Aktivis PPIM, Yusuf Azmi yang mengetuai perarakan berkenaan memberitahu pemberita, tindakan berkenaan diambil untuk menggesa pihak pentadbiran tertinggi Chevron mengadakan perbincangan dengan kesemua pengusaha stesen minyak terlibat bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka.

Jelas Yusuf, mereka terpaksa melakukannya kerana sebelum ini pelbagai usaha para pengusaha terbabit untuk mengajak pentadbiran tertinggi syarikat tersebut ke meja rundingan seringkali ditolak tanpa alasan kukuh oleh pihak ataupun dengan pelbagai alasan.

Tegas beliau, pihaknya hanya mahukan jawapan Chevron mengenai sebab serta alasan penamatan kontrak kesemua para pengusaha diberikan kepada pihak yang terbabit.

“Bukan sahaja kami tetapi juga para pengguna lain di Malaysia juga mahukan jawapan kepada perkara ini.

“Jika ini tidak dilakukan masyarakat mungkin akan membuat persepsi negatif terhadap syarikat berkenaan,” katanya selepas bertemu dengan wakil Chevron di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini petang ini.

Yusuf dalam masa sama memberitahu wakil Chevron yang bertemu dengan pihaknya telah bersetuju untuk mengadakan satu pertemuan dengan kesemua 15 pengusaha stesen minyak berkenaan dalam masa terdekat.

Kemelut antara kedua-dua pihak ini bermula apabila kesemua 15 pengusaha stesen minyak Caltex berkenaan menerima notis 30 hari untuk menutup stesen minyak masing-masing, iaitu 6 hari selepas sambutan Aidilfitri.

Menurut mereka, tindakan tanpa alasan yang diberikan itu menyebabkan kira-kira 200 kakitangan hilang pekerjaan.
Dalam pada itu, wakil Chevron Malaysia yang bertemu dengan Yusuf menafikan pihaknya enggan berjumpa dengan para pengusaha stesen yang terlibat.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan masih belum boleh dilakukan kerana kepimpinan tertinggi syarikat berkenaan pada ketika ini tidak dapat meluangkan masa untuk mengadakan pertemuan berkenaan.

Beliau turut menambah, apa sahaja tindakan yang oleh pihaknya dalam isu ini dilakukan menurut peruntukan undang-undang yang terdapat dalam kontrak yang dipersetujui oleh para pengusaha stesen minyak Caltex yang terlibat. - UTUSAN ONLINE