Wednesday, April 26, 2017

3654) RM2 BILION LEBUR - HARIAN METRO - 26/4/2017

                       harian metro 26.4.2017
WhatsApp Image 2017-04-26 at 12.18.39

 Jumlah kerugian Rm2 billion, mangsa mencecah 200,000 dan jumlah yang masih aktif adalah 20 jenis pelaburan.
  Angka serba dua itu merujuk kepada pelbagai haram yang dikesan memperdaya mangsa di seluruh negara sejak 2015 dengan menjanjikan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat.
  Walau dianggap tidak munasabah, masih ramai yang bersikap tamak dan mahu segera menjadi orang kaya baharu (OKB) menyebabkan skim pelaburan haram yang diwujudkan sindiket terus mendapat sambutan ramai.
  Menggunakan platform media sosial seperti Facebook (FB) dan Whatsapp (WA), semua tawaran ala skim cepat kaya itu setakat ini ‘berkesan’ memancing mangsa yang kelabu mata melihat iklan wang dalam jumlah banyak.
Berdasarkan aduan dibuat kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sindiket berpangkalan di ibu negara itu turut didalangi dua individu bergelar Datuk yang kini hidup mewah hasil deposit orang ramai selepas tertarik dengan keuntungan ditawarkan.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, kebelakangan ini kedua-dua Datuk terbabit masih aktif mempromosi perniagaan ‘duduk saja’ itu yang turut disertai komuniti pelaburan di Asia.
Katanya, walaupun pelbagai pendedahan dibuat mengenai modus operandi daripada penipuan pelaburan emas hinggalah tukaran mata wang asing (Forex) kepada masyarakat umum, namun statistik terkini itu begitu membimbangkan.
Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati platform media sosial iaitu FB dan WA menjadi medium utama promosi semua pelaburan ini dan ia digerakkan oleh mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pakar kewangan serta panel pengurusan kewangan diiktiraf.
“Sebenarnya sejak lima tahun dulu, taktiknya masih sama, masukkan sejumlah wang dan keuntungan dibahagikan sama rata. Ada yang menggunakan nama pihak berkuasa kononnya skim diperkenalkan mendapat kelulusan kerajaan dan selamat.
“Kebanyakan mangsa orang baru yang tidak mempunyai pengalaman di dalam selok-belok pelaburan, manakala hanya dua peratus daripada 50 pengadu sejak tahun lalu adalah kes berulang.
“Apabila disiasat, mereka terpedaya dengan puluhan akaun FB yang mempromosi kehidupan mewah dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dalang pelaburan tipu itu juga dikesan giat menjadikan remaja termasuk penuntut institusi pengajian tinggi sebagai mangsa dengan menawarkan pendapatan sampingan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit.
Katanya, seperti didedahkan Harian Metro sebelum ini, ada syarikat sama yang ‘tukar kulit’ menggunakan pelbagai nama untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
“Kita dapati, alamat syarikat adalah sama kita pernah kendalikan sebelum ini. Modus operandi juga tidak berubah malah mereka masih mengekalkan pekerja lama bertaraf pengurus sumber manusia yang bertanggungjawab mengambil kakitangan di situ.
“Jadi kita harap pihak berkuasa buka mata dalam isu ini kerana banyak kes direkodkan sejak beberapa tahun lalu cuma corak promosinya agak berbeza sesuai dengan kecanggihan teknologi,” katanya.
Nadzim berkata, PPIM akan membawa perkara itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk siasatan dan tindakan kepada mereka yang didapati bersalah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tiada sebarang bentuk perniagaan atau pelaburan yang mampu memberikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Katanya, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan apa saja pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Tiada apa-apa perniagaan, pelaburan sama ada emas, kelapa sawit mahupun forex dan lain-lain (pelaburan) yang mampu menjanjikan pulangan lumayan dan mudah. Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati,” katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...