Wednesday, July 26, 2017

3967) PDRM SIAP SEDIA HADAPI KRISIS, ANCAMAN MENJELANG KL2017 - BERITA HARIAN - 26/7/2017


Kuala Lumpur- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia menghadapi sebarang krisis dan ancaman keselamatan menjelang acara Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.
Setakat ini, semua pegawai dan anggota yang terbabit sudah menjalani tiga latihan menerusi Ex-Rimau 2017, sebagai ujian untuk melihat keberkesanan perancangan dan tindakan dalam menghadapi ancaman keselamatan.
Ketua Polis Negara , Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata semua latihan terbabit sebelum ini diadakan di lokasi utama seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Langkawi dan Lembah Bidong, Terengganu.
“ Persiapan setiap pegawai dan anggota kita adalah mengikut jadual  seperti dirancang dan saya yakin mereka sudah bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Dua lagi perbincangan
“ Dalam masa terdekat kita ada dua lagi perbincangan mengenai sebarang perancangan terkini mengenai persediaan kita,” katanya pada siding media Bukit Aman semalam.
Latihan Ex- Rimau, adalah membabitkan langkah keselamatan bagi menghadapi ancaman bom dan serangan pengganas serta ujian dan cara menangani situasi seperti sebahagian bangunan Stadium runtuh dan masalah kesihatan tetamu kenamaan VIP.
Dalam perkembangan lain, Khalid turut menasihatkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk tidak melampaui batas dengan mengambil tindakan sendiri bagi membela beberapa pengguna.
Tak patuh undang-undang
“ Tindakan mereka memburu pengusaha skim pajakan kereta di Seri Kembangan dan Sungai Ramal, Kajang, atas alasan membela nasib pengguna yang teraniaya dianggap sebagai tidak mematuhi undang-undang.
“ Kalau kita tidak ada kuasa untuk mengambil sebarang tindakan, kita janganlah buat, serahkan kepada polis dalam menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata seperti mana yang sudah diumumkan sebelum ini, satu pasukan khas sedang menjalankan siasatan bagi melihat laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta berkenaan.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...