Friday, April 21, 2017

3641) MOHD. NOOR BAKAL TAWAN ENAM PUNCAK BANJARAN HIMALAYA - KOSMO - 21/4/2017

                kosmo 21.4.2017
Kuala Lumpur - Pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin bakal mencipta lagi sejarah dalam profil pendakiannya apabila bakal menawan enam puncak Banjaran Himalaya bermula pada 23 April dan bakal berakhir pada 20 Mei depan. Puncak-puncak tersebut ialah Gokyo RI yang berketinggian 5,357 meter (m) dari aras laut, Chola-La Pass (5,420m), Pokalde (5,806m), Kongma La Pass (5,500m), Khalapattar (5,550m) dan Kem Induk Everest (5,364m). Mohd. Noor berkata, selepas berjaya mencatat rekod mendaki tangga Menara Kuala Lumpur tanpa henti selama 24 jam pada Disember tahun lalu, beliau sangat teruja untuk melaksanakan misi terbaharunya yang dinamakan sebagai Himalaya 2017: Breaking Malaysia Records. Misi tersebut merupakan kali ketujuh baginya mencipta rekod Malaysia Book of Records sebagai pendaki pertama negara yang menawan enam puncak di Banjaran Himalaya selama 28 hari. Ditanya tentang persiapan dan cabaran getir yang bakal dihadapinya, beliau yang juga jurufoto Kumpulan Utusan berkata, cuaca sejuk yang bakal menguji ketahanan fizikal dan mentalnya. " Sebenarnya, saya kini sudah berada dalam peringkat terakhir menyesuaikan diri dengan keadaan sejuk di sana dan kemungkinan berdepan dengan kekurangan oksigen ketika berada di puncak," katanya pada sidang akhbar semperna majlis penyerahan sumbangan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi melaksanakan misinya di Kondominium Villa Puteri di sini semalam. Mewakili PPIM, Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim  Johan menyampaikan wang tunai berjumlah RM5,000 serta bekalan makanan sepanjang misi berkenaan. Mohd. Noor yang kini berusia 50 tahun berkata, beliau juga melakukan latihan kecergasan mendaki untuk meningkatkan staminanya. Antaranya mendaki lereng curam di Langtang Valley, Kathmandu, Nepal selama lima hari pada Februari lalu bagi menyiapkan diri dengan permukaan di Banjaran Himalaya nanti. " Selain itu, saya juga menjalani latihan mendaki tangga di sebuah bangunan setinggi 10 tingkat selama 30 kali tanpa henti dengan kekerapan sebanyak lima hari dalam seminggu serta mendaki gunung di sekitar semenanjung Malaysia. " Saya mahu menyediakan mental dan latihan sebegini supaya tenang dan tidak mudah panik terutamanya apabila berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan suhu serendah negatif 10 darjah Celcius," katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...