Thursday, April 27, 2017

3659) KERAJAAN PERLU SELESAI ISU INDIVIDU TIADA KEWARGANEGARAAN - KOSMO - 27/4/2017

                kosmo 27.4.2017

 Kuala Lumpur - Kerajaan digesa mewujudkan satu mekanisme baharu bagi mengatasi masalah penduduk negara ini yang tidak diiktiraf sebagai warganegara. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, antara mekanisme yang mungkin boleh dicadangkan ialah memperkenalkan kad atau dokumen sementara buat individu yang bermasalah dengan status warganegara. " Inisiatif ini harus dan perlu diambil bagi mengatasi ketidaktentuan kedudukan mereka yang tiada kewarganegaraan tetapi tinggal di Malaysia. " Kad atau dokumen sementara itu pula mungkin dikeluarkan mengikut masalah individu terbabit sehingga tidak disahkan kewarganegaraannya," kata beliau pada sidang akhbar Rakyat Bukan Warganegara di Kafe Sembang-Sembang di sini semalam. Menurut beliau, status kewarganegaraan dilihat memberi kesan yang mendalam kepada mereka yang dilahirkan dan tinggal di sini namun tidak diiktiraf sebagai warganegara. " Mereka yang tiada kewarganegaraan sukar mendaftar sekolah, bekerja atau mendapat faedah perubatan," kata beliau. Katanya, kerajaan tidak seharusnya membiarkan golongan ini tidak terurus kerana mereka hidup dan tinggal di sini mungkin buat selama-lamanya. Turut hadir pada sidang akhbar tersebut Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa, Dr. Noorazman Mohd. Samsuddin dan Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam, Zamri Zaimon. Nadzim membangkitkan isu tersebut bagi membela nasib individu terutama kanak-kanak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan ekoran masalah dalam keluarga mereka. Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek menyambut baik cadangan kad atau dokumen sementara diberikan individu yang tiada taraf warganegara. " Mereka yang menetap di sini sejak lahir dan bukan yang datang ke sini kerana diusir atau bermasalah di negara asal harus diberi kad atau dokumen sementara sebelum kerajaan memutuskan kedudukan mereka," kata beliau ketika dihubungi semalam. menurut beliau lagi, individu yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak diiktiraf kewarganegaraan perlu diberikan pendidikan, pekerjaan dan rawatan seperti warganegara lain demi keharmonian negara ini sendiri.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...