negara Malaysia (BNM).

“Jangan mudah sangat berikan (laburkan) wang kita pada orang, bila wang itu sudah berada di tangan orang lain, ia bukan lagi hak kita... maka beringatlah,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

40 INDIVIDU BERPUTIH MATA DITIPU SKIM PELABURAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...