Tuesday, July 18, 2017

3916) Selepas serbu syarikat pajak kenderaan, PPIM halang Caltex rampas stesen minyak - FMT NEWS - 17/7/2017


SHAH ALAM: Selepas menyerbu sebuah syarikat pajakan kenderaan minggu lalu, Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lagi menjadi orang tengah dalam tuntutan klien mereka.
Kali ini kumpulan itu menghalang Caltex menutup sebuah stesen minyak di bawah jenamanya apabila notis sebulan yang diberikan 15 Mei lalu tamat.
Pengusaha stesen minyak itu tidak dibenarkan menyerahkan kunci kepada wakil Caltex, dan menghalang syarikat minyak itu menyedut keluar minyak di stesen tersebut.
“Caltex Malaysia tidak memberi sebab kenapa premis ini diarahkan tutup,” kata Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi kepada FMT.
“Kita tetap dengan pendirian kita tidak akan serah kunci dan tidak benarkan mereka sedut minyak selagi tiada perbincangan,” tambanya, dan menambah PPIM tidak berhasrat melanggar sebarang peraturan atau mencari gaduh dengan syarikat minyak itu.
“Cuma apa yang kita minta pihak Caltex Malaysia datang berbincang dengan cara baik. Hari ini mereka hantar wakil tapi wakil mereka tidak boleh jawab soalan kita sebab premis ini ditamatkan operasi.”
Terdahulu, pegawai dan kakitangan Caltex datang bersama lori tangki ke stesen minyak jenama itu yang diusahakan Fauziah Ahmad Fadzil di Shah Alam dan meminta premis itu diserahkan kembali kepada mereka.
Ketika ditanya FMT dan PPIM alasan premis itu ditamatkan operasi, wakil syarikat minyak itu menjawab “atas arahan pihak atasan mingikut terma kontrak yang ditetapkan” tanpa menggulas lanjut.
“Tindakan mereka ini seolah mahu membuli,” tegas Yusuf. “Caltex Malaysia masih belum ada kuasa lagi untuk masuk ke kawasan ini sebab ini bukan ‘rumah dia’. Kawasan ini masih milik pengusaha lagi.”
Pada 20 Jun lalu, Fauziah bersama 14 pengusaha dari Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak mengadakan sidang media membidas penamatan operasi stesen mereka yang diterima melalui notis 15 Mei lalu. Caltex memberikan tempoh 30 hari untuk menyerahkan stesen masing-masing.
Susulan itu, Fauziah berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Caltex kerana menamatkan operasi mereka “tanpa alasan munasabah”, selain menyebabkan 200 pekerja mereka hilang pekerjaan.
“Saya sudah kira kalau ditutup sekarang ini kerugian kami hampir RM20 juta untuk 1 stesen. Kami juga telah adukan perkara ini kepada pihak KPDNKK dan kami juga jumpa menteri, beliau terkejut benda ini berlaku, malah menteri juga sudah bersetuju dengan mengarahkan Caltex supaya tidak membatalkan permit tapi perkara ini masih berlaku,” katanya.
Sementara itu, wakil peguam PPIM Datuk Hishamuddin Hashim berkata tindakan Caltex dilakukan secara tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang.
“Apabila kita semak bentuk perjanjian kita dapati bahawa sekiranya penamatan ini berlaku ia mestilah bersifat tidak menganiayai atau kena berlaku adil kepada pengusaha, malah setakat ini tidak ada perintah mahkamah yang dikeluarkan kepada pihak Caltex Malaysia untuk halau pengusaha,” katanya.
Hishamuddin pada masa sama tidak menolak kemungkinan tindakan Caltex ini mempunyai kaitan dengan tindakan undang-undang yang dibawa 15 pengusaha stesen minyak itu terhadap syarikat minyak itu sebelum ini.
Caltex sebelum ini didakwa melanggar arahan kerajaan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan layan diri di stesen minyak, yang menurut mereka syarikat minyak itu perlu menanggung kos melaksanakan perkhidmatan layan diri, termasuk alat automasi dan penyelenggaraan alat tersebut, tanpa sebarang caj langsung atau tidak langsung dikenakan ke atas pengusaha stesen minyak.
Menurut Fauziah, keputusan Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menyebelahi Caltex dan meereka perlu membayar ganti rugi RM300,000 setiap seorang.
“Kami tidak menolak kemungkinan disebabkan kes di mahkamah sebelum ini, mereka semua ditamatkan kontrak. Semua yang lawan Caltex di mahkamah sebelum ini berhubung isu dibatalkan permit, bagaimanapun kenyataan rasmi daripada Caltex Malaysia mereka tidak kata itu sebabnya,” kata Hishamuddin.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...