Wednesday, July 12, 2017

3867) 30,000 KES TIPU JUALAN DALAM TALIAN - BERITA HARIAN - 12/7/2017

berita harian 12.7.2017
Syarat longgar kepada penjual dan pembeli yang mengiklan menerusi laman web jual beli dalam talian, didakwa menjadi punca lebih 30,000 kes penipuan di negara ini, sejak tahun lalu.
Penipuan itu membabitkan aktiviti jualan barangan baharu dan terpakai, termasuk kereta, telefon bimbit, produk elektrik, haiwan peliharaan, barangan hobi serta kemudahan rumah sewa.
Berdasarkan aduan dikumpul Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Persatuan Penjual Kereta & Syarikat Kredit (FMC) Kuala Lumpur dan Selangor (FMC), penipuan menerusi laman web itu menyebabkan setiap mangsa kerugian antara RM500 hingga RM30,000.
Usaha mengesan individu atau pihak yang mendalangi penipuan sukar kerana tiada maklumat latar belakang mereka disimpan syarikat pengendali laman web berkenaan, khususnya yang mendaftar sebagai penjual peribadi atau individu.
Penjual secara peribadi atau individu, hanya perlu mengemukakan alamat e-mel serta nombor telefon sahaja ketika mendaftar, sebelum menawarkan barangan atau menawarkan perkhidmatan.
Alamat e-mel dan nombor telefon terbabit kemudian ditamatkan perkhidmatan oleh suspek, sebaik memperoleh bayaran selepas menipu beberapa mangsa.
Mangsa pula cenderung tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana beranggapan prosedur remeh dan panjang yang perlu ditempuh dalam usaha menjejaki suspek serta menelan kos yang tinggi.
Sekurang-kurangnya 11 aduan membabitkan penipuan jual beli kereta diterima dua pertubuhan itu setiap bulan membabitkan laman web yang sama.
BEKERJASAMA DENGAN PPIM
Presiden FMC Kuala Lumpur dan Selangor, Khoo Kah Jin, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan PPIM, dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kegiatan penipuan yang memanipulasi kelemahan pendaftaran penjual dalam talian itu.
Beliau berkata, pihaknya pernah memaklumkan kepada pengendali laman web terbabit termasuk mengemukakan beberapa laporan polis yang dibuat pengguna yang tertipu, namun tiada sebarang tindakan diambil pemilik laman web itu bagi menghentikan penipuan berkenaan.
"Tanpa penguatkuasaan, pengendali laman web itu mengambil sikap lepas tangan dan sebaliknya meminta pengguna bertanggungjawab mencari dan menangkap sendiri penipu berkenaan.
"Ada juga pengadu membuat laporan polis memaklumkan maklumat syarikat mereka disalah guna pihak lain untuk memperdayakan mangsa menggunakan laman web sama,"katanya dalam sidang media bersama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, ketika mendedahkan itu berkenaan.
Beliau berkata, selain penipuan pembelian, laman web itu turut menjadi medan mempromosi kegiatan sambung bayar pemilikan kenderaan, yang tidak sepatutnya berlaku kerana menyalahi undang-undang, manakala perjanjian yang dibuat pembeli dan penjual tidak sah.
Nadzim mengakui, PPIM menerima banyak aduan daripada pengguna yang ditipu ketika berurusan dengan penjual atau pembeli menerusi laman web terbabit.
Sementara itu, seorang wanita berusia 32 tahun yang menjadi mangsa penipu yang mengiklan menerusi laman web itu, mendakwa kerugian RM1,200 yang dibayar sebagai pendahuluan rumah untuk disewa selepas tertarik dengan iklan yang disiarkan.
Seorang lagi mangsa berusia 30 tahun, mendakwa kerugian RM1,000 selepas membayar pendahuluan untuk kereta yang dijual murah menerusi iklan dalam laman web sama.
PPIM SYOR MEKANISME KAWALAN
Kuala Lumpur" Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa segera bertindak membanteras kegiatan penipuan membabitkan pengiklanan menerusi laman web sebelum ia menjadi tidak terkawal
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berpendapat ketiadaan peraturan dan undang-undang untuk mengawal laman web yang menyediakan ruang pengiklanan ketika ini dimanipulasikan sesetengah untuk menipu pengguna.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata SKMM dan KPDNKK perlu ada mekanisme kawalan terhadap laman web yang menyediakan perkhidmatan seperti itu bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata, antara aspek kawalan yang perlu diberi perhatian adalah pendaftaran latar belakang serta maklumat lengkap mengenai individu atau syarikat yang menawarkan barangan atau perkhidmatan untuk jualan menerusi pengiklanan dalam laman web.
"Pengendali laman web juga perlu bertanggungjawab untuk menyemak latar belakang individu atau syarikat yang mendaftar sebagai penjual yang mengiklan menerusi sesawang mereka sebagaimana kaedah pengesahan biasa digunakan agensi telekomunikasi atau perbankan.
PERLU PERHATIAN SERIUS
"Pengendali laman web jual beli juga perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan atau memulangkan kembali bayaran jika barang ditempah tidak diterima pembeli,"katanya.
Nadzim berkata, SKMM dan KPDNKK perlu mengenakan denda atau sekatan terhadap pengendali jika laman web yang disediakan mereka sebagai 'lubuk penipu'.
"Kerajaan perlu memandang serius isu penipuan dalam talian menerusi penguatkuasaan undang-undang yang bersesuaian kerana aktiviti jualan dalam talian kini meningkat dan masa sama semakin ramai yang mengambil kesempatan untuk menipu,"katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Tindakan Khas PPIM, Yusuf azmi, berkata SKMM perlu bersikap proaktif dengan mengambil tindakan menyekat laman web yang digunakan untuk menipu, sama seperti dikenakan terhadap laman pornografi atau yang terbabit menghasut serta fitnah.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...