Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pasukan penguat kuasa PBT yang bertanggungjawab itu tidak sepatutnya ha­nya memakai ‘cermin mata gelap’ sehingga tidak nampak apa yang berlaku di luar sana sehingga premis-premis mereka dijadikan pusat kegiatan jenayah.
Beliau turut me­ngesyaki pengusaha-pengusaha premis yang menjadi lubuk kegiatan haram seperti pelacuran, perjudian haram, penjualan minuman keras selain menjadi pusat pengedaran dan penagihan dadah itu telah mendapat ‘perlin­dungan’ daripada orang-orang tertentu atau dalam kalangan penguat kuasa sendiri yang menerima wang perlindungan itu.
“PBT kena serius melaksanakan tanggungjawab. Pusat-pusat hiburan yang disyaki ini bukan terletak jauh pun tetapi hanya berlaku di kawasan mereka, depan mata sahaja.
“Inilah masalah yang berlaku jika penguatkuasaan lemah. Kadang-kadang mereka sendiri memberikan perlindungan kepada pengusaha-pengusaha pusat hiburan yang terlibat untuk membenarkan kegiatan haram ini berjalan. Ini belum lagi termasuk pusat-pusat hiburan yang 10 tahun sudah wujud tanpa lesen, bagaimana ini boleh berlaku?,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia hari ini berhubung kelab malam, pusat hiburan keluarga dan pusat karaoke kini dikenal pasti menjadi lubuk pelbagai kegiatan jenayah berdasarkan serbuan pihak berkuasa di premis-premis tersebut sejak kebelakangan ini termasuk yang terbaharu di selatan tanah air.
Dalam pada itu, Naib Pre­siden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Hassan Basri Muhammad berkata, kebanjiran pusat hiburan tanpa kawalan adalah berpunca daripada aspek penguatkuasaan yang lemah sehingga me­nimbulkan persoalan adakah mereka telah menerima rasuah daripada pengusaha-pengusaha premis berkenaan.
Beliau berkata, jika benar wujud situasi tersebut, kegiatan haram yang berlaku sekian lama itu tidak mampu diselesaikan sampai bila-bila.
“Tindakan penguatkuasaan yang lemah ini juga akibat pasukan yang terlibat saling menuding jari, apabila dihalakan kepada PBT, mereka kata tugas polis dan sebaliknya. Sepatutnya mereka melakukan tugas ini secara bersepadu dan menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Begitu juga kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan kerajaan Pusat walaupun tidak sama ideologi politik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, kerajaan negeri khususnya di Selangor perlu menghentikan serta-merta pengeluaran lesen pusat hiburan dan keluarga walaupun tujuannya untuk memberikan hasil kepada kerajaan negeri.
Katanya, mana-mana lesen yang telah dikeluarkan perlu ditarik balik dan premis-premis tidak bermoral itu harus ditutup kerana melalui pemantauan yang dibuat, tidak ada satu pun premis yang kononnya menjalankan aktiviti untuk hiburan berkeluarga sedangkan pelbagai kegiatan haram berselindung di sebalik nama pusat hiburan itu.
“Lebih malang lagi apabila ada antara ahli majlis PBT yang dilantik kerajaan negeri telah melin­dungi pengusaha-pengusaha ini. Apa guna kerajaan negeri mengaut hasil daripada kerosakan akhlak yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya.