Dia pada mulanya tidak menyedari taktik penipuan sindiket tersebut yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian dan menyasarkan graduan baharu sebagai mangsa.
 “Saya tidak ingat sama ada saya pernah menghantar surat permohonan pekerjaan di syarikat itu, namun saya ada buat permohonan di beberapa syarikat yang mengiklankan jawatan kosong di sebuah laman pencarian pekerjaan.
“Seorang kakitangan yang mengaku dari sebuah syarikat perbankan terkenal menghubungi saya bagi memaklumkan tentang panggilan mengikuti sesi temuramah di lokasi pejabat yang terletak di Menara Alliance Arena Brickfields.
“Tanpa sedikit pun keraguan, saya melalui sesi temuramah yang turut diikuti oleh beberapa individu lain,” katanya.
Selepas berjaya terpilih menyandang jawatan di bahagian pentadbiran, Suhaizah bersama lebih 20 kakitangan baharu menjalani kursus tentang tugas yang akan dijalankan.
“Selepas tamat kursus, pihak syarikat mula menawarkan satu pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dan mengkehendaki saya mencari pelabur lain.
“Setelah berbincang dengan ahli keluarga, akhirnya mereka bersetuju menyertai pelaburan itu. Dengan menggunakan simpanan dalam Tabung Haji, ibu saya telah mengeluarkan duit berjumlah RM17,000. Saya kemudian diminta memasukkan wang tersebut ke sebuah akaun syarikat berlokasi di Hong Kong.
“Ibu saudara saya kemudian turut serta melabur sebanyak RM27,000, diikuti jiran sebanyak RM90,000. Sahabat saya melabur sebanyak RM60,000 dan beberapa ahli keluarga lain. Jika dihitung jumlah pelaburan kira-kira RM277,800,” katanya.
Sebulan kemudian, Suhaizah menerima panggilan daripada seorang kakitangan yang dikenali sebagai Rachel yang memintanya menambah lagi wang pelaburan sebanyak RM150,000 pada tarikh ditetapkan bagi mengelak wang pelaburan sebelumnya ‘lebur’ begitu sahaja.
“Saya tidak dapat memenuhi permintaannya memandangkan sudah tidak mempunyai wang. Bagaimanapun, belum sampai tarikh ditetapkan membayar wang pelaburan, syarikat itu tiba-tiba menghentikan operasi dan meminta saya bekerja dari rumah.
“Ketika mereka mula berkemas dan mengosongkan premis, saya mengesyaki sesuatu tidak kena. Mereka bukan sahaja kelam kabut mengemaskan fail, malah berdolak dalik apabila diajukan pelbagai soalan,” katanya.
Menyedari dirinya ditipu, Suhaizah kemudian membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
“PPIM mengatur strategi menahan beberapa individu yang terlibat dengan meminta saya menghubungi salah seorang daripadanya dan memaklumkan mahu menyerahkan wang yang diminta sebelum ini.
“Ketika dua kakitangan tersebut termasuk Rachel hadir pada tempat dijanjikan, ahli PPIM menahan dan membawa mereka ke balai polis,” katanya.
Hasil siasatan awal mendapati dua individu itu merupakan sebahagian daripada suspek yang aktif melakukan pelbagai kes penipuan sebelum ini.