Wednesday, April 12, 2017

3601)Bantah pembinaan projek kondominium - Sinar Harian Online - 12/1/2017

Bantah pembinaan projek kondominium
KOTA BHARU - Persatuan penduduk kejiranan Raja Dewa hari ini mengadakan bantahan dengan menghantar surat tawaran untuk membeli tanah milik Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang terletak bersebelahan Masjid Telipot di sini.
Perkara ini dilakukan bagi membantah cadangan pembinaan kondominium 24 tingkat di atas tapak berkenaan yang boleh memberi kesan kepada pengembangan syiar Islam di kawasan tersebut pada masa akan datang.
Pengerusi kejiranan Raja Dewa, Mohd Yasmin Yusoh, berkata, tapak tanah berkenaan telah diklasifikasikan sebagai kawasan institusi dan ia tidak sepatutnya dibangunkan kondominium untuk tujuan komersial.
“Kita telah buat permohonan beberapa kali kepada kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek kondominium berkenaan namun tidak diendahkan.
“Oleh sebab itu, kami sebulat suara berhasrat untuk membayar tanah berkenaan mengikut harga nilaian dan pasaran semasa.
“Kami akan serahkan pemilikan tanah kepada pentadbiran Masjid Telipot bagi tujuan pembesaran masjid dan kegunaan pengembangan syiar Islam pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Yik di sini semalam.
Yasmin berkata, pihaknya akan menunggu dalam tempoh 14 hari bagi mendapat maklum balas daripada Yik berhubung tawaran membeli tanah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Islam Malaysia (PPIM), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap agar permohonan daripada kejiranan Raja Dewa untuk membeli tanah berkenaan dapat dipertimbangkan.
“Kami difahamkan, Yik sedang dalam perancangan untuk membina sebuah kondominium 24 tingkat di atas tapak berkenaan sedangkan sudah banyak kondominium telah dibina di Kelantan.
“Saya berharap Yik dapat mempertimbangkan permohonan penduduk di kawasan berkenaan untuk memudahkan mereka beribadah serta membesarkan lagi masjid itu,” katanya.

Sumber Dari:
http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/kelantan/bantah-pembinaan-projek-kondominium-1.658140
Bantah pembinaan projek kondominium

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...