Wednesday, April 19, 2017

3626) KAJI KELUAR CARUMAN KWSP ELAK MUFLIS - HARIAN METRO - 19/4/2017

                       harian metro 19.4.2017

Perlu kajian semula bagi memudahkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan caruman bagi mengelakkan diisytihar muflis.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia khusus bagi membantu pencarum yang berdepan risiko dimufliskan terutama kepada mereka yang belum cukup had umur pengeluaran.
Mengambil contoh aduan yang dirujuk kepada PPIM, katanya, ada pengadu yang berisiko dimufliskan kerana kegagalan melunaskan pembiayaan rumah dengan had umur pengeluaran tidak sampai setahun.
Menurutnya, sama seperti kaedah pengeluaran lain yang dibenarkan, pengeluaran untuk jumlah tertentu akan menyelamatkan mereka yang terhimpit berikutan masalah kewangan dan muflis.
“Ramai pengguna dalam dilema, apatah lagi mereka yang sudah lama tidak bekerja dan menumpukan kepada rumah tangga.
“Seperti kes yang dirujuk kepada kita hari ini, ada yang akan mencapai umur pengeluaran dalam tempoh yang singkat, tetapi berdepan muflis kerana pelbagai masalah seperti tunggakan pembiayaan rumah yang akan dilelong.
“Jadi, saya minta Kementerian Kewangan mengkaji semula pengeluaran caruman ini kerana isu muflis ini tidak akan menyelesaikan masalah. Yang akan dikeluarkan adalah wang pencarum sendiri, jadi mungkin tiada isu,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.
Nadzim berkata, jika sebelum ini pengeluaran dibenarkan kepada pelaburan, deposit rumah dan perubatan, kaedah sama juga boleh digunakan untuk mengelakkan seseorang diisytihar muflis.
Katanya, isu muflis pernah dibangkitkan PPIM pada 2013, dan ia menunjukkan pelbagai keadaan negatif kerana individu muflis tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah kewangan.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...