Showing posts with label BIRO UNDANG-UNDANG PPIM. Show all posts
Showing posts with label BIRO UNDANG-UNDANG PPIM. Show all posts

Thursday, August 23, 2018

4600) BATAL SAMAN BERI MESEJ SALAH – UTUSAN MALAYSIA – 19/8/18



KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kebanyakan pesalah jalan raya yang mempunyai tunggakan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah mereka yang mempunyai lebih daripada satu saman, malah ada sehingga 10 saman tidak berbayar.
Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Arifin Che Mat bimbang keputusan membatalkan 3.1 juta saman AES dilihat memberi mesej yang salah apabila pesalah trafik berulang ini dilepaskan begitu sahaja.
Malah katanya, keputusan itu juga akan menyebabkan kerajaan dilihat pilih kasih kerana me­ngutamakan pihak bersalah ber­banding yang patuh pada undang-undang dengan segera melunaskan bayaran saman mereka sebelum ini.
“Kebanyakan yang ada saman AES tertunggak mempunyai lebih daripada satu, malah ada sampai 10 saman tak berbayar. Kalau AES sebelum ini hadir dengan sistem ‘demerit’ tak apalah juga kerana pesalah masih terkesan walaupun tidak perlu bayar saman.
“Namun nampaknya mereka dilepaskan begitu sahaja. Kita tak mahu kerajaan dilihat melepaskan mereka yang sudah biasa membuat kesalahan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke mengumumkan ke­semua 3.1 juta saman AES sejak 2012 hingga 31 Ogos ini yang bernilai RM435 juta akan diba­talkan serta-merta.
Operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Ja­lan (JPJ) bermula 1 September ini.
Mengulas lanjut, Arifin mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan sistem ‘demerit’ yang menurut beliau mampu meningkatkan disiplin pemandu di jalan raya.
“Malah, kerajaan juga boleh wujudkan kursus pemulihan un­tuk pengguna jalan raya yang ba­nyak melakukan kesalahan su­paya disiplin mereka dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berpendapat, sistem AES dengan format yang diguna pakai sekarang langsung tidak efektif dalam mengurangkan kemalangan jalan raya.
Hal ini kerana, menurut beliau, kedudukan kamera AES yang boleh diketahui umum melalui pemberitahuan di papan tanda dan pengesan dalam sistem navigasi menyebabkan pemandu menjadi hipokrit dengan memperlahankan kenderaan di kawasan yang ada kamera AES, namun meningkatkan kelajuan di kawasan yang tiada kamera AES.
Sehubungan itu kata beliau, tindakan kerajaan memindahkan operasi AES kepada JPJ juga tidak akan mendatangkan hasil selagi format tersebut tidak diubah.
“Saya menyeru kerajaan untuk membuat kajian semula supaya mekanisme lebih efektif dapat dikenal pasti,” katanya.
Artikel Oleh : Utusan Malaysia
BATAL SAMAN BERI MESEJ SALAH

Friday, May 4, 2018

4468) KONTRAKTOR “TUNDUK” DESAKAN PPIM – PPIM – 4/5/18

Negeri Sembilan 29 APR - Setelah hampir lima tahun menanti penyerahan kunci rumah berserta ‘Vacant Possesion’ dan Sijil Perakuan Siap atau Certificate Of Completion & Compliance (CCC) yang seharusnya diterima oleh kesemua pemilik unit Projek Bandar Tasik Senangin (BTS), Negeri Sembilan. 

Kini, kesemua pemilik unit dapat menarik nafas lega setelah kata putus dicapai antara Biro Khidmat Aduan PPIM, Biro Undang-Undang PPIM bersama pihak Kontraktor (Selayang Alunan) dan pihak Pemaju (Lion Group) bagi penyerahan kunci yang telah diadakan pada 29 April lalu dengan kerjasama usaha dan penglibatan Biro Tindakan BTS mengumpulkan seramai 286 pemilik unit hadir dalam sesi penyerahan kunci yang diadakan di Club House Mahkota Hills, Lenggeng.


Pada awalnya, pihak kontraktor hanya mengemukakan alasan yang tidak munasabah dan tidak berasas setiap kali dipersoal oleh pemilik unit.

“Pihak kontraktor tak serahkan bangunan rumah tersebut disebabkan alasan yang tidak munasabah”

“Kecuaian pengurusan pihak kontraktor sendiri memaksa saya menanggung kerugian dan menunggu sehingga terpaksa mendapatkan khidmat bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi menuntut hak saya” ulas wakil pemilik unit, Mohd Siddiq Edwind. 


Siddiq terpaksa menanggung kos sewa rumah, bil elektrik, air, cukai pintu dan tanah serta pemotongan bayaran pinjaman perumahan sejak Ogos 2013 lagi telah hadir ke PPIM pada akhir Januari lalu bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya betul-betul berharap PPIM dapat membantu menyelesaikan kemelut yang melanda Bandar Tasik Senangin sejak 2013”


Setelah mengadakan beberapa rundingan bersama Majlis Pembandaran Negeri Sembilan dan campur tangan PPIM sejak November 2017, pihak kontraktor akhirnya ‘menyerah kalah’ dan bersetuju menyerahkan kunci kepada pemilik. 





PPIM mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pemaju dan pihak kontraktor diatas budi bicara dan kerjasama dalam memastikan masalah ini dapat diselesaikan secara aman dan baik.

Wednesday, March 21, 2018

4412) PAKEJ PERKAHWINAN : REALITI ATAU FANTASI ? – SELAMAT PAGI MALAYSIA – 21/3/18

Temubual eksklusif bersama Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Hishamuddin Hashim membincangkan tajuk “Pakej Perkahwinan;Realiti Atau Fantasi” di Rancangan Selamat Pagi Malaysia @ TV1 dalam segmen Kopi Panas.





Tuesday, February 27, 2018

4381) ANAK ‘TAN SRI’ JUAL TIKET PENERBANGAN MURAH – SIDANG MEDIA PPIM – 27/2/18

Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima aduan mengenai sindiket menipu jualan tiket penerbangan murah oleh seorang wanita yang mengaku sebagai anak seorang ‘Tan Sri’.


Susulan itu pihak kami telah menjalankan siasatan dan mendapati wanita ini aktif memperdaya individu yang mencari pendapatan sampingan melalui penjualan tiket penerbangan murah.
Modus Operandi wanita yang dipercayai menjadi dalang penipuan ini adalah dengan cara melantik ejen-ejen penjualan tiket dan menjanjikan serta mengeluarkan tiket penerbangan palsu yang tidak wujud kepada pelanggan.
Oleh kerana kebiasaan proses pembelian tiket mengambil masa yang lama, contohnya pelanggan akan berurusan dengan ejen dilantik untuk menempah penerbangan enam bulan (6) lebih awal dari tarikh penerbangan, penipuan tidak dikesan pada awal perniagaan.


Namun begitu dalam masa yang singkat, wanita yang kami percayai terlibat secara langsung ini telah berjaya menipu ramai ejen dan seramai 11 orang telah tampil membuat laporan kepada pihak PPIM melibatkan jumlah kerugian hampir RM3.5 juta.
PPIM percaya ramai lagi yang terlibat termasuk anak kepada seorang peguam yang dikatakan mewakili wanita ini sebagai anak guam.
Setakat ini pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan terhadap ejen yang dilantik wanita ini namun sehingga kini wanita terbabit masih bebas menipu dan terkini, wanita terbabit sedang menjalankan sebuah perniagaan atas talian ‘online’ menjual produk kosmetik.



Difahamkan wanita yang juga pelajar perubatan tahun pertama disebuah institusi pengajian tinggi swasta ini juga cuba menipu rakan sekelas dengan menawarkan khidmat mendapatkan pinjaman dan biasiswa pelajaran oleh sebuah agensi kerajaan. Kes ini telah dimaklumkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi tersebut serta agensi kerajaan terbabit. Kes difahamkan dalam siasatan pihak berwajib.
Dalam kes itu seramai 30 orang pelajar telah menyerahkan maklumat peribadi mereka bagi tujuan tersebut. Selain itu, wanita ini turut memperdaya mangsa dengan mengakui dirinya sebagai anak tetamu kehormat ‘VIP’ berpangkat ‘Tan Sri’.
Kami menyeru pihak berwajib terutama pihak PDRM supaya menyiasat kes ini secara menyeluruh dan teliti kerana ia melibatkan kepentingan awam dan nama baik pelancongan Malaysia. Malahan, lebih 11 laporan polis telah dibuat keatas wanita ini namun tiada sebarang tangkapan terhadapnya.





Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, menegaskan bahawa pihak PPIM mahu tindakan yang adil terhadap semua yang terlibat bukan hanya keatas ejen yang dilantik oleh wanita ini.
“Kita tidak menyatakan polis tak buat kerja, mereka telah siasat ejen-ejen dan ramai yang telah direman dan didakwa, tapi yang kami mahu tahu apa tindakan mereka terhadap dalang ini?” Katanya di sidang media PPIM disini hari ini.
Selain itu Nadzim turut mempersoal tindakan wanita itu yang terus mencabar undangundang negara dengan menawarkan pinjaman pelajaran kepada pelajar perubatan .
“Adakah kerana dia mengaku sebagai anak ‘Tan Sri’ dia kebal dan bebas melakukan jenayah dan membiarkan ejen yang dilantiknya sebagai kambing hitam, adakah perundangan negara kita begitu lemah sehingga perkara ini dibiarkan berterusan?”



Di sidang media hari ini seramai 11 pengadu yang merupakan ejen yang dilantik telah hadir memberi keterangan dan bukti-bukti. Kini PPIM mahu jawapan pihak berwajib apakah tindakan yang bakal dikenakan.


Tuesday, February 6, 2018

4348) SIDANG MEDIA “MINUM MILO ANDA JADI SIHAT DAN KUAT” – PPIM – 6/2/18

Baru-baru ini PPIM dikejutkan dengan kenyataan yang dibuat oleh pengamal media sosial melalui video viralnya di Youtube mengatakan bahawa minuman kesihatan ‘Milo’ mengandungi 40% gula dalam satu tin. Ekoran daripada kenyataan tersebut, PPIM dihujani dengan pelbagai persoalan oleh pengguna yang mahukan kepastian dan kesahihan kenyataan tersebut.
Justeru itu, sidang media ini diadakan untuk mendapatkn penjelasan dari semua pihak antaranya ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) yang dilihat mengadakan pelbagai promosi yang menyakinkan pengguna bahawa “Minum Milo, Anda Akan Jadi Sihat dan Kuat”.





Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan menyatakan bahawa jenama sejenis susu yang ditambah dengan coklat dan malt keluaran syarikat Nestle ini boleh dianggap membawa ‘hyper’ kepada pelajar. Seperti yang kita sedia maklum, isu gula berlebihan adalah tidak baik untuk kesihatan. Malahan, Malaysia sendiri merupakan antara Negara yang mengalami keadaan kesihatan ataupun obesiti yang paling membimbangkan di Asia.
“Antara persoalan yang timbul adalah bagaimana pihak KKM boleh membenarkan perkara ini dan bagaimana KPM boleh memberikan ‘endorsement’ kepada produk ini.”
“Kita mahu perkara ini memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat Malaysia.”


“Mungkin KKM perlu mengkaji semula peranan kandungan supaya tidak memberi endorsement dalam keadaan tertentu.”
“Kita minta Pihak Kerajaan melihat semula dasar-dasar yang berkaitan kesihatan, serta bagaimana Pihak Kerajaan boleh memberi endorsement kepada minuman seperti “Coco-Cola” yang menggunakan sembilan sudu gula dalam setiap botol? soalnya.
Kerajaan juga digesa untuk melihat semula polisi yang berkaitan kesihatan sehingga membelanjakan RM28 billion bagi peruntukan klinik kesihatan semata-mata.
Sebagai sebuah syarikat antarabangsa, Milo perlu bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat lengkap dan terperinci kepada pengguna supaya tidak hanya mengikut kehendak semata-mata.


Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Hishamuddin Hashim turut menekankan bahawa PPIM tidak melabel dan mencari salah mana-mana pihak tetapi lebih kepada menjadi mata dan telinga pengguna dalam mendapatkan penjelasan berhubung isu yang menimbulkan kerisauan pengguna.
“Kita di PPIM mempunyai tanggungjawab untuk menjaga pengguna, kami perlukan penjelasan berkaitan kebenaran video yang viral itu sama ada benar atau salah.”
“Mungkin perkataan sihat itu sendiri perlu ada mekanisma tertentu bagi menjelaskan sama ada pihak itu sihat atau tidak.” tegasnya semasa sidang media yang berlangsung di Villa Puteri, Kuala Lumpur kira-kira jam 11:30 pagi ini.
Kementerian Kesihatan perlu memberi penjelasan garis panduan lengkap penggunaan ‘red sticker’ health choice product’ yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Sejauh manakah jaminan Kementerian produk yang mendapat sticker ini benar-benar sihat.



Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Othman Md. Yusoff, turut sama hadir membincangkan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak Nestle dalam video berdurasi kurang daripada 8 minit.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap keluaran produk di bawah syarikat Nestle yang dilabelkan perlu mematuhi undang-undang dan telah mendapat kelulusan dari KKM.
“Isu 40% gula dalam satu tin Milo yang timbul baru-baru ini adalah dalam keadaan serbuk dan belum dibancuh.”
“Separuh gula dari serbuk Milo itu datangnya dari susu yang sudah mengandungi gula semula jadi dan semestinya saya tegaskan Milo baik untuk kesihatan.” tambahnya lagi diakhir sidang media hari ini.
PPIM masih menantikan maklum balas dan kenyataan rasmi daripada KKM berkaitan isu kandungan Milo yang hebat diperkatakan kini.

Wednesday, January 17, 2018

4314) SKIM CEPAT KAYA INDAH KHABAR DARIPADA RUPA – KOSMO ONLINE – 17/1/18





BARU-BARU ini kita digemparkan dengan tangkapan ke atas dua individu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing melibatkan kerugian berjumlah RM1.56 juta.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 55 tahun yang merupakan pemilik dan pengurus syarikat pelaburan tersebut ditahan dalam serbuan di sebuah kedai haiwan yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu.
Selain premis di Shah Alam, pihak polis turut menyerbu dua lagi premis syarikat tersebut di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen berkaitan termasuk sijil baka kucing telah dirampas.
Sebenarnya, sebelum serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa, isu berkaitan penipuan skim pelaburan kucing berkenaan terlebih dulu telah tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa keping gambar mengenai keadaan kucing yang dikurung di dalam sangkar juga turut disiarkan yang menunjukkan haiwan berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus termasuk ada yang kelihatan sakit sehingga mengundang kemarahan netizen.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Pengerusi Biro Undang-Undang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan meja bulat antara pelabur dan pemilik syarikat berkenaan bagi menyelesaikan perkara itu sebelum ini.
Pada pertemuan yang berlangsung pada 16 Disember lalu, pihak syarikat berkenaan telah bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada pelabur yang terlibat.

Tertipu

Namun selepas tarikh berkenaan, pihak syarikat berkenaan gagal dihubungi. Mereka seolah-olah tidak lagi berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Mungkin disebabkan itu, ada pelabur yang mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas berasa tertipu dengan skim yang ditawarkan oleh syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi.
PPIM menerima lebih daripada 80 aduan berkaitan penipuan skim pelaburan tersebut dengan nilai kerugian kasar dianggarkan mencecah hampir RM2 juta.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri ketika dihubungi berkata, skim pelaburan kucing tersebut menyamai skim pelaburan cepat kaya yang telah banyak dibongkar oleh pihak berkuasa.
“Sama ada skim itu menggunakan kucing, cacing, emas dan sebagainya, ia merupakan skim cepat kaya yang sebenarnya hanya indah khabar daripada rupa.
“Mereka hanya mengubah bentuk pelaburan itu, sedangkan modus operandi tetap sama iaitu menjadikan individu yang ingin kaya dengan cepat sebagai mangsa.
“Saya hairan mengapa masih ramai anggota masyarakat yang terpedaya untuk melabur dalam skim pelaburan seperti itu sedangkan telah banyak laporan di media mendedahkan kegiatan tersebut,” katanya.
Menurut Mohamad Fazli lagi, antara punca masih ada individu yang terpedaya dengan skim pelaburan seperti itu disebabkan kurang kesedaran terhadap penipuan melibatkan pelaburan selain tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Seseorang individu itu biasanya akan tertarik dengan pelan perniagaan yang dibentangkan oleh wakil syarikat pelaburan sehingga menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan wang untuk melabur.
“Di atas kertas, memang pelan perniagaan tersebut nampak cantik dan menjanjikan pulangan yang berganda dalam tempoh masa tertentu.
“Jika lihat kepada keuntungan yang bakal diperoleh, siapa yang tidak mahu melabur.
“Hakikatnya, skim pelaburan seperti itu memang akan merugikan kerana ia bukanlah skim pelaburan yang sebenar,” katanya.

Selidik

Menurut Mohamad Fazli, individu yang ingin terlibat dalam mana-mana skim pelaburan seharusnya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan melakukan penyelidikan terlebih dulu terhadap skim yang ditawarkan.
Mereka juga perlu mempunyai ilmu asas berkaitan pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Itulah kelemahan kita iaitu tidak mahu melakukan semakan dan penyelidikan terlebih dahulu berhubung skim pelaburan yang ditawarkan.
“Nak melabur itu tidak salah tetapi sepatutnya ambil sedikit masa dan selidiklah terlebih dahulu latar belakang syarikat serta prestasi semasa pelaburan.
“Pastikan juga kita mempunyai pengetahuan asas mengenai aktiviti pelaburan sebelum melabur. Jangan hanya kerana ingin cepat kaya, harta yang ada digadai semuanya sehingga akhirnya bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’,” katanya.

Artikel Oleh : Kosmo
SKIM CEPAT KAYA INDAH KHABAR DARI RUPA






Thursday, January 11, 2018

4302) SKIM PELABURAN KUCING, PPIM MAHU TINDAKAN UNDANG-UNDANG – BERITA HARIAN ONLINE – 11/1/18



KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu sebuah syarikat yang menganjurkan program skim pembiakan dan penempatan kucing dikenakan tindakan undang-undang selepas didakwa menipu dan menyebabkan kerugian besar kepada pesertanya.
Keputusan ini dibuat selepas tiada tindakan daripada pemilik syarikat itu untuk melangsaikan bayaran ganti rugi kepada peserta program yang mengadu kepada PPIM.
Antara bentuk tindakan itu termasuk bekerjasama dengan polis untuk menyiasat program berkenaan dan membuat tuntutan sivil kepada pemiliknya.
Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata menerusi rundingan tiga penjuru PPIM, pengadu dan pemilik syarikat pada 16 Disember lalu bersetuju akan membayar ganti rugi kepada pengadu.
“Namun sejak pertemuan itu, pemilik syarikat berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan perkembangan pembayaran berkenaan,
“Beliau juga tidak cuba untuk berhubung dengan PPIM. Kita berasakan beliau tidak berminat untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Rundingan tiga penjuru berkenaan turut disiarkan secara langsung (live) di Facebook dan viral di Youtube.
Difahamkan program mirip sebuah pelaburan yang menawarkan peluang menjana pendapatan dengan menjual anak kucing itu mula mendapat perhatian umum selepas tular di sosial media beberapa bulan lalu.
Peserta program berkenaan mendakwa ditipu selepas tidak mendapat keuntungan penjualan anak kucing, selain berlakunya pengabaian kebajikan haiwan berkenaan hingga dijangkiti penyakit dan mati.
Hishamuddin berkata, pengadu mendakwa tiada veterinar bertauliah di syarikat berkenaan untuk merawat dan melakukan pembedahan di kedai haiwan kesayangan itu.
“PPIM sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana ada pengadu mendakwa aktiviti rawatan dan pembedahan haiwan berkenaan tidak dilakukan oleh veterinar.
“Pengadu mengesyaki banyak kucing sakit dan mati akibat diabaikan oleh pemilik kedai haiwan berkenaan,” katanya.
Katanya, PPIM menerima kira-kira 85 aduan dengan anggaran nilai kerugian kasar mencecah hampir RM2 juta.

Artikel Oleh : Berita Harian
SKIM PELABURAN KUCING, PPIM MAHU TINDAKAN UNDANG-UNDANG

4301) PERJUMPAAN WAKIL PPIM BERSAMA PENGARAH JABATAN PERLESENAN DAN PEMBANGUNAN PENJAJA - DBKL - 10/1/18


Perjumpaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia diwakili oleh Ketua Biro Undang- undang Hishamuddin Hashim dan Biro Aduan Puan Fatma mewakili sebahagian daripada Peniaga Pasar Gombak bersama Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja, Tuan Haji Anwar bin Mohd Zain.

Membawa aduan berkenaan beberapa isu penting berkaitan penempatan semula peniaga-peniaga selepas Pasar Gombak dimajukan. Pihak PPIM dan wakil peniaga berpuas hati dengan penjelasan Tuan Haji Anuar yang memberikan jaminan untuk memberikan ruang peniagaan selepas bangunan pasar tersebut dimajukan.





Selain itu sistem gred peniaga-peniaga tersebut akan disemak dan diteliti semula agar mereka mendapat gred yang lebih adil. Haji Anuar juga akan meneliti semula rayuan peniaga-peniaga yang dibatalkan. Apa yang PPIM harapkan pembelaan yang adil kepada peniaga-peniaga pasar gombak ini. 

Kami mengucapkan ribuan terima kasih keatas pihak Tuan Haji Anuar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana prihatin dan peka dengan kebajikan peniaga-peniaga ini.
Syabas diucapkan.
Untuk kaunseling undang-undang atau pertanyaan berkaitan undang-undang sila hubungi talian helpline

📞 01111181000
📞 01111181000

Thursday, October 26, 2017

4193) PPIM SASAR GEMPUR SKIM PELABURAN HARAM PULA – UTUSAN MALAYSIA – 26/10/17



KUALA LUMPUR 25 Okt.  – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan gerakan bagi menggempur dan membanteras kegiatan pelaburan haram yang semakin berleluasa sehingga begitu ramai menjadi mangsa penipuan sindiket sedemikian.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM akan berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Bank Negara, pakar atau perunding kewangan, pelaburan, pihak berkuasa polis dan peguam bagi membantu mangsa dan orang ramai dalam menangani masalah pelaburan haram ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera sebarang bentuk aktiviti penipuan pelaburan ke Unit Pencegahan Penipuan (UPP) yang baharu dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.
Nadzim berkata, penubuhan UPP ini sebagai pusat rujukan kepada orang ramai supaya mereka tidak tertipu sehingga mengalami kerugian yang teruk.
“Dengan UPP ini kita mempunyai pelan tindakan termasuk menerima aduan atau maklumat, mengadakan perjumpaan bersama pengadu, membuat semakan, mengadakan perjumpaan bersama pihak terlibat atau pemilik syarikat pelaburan.
“Makluman kepada umum mengenai kegiatan penipuan termasuk senarai hitam syarikat dan nasihat dan tindakan yang perlu diambil oleh mangsa atau pengadu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.


Menurutnya, PPIM memandang serius mengenai kegiatan pelaburan haram yang didapati semakin berleluasa sama ada dalam bentuk internet dan penubuhan syarikat-syarikat.
“Malahan pada masa ini, PPIM telah menerima lebih daripada 30,000 aduan mangsa pelaburan haram dan penubuhan UPP ini penting supaya jangan ada lagi yang menjadi mangsa.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya namun kita mahu supaya orang ramai berhenti serta-merta daripada melaburkan wang simpanan mereka dalam skim-skim yang berselindung di sebalik nama dan kaedah-kaedah pelaburan yang mencurigakan dan menipu,”katanya.
Malah katanya, terdapat syarikat yang menyediakan surat-surat perjanjian dan kontrak yang bersetem yang kononnya membenarkan transaksi dan mematuhi undang-undang.
“Sedangkan semua surat itu sebenarnya untuk membenarkan mereka menipu. Ini kerana kebanyakan syarikat tidak mempunyai kebenaran dari Bank Negara untuk mengambil deposit daripada orang lain,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Bank Negara ada mengeluarkan senarai nama syarikat-syarikat yang dikenal pasti melakukan pelaburan haram namun terdapat banyak lagi syarikat dan invidu yang menjadi dalang aktiviti haram ini.
“Mereka hanya perlu menukar nama dan mengubah sedikit modus operandi dan kaedah pelaburan untuk tujuan menipu,”katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya menghubungi UPP di talian 01111181000 mengenai sebarang aktiviti pelaburan haram sebelum mereka menjadi mangsa.
“Orang kita mudah sangat tertipu, kadang kala bukan pisang berbuah dua kali tetapi sudah berkali-kali tetapi tidak pernah serik-serik untuk melaburkan duit simpanan mereka terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tidak sahaja kononnya untuk mendapat keuntungan pelaburan berkali-kali ganda malah tawaran untuk membeli rumah yang lebih rendah dari harga pasaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tuesday, June 20, 2017

3821) SIDANG MEDIA : OILCO HAPRAK, NOTIS PEMBERHENTIAN 30 HARI TANPA SEBAB – PPIM – 20/6/2017

IMG_6407
20 Jun 2017- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan satu sidang akhbar di Nagasari Kristal Sdn. Bhd, Sungai Buloh, berkenaan dengan kes pencabulan hak terhadap rakyat Malaysia yang menjadi operator stesen minyak yang turut dilayan seperti hamba abdi dengan kezaliman melampaui adab kemanusiaan.
"Wajarkah surat diberhentikan perkhidmatan hanya dengan notis 30 hari sedangkan kebanyakan mereka berkhidmat ada yang menjangkau 46 tahun?" antara persoalan yang diajukan oleh Ketua Aktivis PPIM, Dato' Nadzim Johan, berhubung isu ini.
"Mereka yang menjadi mangsa ini telah melaksanakan arahan kerajaan tetapi salah sebuah syarikat pengeluar minyak petrol gergasi sewenangnya melanggar arahan yang dikeluarkan" tambahnya lagi.
IMG_6458
Dato Nadzim Johan turut berharap supaya isu ini dapat dinilai semula dan menyeru supaya semua jabatan mahupun pihak berwajib sama-sama berjuang menentang pembuli.
"PPIM akan terus membongkar kes-kes seperti ini dan kami minta Pengurus Besar (GM) syarikat minyak gergasi terbabit untuk tampil berjumpa dengan kami pada 30 Jun ini bagi menjelaskan sebab munasabah perkhidmatan beberapa operator ini diberhentikan secara mengejut" tambahnya lagi.
"Tujuan sidang media pada hari ini adalah untuk sesi pertanyaan dan bukan menuduh mana-mana pihak, sebab tiada sebarang sebab munasabah yang dinyatakan dalam notis yang diterima oleh semua operator" ujar Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim, yang turut hadir bagi menegakkan hak beberapa operator yang terkesan akibat isu ini.
"Kesemua operator juga memaklumkan bahawa mereka telah berjumpa dengan syarikat gergasi terbabit tetapi tiada sebarang maklum balas yang diterima" tambahnya lagi.
IMG_6470
Pihak berwajib digesa supaya mencari jalan penyelesaiaan yang adil bagi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak tanpa menjatuhkan nama baik keduanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesyen Minyak Malaysia, Dato’ Mohd Rofaie Dato’ Mohd Hamdan, turut terkilan dengan tindakan yang dikeluarkan oleh syarikat minyak gergasi terbabit mengganggu periuk nasi kesemua yang terkena tempias dalam isu ini terutamanya kakitangan yang terpaksa diberhentikan menjelang Aidilfitri yang hampir tiba.
"Tiada satu proses untuk tamatkan perkhidmatan yang betul. Mereka hanya bagi satu surat dalam tempoh 30 hari perlu bungkus dan keluar dari premis" ulasnya.
“Kebanyakkan mereka adalah bumiputera, seharusnya kerajaan khususnya KPDNKK dapat mengambil tindakan yang terbaik bagi menyelesaikan isu ini.”
Peneraju Nagasari Kristal Sdn. Bhd, Fauziah Ahmad Fadzil, yang juga merupakan salah seorang mangsa pencabulan hak ini berharap bahawa pihak syarikat minyak gergasi terlibat dapat menyatakan sebab dan menjawab segala persoalan yang timbul.
IMG_6546“Selama 17 tahun, kami selalu dapat markah tinggi dalam perkhidmatan pelanggan, jadi mengapa kami perlu ditamatkan perkhidmatan?”
“Modal permulaan kami setengah juta tapi sewenangnya kami diberi notis tamat dalam masa 30 hari.”
“Harapan saya supaya KPDNKK jangan hanya melihat dari sudut OilCo sahaja, lihat juga dari pihak kami yang berada dihadapan ini seolah dianaiya.” tambahnya lagi.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL