Tuesday, April 18, 2017

3611) LESEN B2 RM100 UNTUK MISKIN BANDAR - BERITA HARIAN - 16/4/2017

berita harian 16.4.2017

JPJ perkenal program Myprihatin untuk penduduk bandar berpendapatan isi rumah bulanan kurang RM3,900 (B40) miliki lesen motosikal B2 dengan kadar RM100, berbanding kadar biasa RM360 bagi bantu mereka jana pendapatan
Golongan miskin bandar kini boleh memiliki lesen motosikal Kelas B2 dengan bayaran serendah RM100 berbanding kadar biasa RM360 menerusi program Myprihatin.
Ia bertujuan membantu kelompok B40, iaitu isi rumah berpendapatan 40 peratus terbawah meningkatkan pendapatan.
Program rintis Myprihatin dilaksanakan di kawasan Parlimen Titiwangsa dan majlis pelancarannya disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, semalam.
Myprihatin adalah inisiatif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Parlimen di kawasan bandar yang menyasarkan individu dalam kategori miskin bandar berusia 16 tahun ke atas memiliki lesen motosikal.
Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
Ramai tiada lesen
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Johari berkata, program berkenaan bertujuan membantu golongan B40 kerana sebahagian daripada mereka tidak mampu membiayai kos memohon dan menduduki ujian untuk mendapatkan lesen berkenaan.
“Saya mendapati ramai dalam kalangan mereka (B40) tiada lesen sedangkan permintaan (pekerjaan) untuk menghantar makanan di ibu kota sangat tinggi.
“Dengan inisiatif itu, mereka boleh memiliki lesen motosikal dan seterusnya bekerja seperti sebagai ejen penghantar makanan, penghantar surat atau kerjaya yang memerlukan mereka menunggang motosikal,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron; Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Datuk Md Ziki A Rahman dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Program dilaksana JPJ
Program Myprihatin adalah sama dengan proses memohon lesen memandu di institut memandu, tetapi dilaksanakan sepenuhnya oleh JPJ termasuk pendaftaran, mengendalikan ceramah, ujian penilaian undang-undang serta ujian memandu percubaan.
Sementara itu, Nadzri berkata, penganjuran program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu menggunakan pendekatan turun padang untuk mendekati rakyat secara terus.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...