Thursday, July 13, 2017

3888) Biar polis siasat - Ab Rashid - Berita Harian Online - 13/7/2017

Snapshot(6)
KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai memberi ruang dan masa kepada mereka menjalankan siasatan berhubung kejadian pencerobohan di sebuah syarikat pajak kereta di Lot 1926, Sungai Sikamat, Batu 13, Kajang, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, ketika dihubungi BH, berkata adalah tidak wajar orang ramai bertindak menyalahkan pihak polis sedangkan siasatan berhubung kes itu belum selesai.
Katanya, polis daerah Kajang melakukan tindakan yang betul dengan menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut membabitkan semua pihak dalam kejadian itu.
"Sementara siasatan dijalankan, kita minta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. "Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan adil berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak, beri kita masa untuk selesaikan siasatan," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas satu status yang dimuat naik oleh Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi di laman Facebook miliknya, awal pagi tadi, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis daerah Kajang yang dikatakan tidak bersikap adil ketika menangani kejadian itu.
Yusuf turut memuat naik satu salinan paparan bersama status itu berkaitan satu kenyataan seorang individu yang mendakwa syarikat pemajak kereta terbabit menceroboh tanah miliknya di Lot 1926 terbabit.
Menurut Ab Rashid, pihaknya belum dapat mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Kita terima banyak laporan berhubung perkara ini daripada pelbagai pihak, kita masih meneliti kesahihan dakwaan individu terbabit," kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri dan membelakangkan undang-undang. Kelmarin, kekecohan tercetus apabila sekumpulan pemilik kereta menuntut semula kenderaan masing-masing yang dipajak kepada syarikat terbabit selepas berasa tertipu kerana tidak mendapat pulangan sewajarnya seperti dijanjikan.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, kira-kira 30 pemilik kereta dengan beberapa aktivis PPIM dikatakan memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat itu dengan tujuan mengambil semula kenderaan masing-masing sehingga berlaku kekecohan.
Susulan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit membuat satu laporan polis pada hari sama. Polis daerah Serdang dan Kajang turut menjalankan siasatan ke atas syarikat terbabit susulan 45 laporan yang diterima daripada pemilik kereta yang mendakwa ditipu sebelum ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/301557

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...