Monday, February 18, 2019

4816) OPERASI BANTERAS AKTIVITI HARAM 2.0 SIRI KE 6 – PPIM – 15/2/19

Operasi Banteras Aktiviti Haram 2.0 (OPS BAH 2.0) Siri Ke 6/2019 anjuran Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang berlangsung disekitar Kuala Lumpur pada awal pagi 16 Februari 2019.
Operasi kali ini melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut terlibat.
Sasaran utama operasi kali ini adalah di pusat hiburan, pusat pelacuran, lubuk penagihan dadah dan lain-lain.
#PPIM #OPSBAH #KWP #DBKL @ Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

















4815) KEKALKAN SUBSIDI PENGIRING HAJI – UTUSAN MALAYSIA – 18/2/19



KUALA LUMPUR 17 Feb. – Lembaga Tabung Haji (Ta­bung Haji) digesa me­ngekalkan subsidi kepada pengiring jemaah haji serta kes rayuan yang berjaya se­perti tahun-tahun lalu.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, sekiranya benar dakwaan yang mula tersebar sejak semalam itu menjadi kenyataan, maka kerajaan Pakatan Harapan (PH) jelas mengkhianati umat Islam di negara ini.
Tegasnya, tindakan itu juga mencerminkan dasar dan pendekatan kerajaan PH yang mula menekan umat Islam khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
“Tabung Haji adalah institusi yang sepatutnya membantu untuk memudahkan ma­syarakat Islam daripada pelbagai lapisan kewangan untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.
“Dengan membatalkan subsidi itu, hasrat ramai umat Islam khususnya yang ku­rang berkemampuan untuk menunaikan haji akan hancur, lebih-lebih lagi mereka menabung berpuluh tahun untuk melunaskan bayaran penuh sebanyak RM22,900 (tanpa subsidi),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Ang­katan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, kos penuh yang perlu dibayar oleh pengiring dilihat agak membebankan memandangkan agak sukar jemaah haji warga emas uzur untuk pergi tanpa pengiring.
“Tabung Haji perlu kaji dan teliti semula isu subsidi ini ke­rana masalah dihadapi jemaah haji yang memerlukan pengi­ring adalah sesuatu tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, Tabung Haji tidak sepatutnya menukar ketetapan berkenaan subsidi itu secara tiba-tiba tanpa memberitahu lebih awal kepada pendeposit.
“Perkara ini bukan main-main. Sepatutnya dibuat secara berperingkat atau umumkan dulu sekarang manakala pelaksanaannya tunggu lagi tiga hingga lima tahun.
“Apabila perkara ini tiba-tiba dilaksana tanpa pengetahuan pendeposit, menimbulkan pa­nik dalam kalangan mereka. RM22,900 itu satu jumlah wang yang banyak. Bukan semua orang berkemampuan untuk peroleh dalam masa singkat,” katanya.

Artikel oleh : Utusan Malaysia
KEKALKAN SUBSIDI PENGIRING HAJI

4814) PPIM BANTAH PEWARTAAN PARKIR BERBAYAR DI TAMAN NIRWANA – UTUSAN MALAYSIA – 18/2/19


KUALA LUMPUR 17 Feb. – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah cadangan pewartaan Jalan Nirwana 1, 2, 35 dan 37 Taman Nirwana, Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai tempat letak kenderaan berbayar.
Penasihat Agama dan Media PPIM, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, pewartaan yang akan dilaksanakan pada Mac ini didakwa menimbulkan keresahan penduduk kerana kebanyakan pengguna kawasan parkir tersebut adalah penduduk tetap.
“Memandangkan ini adalah kawasan penempatan perumahan yang tidak mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi, maka ia dilihat satu ketidak adilan daripada MPAJ yang mahu mengambil kesempatan di atas kesusahan penduduk.
“Ini juga tidak sejajar dengan hasrat Kerajaan Malaysia Baharu yang mahu memberikan keselesaan dan ruang kepada rakyat untuk bernafas di tengah-tengah kemelut ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu Tuan Asmawi berkata, pihaknya memohon Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin untuk campur tangan bagai menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Semua pihak diseru mencari alternatif serta jalan keluar untuk tidak membebani rakyat dengan pelbagai jenis cukai baharu bagi tujuan mengaut keuntungan jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel oleh : Utusan Malaysia
PPIM BANTAH PEWARTAAN PARKIR BERBAYAR DI TAMAN NIRWANA

4813) UGUT TULAR GAMBAR LUCAH DISUNTING – HARIAN METRO – 15/2/19


SIMBAH cat, rampas kad mesin pengeluaran wang (ATM) dan tampal poster antara taktik digunakan along untuk menakut-nakutkan peminjam sejak lebih 15 tahun lalu.
Namun kepesatan teknologi masa kini turut menjadikan ceti haram itu turut berubah dan menggunakan taktik baru iaitu menularkan gambar lucah kononnya ia adalah peminjam yang berhutang dengan mereka.
 Sejak awal tahun ini, Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima 10 kes berkaitan ugutan menggunakan gambar lucah disunting menerusi gambar di Internet.

 Pengarahnya, Azman Kang berkata, dalam kes terbaru, seorang wanita berusia 23 tahun menjadi mangsa apabila gambar profil WhatsApp miliknya disunting dan dipadankan dengan gambar bogel individu lain.

Katanya, gambar mengghairahkan itu digunakan along untuk mengugut peminjam supaya membuat bayaran mengikut kadar bunga ditetapkan.
“Mangsa dikenali sebagai Alice memberitahu dia membuat pinjaman sebanyak RM20,000 pada November tahun lalu sebelum didesak membayar sejumlah RM24,000 biarpun belum sampai tempoh akhir.
“Tidak lama kemudian, dia menerima kiriman WhatsApp meminta bayaran segera dan jika gagal, gambar bogelnya akan disebarkan di media sosial termasuk Facebook.
“Berkali-kali dia merayu supaya jangan siarkan gambar itu kerana ia boleh mengaibkan dan menimbulkan salah faham terutama kepada keluarga, tetapi along terbabit terus menghantar gambar itu di dalam ruangan komen Facebook ,” katanya ketika ditemui bersama Alice yang membuat aduan kepada sekretariat PPIM.
Azman berkata, perbuatan seperti itu dikesan lebih setahun lalu dan along akan meminta alamat Facebook milik peminjam selain butiran peribadi lain.
Menurutnya, mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang akan menyerahkan maklumat berkenaan tanpa ragu dan memikirkan risiko pada masa depan.
“Jelas, ini adalah taktik baru meminta bayaran. Saya tidak menolak kemungkinan mereka ada pekerja khusus yang mahir menggunakan aplikasi tertentu untuk menyunting gambar.
“Ada kes mangsa along tidak berani keluar rumah kerana malu berdepan khalayak kerana gambar sudah disebarkan di media sosial.
“Lebih parah lagi, along pula yang mengendalikan akaun FB itu,” katanya.
Artikel Oleh : Harian Metro
UGUT TULAR GAMBAR LUCAH DISUNTING

Thursday, February 14, 2019

4812) MR D.I.Y TARIK BALIK PRODUK – SINAR HARIAN – 14/2/19


SHAH ALAM – Rangkaian kedai perkakasan MR D.I.Y telah menarik balik serta merta pelekat kereta berbentuk tapak kaki dan ibu jari yang mengandungi perkataan menyinggung masyarakat Islam.
Pengerusi MR D.I.Y, Datuk Azlam Shah Alias berkata, pihaknya kesal dengan perkara terjadi dan memohon maaf kepada semua pihak yang berkepentingan.
“Kami menghargai semua maklum balas pelanggan dan pihak berkepentingan serta telah berhubung dengan pembekal produk ini bagi menjelaskan mengenai sensitiviti. Pihak pembekal juga telah memohon maaf.
“Kami memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan, terutama pelanggan, rakan-rakan dan kakitangan Islam bahawa MR D.I.Y tiada niat menyinggung perasaan masyarakat Islam dan kami amat kesal dengan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, pihaknya juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa baru serta menambah baik Prosedur Operasi Standard bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Manakala, bagi pelanggan yang membeli produk berkenaan akan mendapat semula bayaran dan boleh menghubungi 03-8961 1338.
Sebelum ini, tular video berdurasi 27 saat di laman sosial menunjukkan satu rakaman yang memaparkan pelekat berbentuk kaki dengan tulisan didakwa kalimah suci al-Quran yang dibeli di kedai MR D.I.Y.
ARTIKEL BERKAITAN: PPIM gesa MR DIY mohon maaf secara terbuka

Artikel oleh : Sinar Harian
MR D.I.Y TARIK BALIK PRODUK

Tuesday, February 12, 2019

4811) JADILAH MELAYU BERMARUAH – UTUSAN MALAYSIA – 12/2/19


MUKADIMAH
ORANG Melayu dan Islam nampak gayanya hanya beruntung dilahirkan di negara ini. Tetapi dalam banyak hal kita masih ditindas terutama apabila melibatkan soal perniagaan dan kepenggunaan. Memang menyedihkan bunyinya tetapi apa lagi maruah yang tinggal jika banyak produk yang kita gunakan masih melibatkan kandungan tidak halal.
Begitu juga dalam soal makanan, kita percaya sesebuah kedai itu milik orang Islam jika digantung ayat suci al-Quran. Malangnya kita ditipu malah ada pula video terdapat kedai yang menghidangkan daging biawak. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Utusan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), DATUK NADZIM JOHAN tentang isu ini. Berikut adalah sedutan wawancara dan untuk video penuh boleh tonton di Utusan Online.
NADZIM JOHAN: Sebenarnya apa yang berlaku pada hari ini adalah manifestasi akibat kelemahan diri kita sendiri. Kita lemah, tak sedar, kita gagal melindungi maruah dan ia meliputi semua aspek. Sebenarnya, kalau nak kembalikan hak kita, perlu ada pegangan.
Pegangan perlu datang dari diri kita, keluarga dan seterusnya dipanjangkan kepada orang di sekeliling, ke kampung bandar dan seterusnya. Tapi pada hari ini kita lihat terlalu banyak kelompongan dalam hal penjagaan keluarga. Tapi apapun, kita pada hari ini berada di persimpangan.
Kita boleh pilih, sama ada nak berjaya atau nak hancur. Pada saya kalau umat Islam nak berjaya kita semua kena bersatu. Kita bercakap tentang realiti, tiada isu rasis kerana saya sendiri dan anak-anak belajar dan bersekolah di sekolah Cina. Kita kena faham bahawa jika melibatkan isu maruah, tak kiralah hal individu ke atau orang Melayu, kita kena pertahankan.
Saya ambil contoh, kerajaan terdahulu, peruntukan untuk bantu peniaga dan usahawan Melayu/Islam beratus juta mungkin bilion. Semua agensi telah buat kerja, MARA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tapi masih gagal hasilkan peniaga yang betul-betul berjaya.
Tabiat kita pada hari ini mungkin dipengaruhi oleh diri sendiri, termasuk pendidikan atau agenda. Kita kena bina dan buat sesuatu untuk bawa kesedaran.
Misalnya kalau nak beli mi, carilah pengeluar Islam. Bukan tidak ada. Jakim ada keluarkan sijil halal, tapi pada prosesnya sahaja. Bukan saya tidak setuju, tapi kita perlukan pemantauan yang lebih teliti dan menyeluruh. Dan kita gunakan sijil halal ni sebagai dakwah.
Hari ini kita kena buat sesuatu untuk bantu peniaga Islam. Kita patut beli daripada peniaga Islam supaya peniaga ini boleh bayar zakat dan dengan zakat itu bantu asnaf.
Tapi jika tak buat sesuatu untuk perubahan kecuali kita suka dihina dan biarkan diri dihina maka jadilah kita mengikut jalan yang dibina oleh musuh Islam.
Kapitalis itu yang mengawal sesuatu dan keadaan. Yang membuat keputusan bagi pihak kita, dan kita biarkan saja asalkan dapat untung. Kita telah sampai pada satu senario yang mana kita telah jadi begitu lemah.
Jadi kena buat sesuatu dan perbetulkan keadaan itu. Kita tak boleh biarkan sahaja. Masalah ini tidak akan berhenti dan berterusan selagi kita tidak jaga hati dan tidak berubah.
Jadi jika nak perbetulkan keadaan, mulakan perubahan itu, kena buat dengan betul dan ia perlu datang dari hati kita.
Dalam kes kedai mamak ni kita bezakan. Orang India ada yang beragama Hindu, Kristian dan Islam. Mereka yang beragama Islam kita panggil mamak dan mereka banyak membuka kedai makan, kedai runcit dan sebagainya.
Mereka memang berpegang pada Islam tetapi biasalah ada kelemahan tertentu seperti orang Islam lain juga. Tapi kita kena sedar jika makan di kedai orang Islam mereka perlu bertanggungjawab.
Sebagai contoh jika pergi ke kedai runcit si Ali dan dia jual bahan tercemar, maka dia kena jawab dan bertanggungjawab.
Mungkin bila kita mati nanti mereka kena menjawab penipuan dilakukan terhadap kita. Dalam hal ini mungkin ustaz-ustaz boleh jelas lebih lanjut.Tapi jika peniaga itu bukan Islam dan menjual hidangan daging lembu tetapi sebenarnya biawak, apa boleh kita lakukan. Apakah mereka akan menanggung dosa yang dilakukan.
Itu sebabnya saya tekankan kita kena bertanggungjawab dan dalam hal ini kena cari peniaga orang Islam kerana mereka bertanggungjawab sehingga mereka mati nanti.
Selain itu, mereka juga membayar zakat yang boleh dikongsi dengan mereka yang memerlukan.
Dalam hal ini Jakim hanya menjamin ia halal jika benar-benar didaftarkan tapi kita tak tahu jika ada kedai yang menggunakan sijil halal palsu. Kita perlu bertanggungjawab lakukan kajian dan cari kedai yang betul-betul mempunyai sijil halal.
Ada kedai yang pamer sijil halal dah tamat tempoh atau menipu. Bagi saya dalam hal ini kita kena cemburu dengan apa yang kita nak makan, jangan main ambil saja. Kalau nak jadi manusia yang hebat dan bermaruah kena memilih dalam soal makan tak bolehlah main belasah sahaja. Kena jaga dan jadilah seorang yang bermaruah.
Siasat kedai yang kita nak makan milik siapa, ada sijil halal yang disahkan atau tidak. Jangan terus makan sahaja.
Jika begini sikap kita tidak hairanlah mereka pun tak hormat kerana kita tak serius melakukan kajian dan bertanggungjawab terhadap apa yang dimakan. Kita sekarang dilihat lemah kerana tidak ada prinsip. Maka kita tak boleh nak salahkan sesiapa kerana kelemahan ini berpunca daripada diri sendiri.
Orang Melayu perlulah bersungguh dalam soal ini dan bagi saya kita boleh banyak belajar dengan Global Ikhwan.
Bagaimana mereka boleh meniaga sehingga ke seluruh dunia. Mungkin mereka ada formula yang betul dan berjaya dilakukan berbanding kita yang mendakwa hebat dan betul tetapi sehingga sekarang tak tau ke mana hala tuju. Mereka boleh berniaga hingga ke Eropah, Australia dan sebagainya.
Saya ingin mengetengahkan hal ini kerana kalau boleh kita belajar daripada mereka. Kalau kita belajar cara orang Cina meniaga termasuk menipu dan sebagainya kenapa tak boleh belajar dengan Global Ikhwan.
Sampai bila nak jadi begini dan kita semakin jauh dalam soal perniagaan dan kepenggunaan berbanding kaum lain di negara ini.
Artikel oleh : Utusan Malaysia
JADILAH MELAYU BERMARUAH

4810) PENGGUNAAN PRODUK BERASAS GANJA PERLU DIBERI PELUANG DALAM PERUBATAN – ASTRO AWANI – 12/2/19


KUALA LUMPUR: Penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport perlu diberi peluang dan diterima secara terbuka bagi tujuan perubatan, kata ketua aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya, kerajaan mahupun pihak terlibat perlu bersifat lebih terbuka untuk menggunakan ganja bagi tujuan rawatan memandangkan sudah banyak kajian klinikal dijalankan sama ada di dalam makmal perubatan tempatan dan antarabangsa.
“Cuma, kita perlu lebih meneliti sejauh mana penggunaan itu dikawal dan mempelbagaikan lagi kajian klinikal atau penyelidikan berkaitan tumbuhan tersebut untuk digunakan sebagai kaedah perubatan alternatif.
“Menjadi satu kerugian jika ada kaedah alternatif termasuk tumbuhan itu (tetapi) tidak dimanfaatkan sebaiknya sekiranya ia terbukti mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser dan penyakit saraf,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.
Beliau berkata selain mempelbagaikan jenis kaedah perubatan, produk berasaskan ganja juga dilihat mampu mengurangkan kos rawatan memandangkan ia mudah dan boleh ditanam secara komersial, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan tanaman terkawal sedia ada.
“Kita sedia maklum kos perubatan terutama kanser sangat tinggi dan membebankan pesakit.Jadi, jika wujud alternatif lain, mungkin ia dapat membantu mereka ini dan sekarang paling diterima pakai adalah produk berasaskan ganja seperti mana yang dilakukan di negara luar termasuk Amerika Syarikat, Thailand dan Mexico,” katanya.
Pada Ahad, melalui portal tempatan melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya dengan Kementerian Kesihatan.
Dr Lee berkata, antara aspek yang diteliti kerajaan sebelum mengesahkan sesuatu produk sebagai ubat adalah ia selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran Menteri Kesihatan.
Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli.

Artikel oleh : Astro Awani

PENGGUNAAN PRODUK BERASAS GANJA PERLU DIBERI PELUANG DALAM PERUBATAN

4809) PENGUNAAN PRODUK BERASAS GANJA PERLU DIBERI PELUANG DALAM PERUBATAN – SINAR HARIAN – 12/2/19



KUALA LUMPUR – Penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport perlu diberi peluang diterima secara terbuka bagi tujuan perubatan, kata ketua aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Katanya, kerajaan mahupun pihak terlibat perlu bersifat lebih terbuka untuk menggunakan ganja bagi tujuan rawatan memandangkan sudah banyak kajian klinikal dijalankan sama ada di dalam makmal perubatan tempatan dan antarabangsa.
“Cuma, kita perlu lebih meneliti sejauh mana penggunaan itu dikawal dan mempelbagaikan lagi kajian klinikal atau penyelidikan berkaitan tumbuhan tersebut untuk digunakan sebagai kaedah perubatan alternatif.
“Menjadi satu kerugian jika ada kaedah alternatif termasuk tumbuhan itu (tetapi) tidak dimanfaatkan sebaiknya sekiranya ia terbukti mampu merawat pelbagai penyakit termasuk kanser dan penyakit saraf,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata selain mempelbagaikan jenis kaedah perubatan, produk berasaskan ganja juga dilihat mampu mengurangkan kos rawatan memandangkan ia mudah dan boleh ditanam secara komersial, selaras dengan peruntukan undang-undang berkaitan tanaman terkawal sedia ada.
“Kita sedia maklum kos perubatan terutama kanser sangat tinggi dan membebankan pesakit. Jadi, jika wujud alternatif lain, mungkin ia dapat membantu mereka ini dan sekarang paling diterima pakai adalah produk berasaskan ganja seperti mana yang dilakukan di negara luar termasuk Amerika Syarikat, Thailand dan Mexico,” katanya.
Semalam, melalui portal tempatan melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya dengan Kementerian Kesihatan.
Dr Lee berkata, antara aspek yang diteliti kerajaan sebelum mengesahkan sesuatu produk sebagai ubat adalah ia selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran Menteri Kesihatan. Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli. – Bernama

Artikel oleh : Sinar Harian
PENGUNAAN PRODUK BERASAS GANJA PERLU DIBERI PELUANG DALAM PERUBATAN



4808) PPIM GESA MR DIY MOHON MAAF SECARA TERBUKA – SINAR – 8/2/19


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa rangkaian kedai perkakasan MR DIY untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu pelekat berbentuk tapak kaki yang didakwa mempunyai kalimah ALLAH dan Muhammad.
Pembantu Khas PPIM, Mat Ramlee Buang berkata, ini bagi menjaga sensitiviti umat Islam serta keharmonian masyarakat dan keamanan negara.
Menurutnya, pelekat tapak kaki itu tertera jelas berbentuk cetakan kalimah ALLAH dan Muhammad.
“Kami ada buat serbuan semalam di salah satu cawangan MR DIY di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dan saya dimaklumkan mereka telah menarik balik barang tersebut.
“Sebaiknya, mereka (MR DIY) harus membuat sidang media untuk menunjukkan permohonan maaf secara terbuka mereka berhubung isu ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Laporan tersebut dibuat pada jam 3 petang dan juga disertai Pertubuhan Melayu Sejati Nusantara dan Persatuan Pembangunan Sahsiah Ummah Malaysia.
Beliau berkata, laporan ini dibuat untuk mengambil tindakan sekiranya barang tersebut masih dijual atau diimport.
Terdahulu, media melaporkan MR DIY dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka telah mengeluarkan arahan menarik balik produk pelekat kenderaan itu dari semua cawangannya berkuat kuasa serta merta.
Pada masa sama, MR DIY turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku.
Sejak beberapa hari lalu tular video berdurasi 27 saat di laman sosial menunjukkan satu rakaman yang memaparkan pelekat berbentuk kaki dengan tulisan didakwa kalimah suci al-Quran yang dibeli di kedai MR DIY.

Artikel oleh : Sinar
PPIM GESA MR DIY MOHON MAAF SECARA TERBUKA

4807) ISU PELEKAT KAKI ADA KALIMAH ALLAH – PPIM – 8/2/19


Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan beberapa Ngo lain mendesak supaya pemilik MR D.I.Y membuat permohonan maaf secara terbuka dan meluas kepada orang ramai berhubung isu menarik balik kesemua aksesori pelekat kenderaan berbentuk tapak kaki didakwa mempunyai cetakan kalimah Allah dan Muhammad yang dijual di kedai mereka.
Ekoran tindakan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 3 petang tadi. Ahli Jawatan Kuasa PPIM Ramli, berkata tindakan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan cuai dalam menjaga sensitiviti orang islam. Jelasnya, biarpun permohonan maaf ada dibuat semalam dan produk terbabit juga telah ditarik balik.
Namun ianya tidak mencukupi, dua hari lepas Isu itu mula kecoh di media sosial apabila aksesori pelekat kenderaan berbentuk tapak kaki yang dijual di sebuah kedai perkakasan dan peralatan terkenal di negara ini didakwa mempunyai cetakan kalimah Allah dan Muhammad. Video yang dimuat naik pengguna Twitter @Mskylexer berhubung aksesori tersebut sejak Rabu malam menjadi tular dan mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Monday, February 4, 2019

4806) KUNJUNGAN WEHUMAN PPIM CERIAKAN KANAK-KANAK DI WAD KANSER HKL – HARIAN METRO – 4/2/19

Kuala Lumpur: Kesakitan yang dilalui kanak-kanak menghidap pelbagai jenis kanser di Wad Kanser, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) terubat dengan kunjungan Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan (WeHuman) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam.
Mereka datang dengan membawa pelbagai sumbangan bagi menghiburkan hati pesakit cilik yang berwajah murung, merengek dan mahu sentiasa berada dalam dakapan ibu.
Ada yang baru lepas menerima rawatan kemoterapi sehingga meragut seketika keceriaan mereka kerana kesan yang terpaksa lalui seperti loya dan pening kepala.

Kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu Kuala Lumpur turut disertai badut yang membuat belon dan mainan untuk anak-anak kecil itu.
Hadir sama, Penaung WeHuman Datuk Dr Fauzi Mohamad, Pengerusi WeHuman Srizan Sahar dan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Nadzim yang ditemui media selepas lawatan itu berharap, NGO bukan saja membuat kunjungan dan memberikan sumbangan kepada pesakit, tetapi juga membantu mengurangkan beban keluarga yang ditinggalkan di rumah.
“Apabila ada seorang sakit, sudah pasti yang di rumah juga akan menerima kesan. Mungkin salah seorang ibu atau bapa terpaksa berhenti kerja serta meninggalkan adik-beradik lain ditinggalkan di rumah tanpa jagaan.
“Seorang ahli keluarga ditimpa sakit, yang lain akan turut merasakan kesannya dan mereka terpaksa berkorban,” katanya.
Selain itu, Nadzim turut menggesa kerajaan supaya melihat kembali pemakanan rakyat Malaysia yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan masyarakat.
“Amalan pemakanan kita perlu dilihat dan dikaji secara serius yang berkemungkinan menjadi antara punca bertambahnya pesakit kanser di negara ini, selain masyarakat juga perlu menjalani gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan mereka,” katanya.
Antara pesakit yang dikunjungi termasuk seorang kanak-kanak Orang Asli dari Raub, Pahang iaitu Bajar Karat yang baru berusia enam tahun.
Artikel oleh : Harian Metro
KUNJUNGAN WEHUMAN PPIM CERIAKAN KANAK-KANAK DI WAD KANSER HKL

4805) KUJUNGAN PELAWAT, PENAWAR GEMBIRAKAN HATI PESAKIT – RTM TV1 – 3/2/19



4804) LAWATAN PPIM BERSAMA WEHUMAN DAN PEMA KE HOSPITAL BESAR KUALA LUMPUR – 3/2/19

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berbesar hati menerima jemputan oleh Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan (WeHuman) untuk bersama-sama membuat kunjungan ke wad kanak-kanak kanser Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)
Turut serta adalah wakil Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA).










4803) PPIM DAN WEHUMAN BERGABUNG LAWAT KANAK-KANAK KANSER – MALAYSIA GAZETTE – 3/2/19



Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kiri) bersama Penaung WeHuman, Datuk Fauzi Mohamad (tengah) dan Pengerusi WeHuman, Srizan Safar ketika melawat program kanak-kanak kanser di Wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...