Saturday, July 15, 2017

3905) Lapor penipuan jualan dalam talian - Jailani - Berita Harian Online - 15/7/2017

Snapshot(3)
KUALA BERANG: Mangsa penipuan urus niaga dalam talian harus tampil bagi memudahkan proses siasatan terhadap laman jual beli yang menipu pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata kebanyakan pengguna yang menjadi mangsa malu untuk muncul dan melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa.
"Segera laporkan sebarang penipuan terus kepada polis agar ia memudahkan usaha polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sebarang (perkara) teknikal ke atas laman-laman yang menipu ini.
"Untuk isu begini, kita akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kesalahan di atas akta yang berkaitan penipuan dalam talian.
SKMM hanya akan bertindak apabila sesuatu kes dirujuk secara bertulis kepada kita," katanya. Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Pengajian Tahsin Al-Quran Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kini dua laman terbabit telah disekat di bawah permintaan polis. Beliau berkata, sesebuah laman jual beli dalam talian beroperasi haruslah mengikut dan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang mula dikuatkuasakan KPDNKK pada 1 Julai 2013.
"Pastikan untuk membeli apa jenis produk, alat, kenderaan sebagainya dalam talian...penjual telah berdaftar terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana ia akan memudahkan polis, KPDNKK untuk melakukan siasatan jika berlakunya sebarang kes penipuan," katanya.
Sehingga kini dianggarkan sebanyak 30,000 aduan diterima sejak tahun lepas oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung penipuan di portal jualan dalam talian. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/302073

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...