Thursday, October 19, 2017

4179) SEMBILAN "DRAGON" KAWAL MALAYSIA ? - UTUSAN MALAYSIA - 19/10/17





KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dra­gon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, kumpulan sembilan dragon itu mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan (gambar) mendakwa, sistem sembilan dra­gon itu telah lama di­amalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mem­punyai kuasa di dalam agensi pe­nguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwa beliau, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk me­nu­karkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.

“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Nadzim, undang-undang yang terdapat dalam sistem dragon iaitu, pengkhianat akan ditembak mati menyebabkan pihak berkuasa terlibat tidak berani melawan dan terpaksa akur dengan permintaan kumpulan tersebut walaupun ia bercanggah dengan kedaulatan negara.

Mengulas mengenai sistem dragon berkenaan, Nadzim memberitahu, hierarki itu telah wujud sejak sekian lama, bahkan ia mempunyai hubungan dengan kumpulan lain di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi menjalankan akti­viti mereka.

Ujar beliau, terdapat juga beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.

“Jika sebelum ini ada pendedahan mengenai individu bernama Alex, dia juga adalah anggota kepada sembilan dragon berkenaan yang memakai gelaran dragon nombor lima yang mempunyai hubungan kuat dengan orang ‘besar’ di negara ini.

“Saya difahamkan terdapat sembilan dragon utama, jika mungkin ada tambahan saya tidak pasti, tetapi kesemua mereka mempu­nyai gelaran Tan Sri dan Datuk Seri yang dibeli untuk mengaburi ke­giatan sebenar mereka,” katanya.

Mereka yang mempunyai gela­ran itu turut sinonim dengan pelbagai perniagaan di negara ini dan berjaya mengutip lebih RM5 bilion sebulan hasil daripada perjudian.

Menurutnya, wang tersebut dikumpul daripada seluruh negara dan akan diagihkan kepada syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi mencuci wang haram itu untuk mengelakkan ia mudah dikesan.

Tambahnya, dengan wang yang banyak itu, ia akan memudahkan mereka menjalankan kegiatan ha­ram termasuk membayar wang perlin­dungan kepada pihak berkuasa serta siapa-siapa yang mengganggu perjalanan perniagaan mereka.

“Disebabkan sistem yang berkesan dan bantuan teknologi terkini, wang tersebut sukar untuk dilarikan oleh mana-mana pekerja ke­rana takut akan dibunuh oleh anggota sembilan dragon tersebut,” jelasnya.




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...