Friday, July 14, 2017

3894) TANAH DIMILIKI BEBERAPA PENAMA - METRO ONLINE - 13/07/2017

Metro_Tanah dimiliki beberapa penama Harian Metro
POLIS melakukan siasatan terhadap dakwaan premis simpanan kereta milik syarikat pajakan kenderaan di Jalan Sungai Sikamat, Kajang, beroperasi di atas tanah milik individu tanpa kebenaran.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, ia berikutan siasatan awal mendapati lot tanah berkenaan dimiliki beberapa individu.
“Namun, kita masih menyiasat dakwaan itu kerana berkemungkinan sama ada pemilik tanah menyewakannya kepada syarikat berkenaan.
“Kita difahamkan tanah itu dimiliki empat hingga lima penama," katanya yang ditemui selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara di Balai Polis Kapar, Klang, hari ini.
Asisten Komisioner Mazelan Paijan yang juga bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri mengambil alih tugas itu menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat yang kini Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 500 aduan mengenai penipuan syarikat pajakan kenderaan didalangi seorang lelaki bergelar Datuk Seri.
Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, modus operandi digunakan ialah sambung bayar menerusi satu perjanjian yang sebenarnya tidak membawa sebarang nilai.
Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.
Isnin lalu, 23 pemilik kenderaan yang mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat pajakan kenderaan itu berkumpul di sebuah premis simpanan kereta di Jalan Sungai Sikamat, Kajang, bagi menuntut semula kenderaan mereka.
Usaha bermula jam 11 pagi itu diketuai Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM Yusuf Azmi yang membawa semua 23 mangsa ke sebuah penyimpanan kenderaan menempatkan kereta mangsa sejak beberapa bulan lalu, namun berlaku kekecohan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan dilapor berkata, polis menerima laporan mendakwa sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan menceroboh.
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 447 dan 427 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan perbuatan khianat.
Ab Rashid berkata, pihaknya kini dalam proses merekodkan keterangan kedua-dua pihak antara PPIM dan pihak syarikat pajakan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan terutama berkaitan menceroboh premis," katanya.
Selanjutnya di https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/07/244485/tanah-dimiliki-beberapa-penama

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...