Wednesday, April 19, 2017

3625) KWSP digesa beri kelonggaran kepada pencarum muflis - Malaysia Gazette - 18/04/2017

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa supaya mengkaji semula beberapa akta badan itu bagi memberi kelonggaran kepada pencarum yang diisytiharkan muflis untuk mengeluarkan caruman mereka sebelum usia persaraan.
Ketua Aktivis Persatuan Pegguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum  yang bimbang akaun KWSP mereka akan dibekukan jika mereka diisytiharkan muflis dan aset mereka dilelong.
“Kita minta Kementerian Kewangan gubal akta tertentu bagi membolehkan pencarum mengeluarkan jumlah wang di dalam KWSP mereka sebelum umur persaraan bagi kes tertentu untuk mengelak akaun mereka terus dibekukan kerana didapati muflis.
“PPIM juga meminta KWSP mengeluarkan beberapa lagi prosedur tertentu supaya pencarum boleh membuat pengeluaran akaun dua bagi membayar hutang tertunggak sekaligus mengelak rumah pengguna dilelong,” kata Nadzim dalam sidang media di sini hari ini.
Pada sidang media yang sama, seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Kak J, merayu agar pihak yang berkenaan membantunya yang sedang terdesak dan bimbang jika diisytiharkan muflis, satu-satu kediamannya akan dilelong pihak bank berikutan sudah beberapa kali tertunggak
“Dalam akaun dua KWSP saya ada RM134,000. Hutang saya tertunggak untuk bayar rumah dan hutang lain dalam RM80,000 jadi saya merayu jumlah itu boleh dikeluarkan.
“Saya telah menghantar surat kepada Ketua Eksekutif KWSP, Datuk Sharil Ridza Ridzuan sebanyak dua kali, sekali pada Disember tahun lalu dan permohonan saya ditolak dan surat kedua pada Januari tahun ini namun sehingga sekarang tiada jawapan,” katanya.
Menurut beliau yang masih tidak lagi mendapat pekerjaan, surat rayuan turut dihantarkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan salinan diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan namun tiada respon diberikan
Sementara itu, Johan berkata bagi tempoh empat bulan tahun ini pihak PPIM telah menerima hampir 30 aduan berhubung masalah yang sama dimana satu kajian atau pendedahan perlu dibuat oleh KWSP berkenaan tuntutan berkaitan.
“Kita nak tahu berapa ramai sudah membuat permohonan pengeluaran KWSP mereka bagi mengelak rumah dilelong dan menjadi muflis.
“Kajian perlu dibuat untuk kita melihat berapa ramai pencarum yang sudah bankrap dan berapa banyak duit KWSP yang tidak boleh dikeluarkan pencarum kerana siapa yang muflis duit mereka tidak boleh dikeluarkan,” katanya.
Justeru beliau menegaskan pihak pengubal undang-undang perlu melihat kembali keperluan tersebut kepada satu keperluan semasa. – Malaysia Gazette.
Sumber Dari:
http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/04/18/kwsp-digesa-beri-kelonggaran-kepada-pencarum-muflis/
KWSP digesa beri kelonggaran kepada pencarum muflis

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...