Monday, October 23, 2017

4185) PPIM TAK GENTAR UGUTAN SINDIKET – SINAR HARIAN – 21/10/17


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak gentar dengan ugutan  sindiket perjudian yang tergugat dengan pendedahan dibuat NGO itu.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, malah pihaknya tidak akan berganjak dalam usaha membasmi sindiket perjudian haram yang bertapak di negara ini sejak sekian lamanya.

Menurutnya, ini peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk melihat kegiatan perjudian haram dapat dihentikan secara besar-besaran.
“Kita tak gentar dengan ancaman, malah sedia pertaruh nyawa. Saya mohon doa dan sokongan masyarakat supaya beri kekuatan serta sokongan kepada pihak berkuasa.
“Dengan kesungguhan pihak berkuasa, saya yakin dan percaya kegiatan ini dapat dibasmi sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, semalam.
Mengulas lanjut pendedahan terbaru sindiket berkenaan yang dikaitkan dengan 9 Dragons, Nadzim berkata, sindiket berkenaan telah mengadakan perjumpaan berikutan rasa tidak senang  terhadap campur tangan yang dibuat persatuannya terhadap urus niaga mereka.
“Saya dimaklumkan mesyuarat ini diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri lima atau enam ketua kumpulan yang mengetuai sindiket berkenaan.
“Mereka adakan mesyuarat kerana rasakan periuk nasi terganggu dengan campur tangan PPIM terhadap bisnes mereka,” katanya.
Sementara itu, Nadzim turut mengakui dihubungi polis berhubung pendedahan aktiviti perjudian berkenaan sebelum ini.
“Insya-ALLAH, saya akan ke Bukit Aman minggu depan untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Nadzim  mendakwa, sindiket perjudian haram di Malaysia dikawal oleh  individu seramai sembilan orang dikenali sebagai 9 Dragons.
Beliau dakwa sistem itu telah lama diamal kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan mereka yang berada dalam agensi penguat kuasa ‘dibeli’ bagi melicinkan kerja kotor mereka.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...