Friday, April 28, 2017

3668) Cari mekanisme tangani individu tanpa warganegara - Berita Harian Online - 26/04/2017

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya kerajaan segera mencari mekanisme sesuai bagi menyelesaikan isu membabitkan individu tanpa warganegara di negara ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata, satu kaedah perlu dicari bagi menyelesaikan masalah individu yang tidak mempunyai dokumen yang lengkap sehingga berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan harian.
Beliau berkata, kebanyakan kes berkenaan berpunca daripada masalah membabitkan taraf perkahwinan warga asing, apabila ibu dan bapa gagal untuk mendaftarkan perkahwinan mereka dan apabila mempunyai anak, berdepan masalah untuk mendaftarkan kerakyatan anak-anak mereka.
"Kes ini banyak berlaku di Sabah dan Sarawak, dan bertambah serius apabila ia turut membabitkan orang Rohingya dan Melayu Champa, tapi kita harap penyelesaiannya boleh dicari supaya kerana apa pun status mereka, dari mana mereka datang, mereka perlu ada identiti.
"Kita tidak mahu menyalahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Menteri Dalam Negeri tapi satu kaedah perlu dicari untuk menyelesaikan masalah ini, mereka ini nak kerja susah, nak belajar susah, nak kahwin susah dan nak kerja pun susah, isu ini perlu diberi perhatian serius," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nadzim berkata, antara kaedah yang boleh dipertimbangkan oleh pihak yang berkenaan adalah memberikan individu ini satu dokumen khas yang boleh digunakan sementara menunggu permohonan dokumen mereka diproses.
"Kebanyakan proses permohonan dokumen ini mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan, maka dokumen sementara itu boleh digunakan bagi menjalani kehidupan seharian, katanya.
Katanya, selain penggunaan dokumen sementara, prosedur permohonan dokumen itu juga perlu dipermudahkan bagi mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk memproses permohonan membabitkan isu individu tanpa warganegara.
Cari mekanisme tangani individu tanpa warganegara - PPIM

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...