Thursday, July 13, 2017

3878) MUDAH.MY KOMITED TINGKAT KEPAKARAN BANTERAS PENIPUAN - BERITA HARIAN - 13/7/2017

berita harian 13.7.2017
Laman web jual beli terkemuka, Mudah.my, mendakwa sudah meningkatkan keselamatan terhadap aktiviti jual beli dalam talian kendaliannya, secara menubuhkan pasukan khas yang menyemak semua iklan yang disiarkan.
Dalam kenyataannya semalam, Mudah.my berkata, sebaik dikenal pasti sebagai pengiklanan palsu, pasukan itu segera mengeluarkan dari laman web berkenaan, seterusnya menghalang sebarang iklan baharu yang cuba dimasukkan pihak terbabit.
Katanya, Mudah.my juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dengan menyalurkan maklumat diperlukan bagi menyelesaikan sesuatu kes penipuan dalam talian.
"Statistik aduan pengguna tidak boleh kami dedahkan kepada media, bagaimanapun fokus utama Mudah.my ialah memastikan laman web ini sentiasa menyediakan persekitaran selamat untuk pengguna.
"Selain itu, kami turut mendidik pengguna mengenai kaedah transaksi yang selamat dan bagaimana mencegah pelbagai bentuk penipuan dalam talian.
"Kami komited meningkatkan kepakaran dalam teknologi baharu serta apa jua kaedah untuk banteras penipuan dalam talian bagi memastikan platform ini bebas daripada sebarang ancaman.
BERHATI-HATI DENGAN TAWARAN
"Kami percaya, pengguna dan pengunjung dalam talian sebagaimana laman web lain turut melakukan perkara yang sama. Berhati-hati dengan tawaran yang "terlalu bagus untuk menjadi kenyataan" dengan cara melaporkan kepada kami atau meneliti iklan berkenaan," katanya menerusi kenyataan itu.
BH semalam, melaporkan kira-kira 30,000 kes penipuan dalam talian yang dilaporkan berlaku sejak awal tahun lalu. Susulan kegiatan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa membanteras penipuan membabitkan pengiklanan menerusi laman web jual beli sebelum ia menjadi tidak terkawal.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berpendapat, ketiadaan peraturan atau undang-undang mengawal laman web yang menyediakan ruang pengiklanan ketika ini dimanipulasikan sesetengah pihak untuk menipu pengguna.
Setakat ini, KPDNKK dan SKMM belum memberi sebarang maklum balas ketika dihubungi BH.
Mengulas lanjut isu itu, Mudah.my berkata, pihaknya juga menggalakkan pembeli dan penjual bertemu di tempat awam seperti pusat beli-belah atau berhampiran balai polis, supaya pembeli boleh memeriksa produk yang ditawarkan untuk jualan, sebelum membuat pembayaran.
"Kami sentiasa menegaskan supaya pembeli tidak membuat sebarang pembayaran deposit sebelum memeriksa atau menerima barangan terbabit.
"Mudah.my juga bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dan agensi penguatkuasa undang-undang untuk mendidik orang ramai berhubung kepentingan keselamatan jual beli dalam talian."katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...