Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan dan agensi berkaitan mengkaji semula pendekatan menangani jenayah penipuan kewangan, khususnya membabitkan keldai akaun supaya individu yang benar-benar menjadi mangsa tidak terus dihukum.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata sistem keadilan jenayah perlu memberi keutamaan kepada siasatan yang menyeluruh bagi memastikan tindakan hanya dikenakan terhadap individu yang benar-benar bersalah.
Jelasnya, terdapat kes membabitkan pemegang akaun yang mendakwa mereka tidak mengetahui akaun bank mereka disalahgunakan oleh sindiket penipuan, namun berdepan pelbagai sekatan sehingga menjejaskan kehidupan.
"Kita mahu sistem keadilan jenayah benar-benar memihak kepada rakyat yang teraniaya. Siasatan perlu dilakukan dengan teliti supaya jika seseorang itu benar-benar memperoleh manfaat daripada jenayah berkenaan, dia bertanggungjawab.
"Tetapi jika dia sendiri tidak tahu akaunnya dimanipulasi, dia pula menjadi mangsa.
"Individu yang disenarai hitam akibat dikaitkan dengan keldai akaun berdepan kesukaran membuka akaun bank baharu, mendapatkan pekerjaan, membuat pinjaman serta meneruskan pengajian," katanya dalam sidang media berkaitan penipuan di sini, hari ini.
Katanya, keadaan itu memberi kesan besar kepada kehidupan mangsa dan keluarga mereka.
Nadzim berkata, sehubungan itu PPIM akan mengemukakan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Menteri Komunikasi serta kementerian dan agensi berkaitan bagi menggesa penambahbaikan dasar dan prosedur pengendalian kes.
Aktivis itu turut mendakwa terdapat kelemahan dalam sistem perbankan yang menurutnya masih membuka ruang kepada penyalahgunaan transaksi, termasuk isu paparan transaksi "float" yang boleh mengelirukan pengguna.
Mengulas statistik penipuan kewangan, Nadzim berkata pihaknya menerima 10,000 aduan berkaitan keldai akaun, manakala keseluruhan kerugian akibat jenayah penipuan dianggarkan mencecah RM2.6 bilion berdasarkan yang diperoleh daripada pihak polis.
"Jumlah itu menunjukkan masalah berkenaan semakin serius dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
"Semua pihak mempunyai peranan termasuk pengguna, institusi kewangan dan pihak berkuasa. Pengguna memang perlu lebih berhati-hati tetapi jika mereka tidak cuai sekalipun, mereka tetap perlu diberi perlindungan. Kaedah sedia ada perlu dinilai semula supaya mangsa tidak terus menjadi mangsa," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
ISU KELDAI AKAUN: PPIM GESA KAJI SEMULA PENDEKATAN SUPAYA MANGSA SEBENAR TIDAK TERANIAYA


.jpeg)
.jpeg)

.jpeg)

.jpeg)

.jpeg)