Showing posts with label MALAYSIA GAZETTE. Show all posts
Showing posts with label MALAYSIA GAZETTE. Show all posts

Wednesday, June 3, 2026

PPIM SOKONG PENGESAHAN UMUR AKAUN MEDIA SOSIAL DEMI LINDUNGI PENGGUNA MUDA - MALAYSIA GAZETTE - 02/06/2026

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa semalam.

PPIM dalam kenyataannya menyifatkan, langkah itu penting dalam memperkukuh keselamatan pengguna digital, khususnya golongan muda daripada risiko penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

Menurut PPIM, pendekatan yang mewajibkan pengesahan identiti serta mengehadkan akses kepada pengguna berusia bawah 16 tahun adalah wajar dalam usaha mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Dalam keadaan semasa yang menyaksikan peningkatan kes jenayah siber dan manipulasi digital, pelaksanaan syarat tersebut dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi akses kepada teknologi dengan aspek perlindungan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, PPIM turut menyambut baik pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang disifatkan sebagai perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dalam aspek kawalan kandungan serta keselamatan sistem.

Sehubungan itu, PPIM menggesa semua penyedia platform media sosial mengambil tindakan proaktif bagi memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM SOKONG PENGESAHAN UMUR AKAUN MEDIA SOSIAL DEMI LINDUNGI PENGGUNA MUDA

https://malaysiagazette.com/2026/06/02/ppim-sokong-pengesahan-umur-akaun-media-sosial-demi-lindungi-pengguna-muda/

Friday, May 22, 2026

1,000 NGO MELAYU-ISLAM BANTAH UEC KE IPTA, RANCANG HIMPUNAN MEGA - MALAYSIA GAZETTE - 20/05/2026

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 gabungan NGO Melayu dan Islam mewakili lebih 1,000 pertubuhan membantah keras keputusan kerajaan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jurucakapnya, Mohd Zai Mustafa berkata, pengiktirafan UEC oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan.

“Keputusan itu didakwa mampu menjejaskan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ia merupakan satu pengkhianatan besar kepada dasar pendidikan kebangsaan yang akhirnya boleh menggagalkan agenda perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Zai selaku Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mempengerusikan mesyuarat mengenai keputusan kerajaan berkenaan UEC bersama 23 NGO Melayu Islam.

Antaranya Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria dan Presiden Muslimin Malaysia (Isma), Suhaib Ar Rumy Selamat.

Hadir sama aktivis dan pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee; aktivis Melayu, Syed Hassan Syed Ali; aktivis masyarakat, Chandrasegaran Subramaniam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis); Mohammad Azamuddin Sahar.

Menurut Mohd Zai, gabungan NGO itu turut membantah sebarang usaha menyamakan sekolah persendirian Cina yang menggunakan sistem UEC dengan institusi tahfiz di negara ini.

“Sekolah tahfiz di Malaysia kebanyakannya menggunakan kurikulum kebangsaan dan para pelajarnya turut menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Menyamakan UEC dengan sekolah tahfiz adalah satu kejahilan dalam sistem pendidikan negara kerana kedua-duanya mempunyai asas dan pendekatan pendidikan yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, gabungan NGO Melayu-Islam itu juga merancang mengadakan satu himpunan aman berskala besar dalam masa terdekat sebagai tanda bantahan terhadap keputusan tersebut.

“Bagaimanapun, tarikh dan lokasi himpunan itu akan diumumkan kemudian selepas proses penyelarasan selesai dilakukan bersama pertubuhan yang terlibat,” katanya.

Gabungan NGO itu turut menyeru parti-parti politik Melayu supaya menyatakan pendirian tegas berhubung isu berkenaan serta bersama-sama menyertai himpunan aman yang bakal diadakan.

“Pendirian parti politik dalam isu UEC akan menjadi antara faktor penting yang dinilai oleh masyarakat Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut menggesa ahli akademik, pakar pendidikan, NGO bahasa dan pertubuhan masyarakat sivil tampil menyuarakan pandangan serta membantah langkah pengiktirafan UEC ke IPTA.

“Isu pengiktirafan UEC sebelum ini sering menjadi perdebatan pelbagai pihak kerana melibatkan dasar pendidikan negara, identiti nasional serta kedudukan sistem pendidikan vernakular di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

1,000 NGO MELAYU-ISLAM BANTAH UEC KE IPTA, RANCANG HIMPUNAN MEGA

https://malaysiagazette.com/2026/05/20/1000-ngo-melayu-islam-bantah-uec-ke-ipta-rancang-himpunan-mega/

Wednesday, April 1, 2026

AKTIVITI | SESI BUAL BICARA TOQQI BERASAMA MALAYSIA GAZETTE - PPIM - 31/03/2026

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi tampil dalam program bual bicara santai SKOP MG anjuran MalaysiaGazette bagi membincangkan topik hangat “Harga Minyak Dunia Melambung: Rakyat Panik Harga Barangan Naik”.

11 NGO DESAK RUU PEKERJA GIG DITANGGUH, DAKWA TIADA PERBINCANGAN MENYELURUH - MALAYSIA GAZETTE - 30/03/2026

SUBANG JAYA – Sebanyak 11 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja dan pengguna menggesa Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadual dikuatkuasakan esok ditangguhkan serta-merta sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan dan perbincangan bersama pihak berkepentingan dilaksanakan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan RUU tersebut kerana didakwa tidak melalui proses rundingan yang adil antara MTUC dan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Menurut beliau, kebanyakan undang-undang berkaitan kebajikan pekerja sebelum ini lazimnya dibincangkan secara teliti bersama MTUC sebelum dibentangkan ke Parlimen, namun perkara itu tidak berlaku bagi RUU berkenaan.

“MTUC tidak setuju RUU Gig ini dilaksanakan kerana tiada perbincangan antara MTUC dan kerajaan. Kita lihat undang-undang ini agak pelik kerana prosesnya terus dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan yang baik dan adil,” katanya pada sidang media di Wisma MTUC, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bercakap kepada media mengenai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2026.

Dalam sidang media sama, sebanyak 10 lagi NGO turut menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan RUU tersebut.

Antara yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead Malaysia) dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH).

Turut serta ialah Pertubuhan Tenaga GiG Melaka, Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) serta Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP).

Gabungan NGO berkenaan menegaskan keperluan dialog inklusif antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan sebarang undang-undang yang diperkenalkan benar-benar melindungi kebajikan pekerja gig tanpa menjejaskan kelangsungan sektor tersebut.

Pekerja e-hailing yang hadir pada sidang media mengenai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2026.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya sebelum ini telah menyuarakan ketidaksetujuan kepada Kesuma berhubung RUU tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan RUU tersebut bagi memastikan ia benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, peningkatan premium insurans komersial dalam sektor e-hailing memberi tekanan besar kepada pendapatan pekerja gig.

“Ia bukan sekadar isu kos operasi, tetapi tekanan struktur yang menghakis margin pendapatan pekerja. Jika berlaku kenaikan, perlu ada ketelusan dari segi data dan justifikasi supaya penyelesaian boleh dicapai bersama,” katanya.

Abdul Hakim turut menggesa kerajaan menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox” bagi menilai impak pelaksanaan secara terkawal dan berfasa.

“Ini penting untuk memastikan pelaksanaan akta ini lebih tersusun dan seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

11 NGO DESAK RUU PEKERJA GIG DITANGGUH, DAKWA TIADA PERBINCANGAN MENYELURUH

https://malaysiagazette.com/2026/03/30/11-ngo-desak-ruu-pekerja-gig-ditangguh-dakwa-tiada-perbincangan-menyeluruh

Wednesday, March 18, 2026

PENGGUNA TERPERANGKAP, PPIM DAKWA TELCO KENAKAN CAJ TERSEMBUNYI - MALAYSIA GAZETTE - 18/03/2026

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan dakwaan siri `rompakan halus’ oleh syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan caj tersembunyi serta menawarkan `pakej percuma’ sehingga menyebabkan pengguna terperangkap dengan bil mencecah ribuan ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, isu berkenaan bukan lagi terpencil sebaliknya disifatkan sebagai satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan besar daripada pengguna.

Menurutnya, antara taktik yang dikesan termasuk caj insurans dan perkhidmatan tambahan yang dikenakan tanpa pengetahuan jelas pelanggan sehingga syarikat mampu meraih keuntungan puluhan juta ringgit.

“Kita lihat caj insurans sahaja sudah memberi keuntungan besar kepada telco, tetapi pengguna pula terpaksa menanggung kerugian akibat caj berganda.

“Ini bukan lagi perniagaan biasa, sebaliknya seolah-olah skim untuk ‘menyembelih’ pelanggan secara senyap,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim turut mendedahkan satu kes melibatkan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa taktik `hadiah percuma’ oleh sebuah syarikat telco.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan ditawarkan talian telefon kononnya percuma sebagai penghargaan pelanggan setia dan dimaklumkan tiada tindakan diperlukan sekiranya tidak berminat.

Bagaimanapun, selepas setahun, beliau terkejut apabila disenarai hitam akibat tunggakan bil, dengan penyata menunjukkan caj RM100 sebulan dikenakan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.

Nadzim menyifatkan kejadian itu sebagai satu penganiayaan serius terhadap pengguna.

“Bagaimana talian yang tidak pernah digunakan boleh dikenakan bil bulanan sehingga menyebabkan mangsa disenarai hitam? Ini hutang yang tidak munasabah,” tegasnya.

Menurutnya, walaupun kes berkenaan berjaya diselesaikan selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM percaya masih ramai pengguna lain berdepan situasi sama tanpa disedari.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda mandatori tinggi terhadap telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi, melaksanakan audit menyeluruh ke atas sistem bil serta menghentikan amalan menyenarai hitam pengguna sebelum pertikaian diselesaikan.

Pada masa sama, Nadzim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan sentiasa menyemak bil bulanan masing-masing.

“Jangan percaya bulat-bulat tawaran ‘percuma’. Periksa setiap caj dalam bil. Jika ada perkara meragukan walaupun kecil, pengguna perlu tampil mempertahankan hak mereka,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada syarikat telco agar menghentikan amalan berkenaan sebelum tindakan lebih tegas diambil demi melindungi kepentingan pengguna di negara ini. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PENGGUNA TERPERANGKAP, PPIM DAKWA TELCO KENAKAN CAJ TERSEMBUNYI

https://malaysiagazette.com/2026/03/18/pengguna-terperangkap-ppim-dakwa-telco-kenakan-caj-tersembunyi/

Saturday, January 3, 2026

LARANG BUANG SAMPAH BAIK TAPI KPKT KUAT KUASA TERBURU-BURU - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 01/01/2026

 

KUALA LUMPUR – Tabiat membuang sampah di tempat awam bukan sahaja mencemarkan persekitaran dan alam sekitar bahkan menjejaskan imej negara untuk menyambut kedatangan 43 juta pelancong dari seluruh dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bermula 1 Januari ini, sesiapa sahaja termasuk pelancong yang membuang sampah dan meludah di sekitar ibu kota, tindakan kompaun sehingga RM2,000 boleh dikenakan selain Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama dua bulan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik langkah kerajaan itu menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mendisiplin masyarakat agar lebih bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif kerajaan itu selari dengan tuntutan Islam yang memandang tinggi terhadap aspek kebersihan, apatah lagi dalam membina jati diri rakyat yang berdisiplin.

“Hendak ke arah kebersihan ini cukup bagus, cukup pentinglah terutama dalam Islam, kebersihan ini dipandang amat penting.

“Saya menyokong kaedah ke arah disiplin membina jati diri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, KPKT menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) bermula 1 Januari 2026 sebagai hukuman untuk menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat-tempat awam.

Hukuman dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.

Pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdapat sampah dibuang di kawasan awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Bagaimanapun Nadzim menyifatkan langkah KPKT untuk menguatkuasakan undang-undang baharu itu sebagai terburu-buru tanpa melakukan secara berperingkat bukan secara mengejut.

“Biarlah boleh dilaksanakan mengikut peringkat yang rakyat boleh terima. Saya rasa kita harus mendidik dan mengajar rakyat Malaysia supaya bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Nadzim, tiada jaminan undang-undang baharu itu boleh mengubah tabiat membuang sampah di tempat awam sedangkan orang ramai masih merokok di tempat awam tanpa mempedulikan denda sehingga RM10,000.

“Sekarang ini kita tengok orang merokok, walaupun merokok di tempat awam boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara namun orang ramai tetap merokok juga.

“Sekarang ini denda (buang sampah dan meludah) sehingga RM2,000, saya cadangkan lebih baiklah denda sampai RM20,000 dan ia lebih baik sebab kerajaan boleh kutip lebih banyak hasil,” katanya.

Selain itu, katanya, sebelum sesuatu undang-undang baharu mahu dikuatkuasakan, kerajaan perlu menguar-uarkan agar rakyat maklum lebih awal termasuk membuat iklan di media elektronik dan media sosial.

“Sesuatu perkara ini harus dapat sokongan semua pihak. Saya tengok sejak kebelakangan ini banyak perkara dibuat kerajaan tetapi rakyat macam tidak suka.

“Kalau nak buat benda yang ke arah disiplin, bagus tapi kena ajar maksudnya mesti ada pendidikan, jika tidak proses transformasi itu mustahil boleh berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar tidak memperkenalkan undang-undang yang mendatangkan ‘kesusahan’ kepada rakyat.

“Kita perlu ada undang-undang yang boleh diterima pakai, bukan buat undang-undang sampai tak dapat dilaksanakan. Saya harap pengguna atau pun rakyat perlu dirujuk terlebih dahulu,” katanya.

Terdapat sampah dibuang di kawasan awam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2025

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sekitar ibu negara mendapati, ramai pihak menganggap ia masih terlalu awal untuk menilai tahap kesedaran orang ramai terhadap tabiat membuang sampah dan meludah di tempat awam.

Ia kerana sampah-sarap boleh dilihat bertaburan di merata tempat khususnya di sekitar kawasan perniagaan yang terpencil dan berdekatan pusat beli-belah di sini.

Temubual Penduduk Kondominium Villa Puteri, Jan Fazal Eladai mengenai larangan membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar ibu kota yang dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula 1 Januari 2026. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2026

Menurut seorang penduduk di ibu kota, Jan Fazal Eladi, 40, denda atau kompaun sehingga RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah dan meludah di tempat awam agak tinggi dan membebankan rakyat apatah lagi berdepan kos sara hidup.

“Sekarang ini kos sara hidup pun tinggi. Rakyat pun dalam kesusahan. Kalau ditambah dengan denda ini, apa nak jadi? Tapi saya harap menteri kaji balik, sebab meludah tu meludah macam mana?

“Macam mana kita nak kenal pasti meludah yang menyalahi undang-undang. Adakah ludah berkahak atau macam ada dekat selayang tu, ramai makan sirih ludah merata hingga mengotorkan tempat sekeliling,” katanya.

Jelasnya lagi, sebelum kerajaan terburu-buru memperkenalkan sesuatu undang-undang baharu, lebih baik KPKT menangani masalah sampah berlonggok di dalam sungai hingga mengakibatkan banjir kilat.

“Tetapi, sampah-sampah yang banyak di KL ni, sampai sungai pun air melimpah-limpah, patutnya perkara tu ditangani dulu, sampah di KL terlampau banyak.

“Buatlah macam percubaan dahulu sebelum kuat kuasa, kalau eksperimen ini berjaya, barulah kita boleh teruskan tetapi denda RM2,000 tu memang teruklah, membunuh rakyat.

“Sekarang ini rakyat nak makan pun tak ada duit, saya harap lebih menteri cakna dalam perkara ini,” katanya.

Mohd Zolkifli Hasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 JANUARI 2026

Bagi seorang warga emas, Mohd Zolkifli Hasan, 65, undang-undang baharu yang diperkenalkan KPKT kepada warga kota seperti dirinya agak mengejutkan dan menekan rakyat khususnya komuniti miskin.

“Kebanyakan gaji di negara ini antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja, kita bimbang denda yang tinggi boleh mengundang rakyat untuk lompat dari bangunan.

“Kadar denda sepatutnya berpatutan, kalau boleh ikut gaji sebulan, kalau menteri buang sampah sepatutnya kena denda sehingga RM30,000,” katanya.

Selain itu, Zolkifli mempersoalkan sejauh mana perbuatan meludah itu boleh dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang dan boleh dihukum kompaun atau dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat.

“Sepatutnya perbuatan meludah itu dikategorikan dengan betul, kita memang suka undang-undang kebersihan ini tapi bagilah notis, tiga atau enam bulan dalam televisyen kalau meludah kena denda RM2,000.

“Saya duduk KL pun hari ini baru dengar. Apatah lagi orang kampung datang KL kena denda RM2,000, balik rumah dia terjun bangunan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu memberikan kesedaran dan pendidikan kepada rakyat sebelum mahu menguatkuasakan sesuatu undang-undang.

“Jangan terus denda RM2,000. Apa kerajaan tak ada duit ke? Nak kutip duit daripada budak-budak dan orang-orang miskin ini. Bagi mereka masa, bagi mereka pendidikan.

“Lepas itu dendalah mereka, tak ada masalah. Kalau mereka tak ada duit, masukkan dia dalam khidmat masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

LARANG BUANG SAMPAH BAIK TAPI KPKT KUAT KUASA TERBURU-BURU - PPIM

https://malaysiagazette.com/2026/01/01/larang-buang-sampah-baik-tapi-kpkt-kuat-kuasa-terburu-buru-ppim

Friday, January 2, 2026

PPIM GESA HAPUS SISTEM BIDDING DALAM SEKTOR E-HAILING - MALAYSIA GAZETTE - 31/12/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar (bidding) dalam sektor e-hailing.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, MoT dan APAD juga perlu mengawal kadar tambang e-hailing dengan menetapkan kadar tambang lantai demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri itu.

Menurutnya, meskipun tambang bidding memberikan kelebihan tertentu kepada pengguna, namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing juga tidak boleh diketepikan.

Apatah lagi, tambahnya, pemandu e-hailing merupakan sebahagian daripada rakyat yang bergantung sepenuhnya kepada sektor itu sebagai sumber rezeki.

“Adalah amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang daripada menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan.

“Sedangkan Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang bidding beroperasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PPIM, MoT dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor e-hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Tambahnya, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal sejak pelaksanaan sistem tambang bidding di Malaysia, sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

Katanya, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa.

Selain itu, ujarnya, sehingga ke hari ini, kerajaan dilihat masih gagal menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing serta kegagalan menangani isu kuota BUD195 secara menyeluruh dan berkesan.

“Sehubungan itu, PPIM menggesa MoT dan APAD agar segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan, bagi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terus terbela serta memastikan industri gig sektor e-hailing kekal relevan, mampan dan adil di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel: Malaysia Gazette

PPIM GESA HAPUS SISTEM BIDDING DALAM SEKTOR E-HAILING

https://malaysiagazette.com/2025/12/31/ppim-gesa-hapus-sistem-bidding-dalam-sektor-e-hailing

Tuesday, October 21, 2025

LAKSANA BOIKOT BESAR-BESARAN, TUBUH SEKRETARIAT KHAS - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 21/10/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru umat Islam di negara ini untuk melaksanakan boikot besar-besaran terhadap produk dan syarikat yang didakwa menekan serta bercanggah dengan nilai dan kepercayaan masyarakat Islam.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan boikot  bukan bertujuan memaksa mana-mana pihak, sebaliknya merupakan manifestasi kuasa pengguna dalam menzahirkan pendirian dan prinsip mereka.

“Rezeki datang daripada Allah, bukan daripada syarikat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Nadzim turut mengingatkan pengguna perlu bersatu dan berani bertindak, khususnya dalam mempertahankan maruah dan nilai yang menjadi asas kehidupan masyarakat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, PPIM turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Boikot yang akan menyelaras kempen secara lebih tersusun dan berterusan.

Sekretariat tersebut akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendidik serta komuniti di seluruh negara.

“Tindakan ini adalah senjata aman pengguna dalam menegakkan hak dan mendesak tanggungjawab sosial korporat agar dihormati,” tambah Nadzim.

PPIM berharap kempen akan menjadi titik tolak kepada gelombang kesedaran yang lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk lebih peka terhadap aspek etika dan prinsip dalam membuat keputusan sebagai pengguna. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

LAKSANA BOIKOT BESAR-BESARAN, TUBUH SEKRETARIAT KHAS - PPIM

https://malaysiagazette.com/2025/10/21/laksana-boikot-besar-besaran-tubuh-sekretariat-khas-ppim/

Monday, October 20, 2025

PPIM PERJELAS ISU MAKANAN KUCING DIDAKWA BERASASKAN BABI - MALAYSIA GAZETTE - 11/10/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular melibatkan makanan kucing yang didakwa mengandungi bahan berasaskan babi, sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna Muslim.

Penasihat Agama PPIM, Ahmad Shahdan menjelaskan, meskipun kucing tidak tergolong dalam golongan mukallaf atau individu yang tertakluk kepada hukum syarak, tanggungjawab tetap terletak pada pemilik atau penjaganya yang beragama Islam.

“Kucing tidak ditaklifkan kerana mereka tiada agama. Namun, yang memegang, memberi makan dan menjaganya adalah manusia.

“Nabi Muhammad SAW bersabda kucing bukan najis dan ia adalah haiwan yang suci,” katanya menerus sebuah video ringkas.

Menurut beliau, penilaian terhadap hukum najis perlu dibuat berdasarkan bentuk bahan sama ada bersifat cecair (ma’i’at) atau pejal.

Katanya, jika makanan tersebut bersifat cecair dan mengandungi unsur babi, maka ia tergolong dalam najis berat (mughalazah) sekiranya disentuh dalam keadaan basah.

“Jika terkena pakaian, tempat atau tubuh, ia perlu disamak dengan tujuh kali basuhan, termasuk sekali dengan tanah. Perkara ini penting khususnya bagi mereka yang membawa kucing ke masjid atau kawasan solat,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad turut mengingatkan bahawa sumber asal bahan makanan turut memainkan peranan penting dalam hukum halal dan haram.

“Jika makanan itu dibuat daripada bahan najis seperti babi atau anjing, maka hukum penggunaannya adalah haram, termasuk dalam urusan jual beli. Dalam mazhab Syafi’i, jual beli sesuatu yang ada unsur najis adalah haram. Umat Islam perlu lebih berhati-hati dan pastikan setiap produk yang dibeli mempunyai pengesahan halal,” tegasnya.

PPIM turut menasihatkan pengguna Muslim agar meneliti label kandungan bahan sebelum membuat pembelian serta memilih produk yang jelas status halalnya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM PERJELAS ISU MAKANAN KUCING DIDAKWA BERASASKAN BABI

https://malaysiagazette.com/2025/10/11/ppim-perjelas-isu-makanan-kucing-didakwa-berasaskan-babi

Thursday, September 25, 2025

PM PERLU CAMPUR TANGAN, HENTIKAN BULI DI SEKOLAH - NADZIM - MALAYSIA GAZETTE - 23/09/2025

 

KUALA LUMPUR – Belum pun selesai kematian pelajar tingkatan satu dan pelatih Palapes dipercayai akibat buli kini timbul pula kes sama melibatkan remaja bawah umur di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Oleh kerana perlakuan buli itu didakwa cuba disembunyikan pihak sekolah malah ada di antara kes itu berlarutan hingga dua tahun, pihak keluarga tiada pilihan selain merujuk kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, lebih malang apabila perlakuan buli itu melibatkan banyak pihak termasuk guru, kepimpinan tertinggi sekolah dan persatuan guru dan ibu bapa (PIBG) serta rakan sebaya.

Menurut beliau, sudah sampainya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkah perlakuan buli secara tuntas di semua institusi pendidikan di negara ini.

“Perkara ini begitu bahaya, saya minta Menteri (Pendidikan) sendiri ambil tindakan, contohnya haramkan perkara ini di sekolah, kita letak satu garis panduan. Menteri ada executive order, suruh sahaja terpaksa ikut, dia boleh buat macam-macam.

“Kita kena berubah, nak tunggu apa lagi, saya ini nasihat kepada Menteri (Fadhlina Sidek), kalau menteri tak boleh buka mulut, kita minta Perdana Menteri, arah sahaja, besar sangat ker (halangannya).

“Kalau PM tak boleh buat, saya pun tak tahu siapa nak buat, pasal benda ini (makin serius) sebab libatkan kematian dan kecederaan, malah tiada sebab (lengah).

“Menteri atau PM sendiri ada kuasa, boleh turun padang, ajar beruk-beruk ini, tak salah pun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, dan pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dipercayai akibat dibuli.

Dalam pada itu, Nadzim juga mencadangkan agar perbuatan buli dikategorikan sebagai perlakuan jenayah dan ia perlu dikuatkuasakan bermula di peringkat sekolah.

“Kita gagal menangani kes buli dengan sebaik mungkin. Ada juga kes mangsa buli sampai dia membalas balik (perbuatan buli) hingga rosak (masyarakat). Kalau orang dah buat kurang ajar mungkin jawabnya kurang ajar juga, takkan nak biar sahaja.

“Kategorikan buli ini sebagai satu jenayah supaya perkara ini boleh dihentikan serta-merta sebab sudah ramai yang cedera, beribu orang yang terkesan, nak tunggu apa lagi,” katanya.

Nadzim juga berkata, sudah sampai masanya orang Melayu bangkit dan menolak sekeras-kerasnya budaya negatif yang diwarisi sejak turun-temurun itu.

“Buli ini perlu dihentikan serta-merta kerana merupakan budaya pengecut, budaya bodoh dan budaya tiada otak.

“Dalam kehidupan ini pun, kalau kita dibuli oleh mana-mana pihak sama ada pekedai, peniaga atau kawan sendiri pun, kita tak boleh terima tapi orang Melayu ini sudah terlalu lama, ikut sahaja, budaya ini kena ubah,” katanya.

Katanya lagi, anak-anak remaja juga perlu didedahkan kepada seni membela diri di sekolah sebagai langkah alternatif untuk mengelakkan diri mereka dibuli dan mempertahankan diri.

“Alhamdulillah dia (mangsa) belajar tomoi, kalau anak saya, saya suruh lempang balik, kena ajar (pembuli) mungkin kawan kita tak bersetuju tapi pandangan kita berbeza.

“Kalau di kolej, apa sebab orang nak buli, budaya ini cukup lama, seingat saya sejak tahun 60-an lagi di mana ada pelajar Universiti Pertanian dulu, dia ambil tahi lembu, bancuh dan air siram, letak kepala dan pam (tandas) perbuatan ini tiada otak.

“Orang yang buli ini tiada moral, akhlaknya teruk, saya nak orang ramai bersama kita hentikan buli,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PM PERLU CAMPUR TANGAN, HENTIKAN BULI DI SEKOLAH - NADZIM

https://malaysiagazette.com/2025/09/23/pm-perlu-campur-tangan-hentikan-buli-di-sekolah-nadzim/

Wednesday, September 24, 2025

PPIM BONGKAR KES BULI - MALAYSIA GAZETTE - 23/09/2025

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bergambar bersama keluarga dan mangsa buli selepas sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Mangsa yang merupakan pelajar sekolah menengah meluahkan perasaannya melalui lukisan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Ibu mangsa, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31 menunjukkan lukisan anaknya yang kemurungan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Mangsa meluahkan perasaannya melalui lukisan selepas menjadi mangsa buli di sekolah ketika sidang media PPIM di Puteri Villa Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2025.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

Tuesday, May 13, 2025

PELANTIKAN ABDUL KADIR SEBAGAI PENGERUSI SPAN AKAN PERCEPAT TRANSFORMASI AIR - MALAYSIA GAZETTE - 12/05/2025

 

KUALA LUMPUR- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik dan menyokong pelantikan Datuk Abdul Kadir Din sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Persatuan tersebut menerusi kenyataan berkata, suruhanjaya itu memerlukan suntikan kepakaran yang mampu menggalas tugas bagi mengurangkan impak dalam masa yang sama, memperbaiki bekalan dan kualiti air negara.

Sehubungan itu katanya, berdasarkan kredibiliti dan rekod perkhidmatan kecemerlangannya, pelantikan Abdul Kadir adalah langkah strategik yang dapat mempercepatkan proses reformasi sektor air, sejajar dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Langkah melantik tokoh berpengalaman seperti Abdul Kadir juga dilihat selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus melalui pelantikan individu berkelayakan profesional bagi mengetuai agensi-agensi penting negara,” katanya.

Menurut PPIM, Abdul Kadir aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Justeru, sebagai seorang sosok yang profesional, beliau diyakini akan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang kariernya sebelum ini demi memperhebat industri tersebut dengan integriti.

“Pengalaman dan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang mampu membantu melonjakkan industri air negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Beliau juga aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.

Tambah PPIM, antara sumbangan besar beliau ialah secara langsung dalam pembangunan dokumen Pelan Transformasi Air 2040, yang kini menjadi panduan utama dalam merealisasikan pembaharuan menyeluruh sektor air negara.

Selain itu, beliau turut dikenali sebagai pakar rujuk (subject matter expert) dan telah menyumbang ilmu serta kepakaran beliau kepada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelantikan sebagai pensyarah jemputan (adjunct lecturer).

“Ini menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasa generasi profesional masa hadapan dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan air,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof membatalkan pelantikan Abdul Kadir sebagai Pengerusi SPAN bagi menggantikan  Charles Anthony Santiago.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, ia susulan risiko berlaku konflik kepentingan Abdul Kadir dengan syarikat swasta berkaitan pengurusan air dan sisa.

Selain itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan  turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

Kemudian, PETRA menerusi kenyataan menjelaskan Pengerusi SPAN baharu itu telah melepaskan jawatannya dalam syarikat swasta yang dikatakan, sebelum memulakan tugas barunya pada 5 Mei lalu.-MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PELANTIKAN ABDUL KADIR SEBAGAI PENGERUSI SPAN AKAN PERCEPAT TRANSFORMASI AIR

https://malaysiagazette.com/2025/05/12/pelantikan-abdul-kadir-sebagai-pengerusi-span-akan-percepat-transformasi-air/

Thursday, February 20, 2025

KENAPA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL UMAT ISLAM - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 19/02/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana tidak henti-henti mencampuri urusan berkaitan umat Islam di negara ini.

Ketua aktivisnya, Nadzim Johan mendakwa, Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam negara ini.

Sedangkan, tegasnya, umat Islam negara ini tidak mempunya sebab untuk menghina agama lain dan tidak pernah melakukannya.

“Saya tidak faham mengapa Rayer terlalu obses untuk mencampuri hal ehwal dan program berkaitan Islam sejak akhir-akhir ini.

“Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan mencanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum Islam adalah agama bagi Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Rayer baru-baru ini yang telah mengkritik Mufti Perlis kerana menjemput pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik ke suatu program.

Nadzim mencadangkan agar Rayer menjaga kemaslahatan rakyat Jelutong sahaja kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya.

Beliau turut mendakwa kerajaan dilihat amat longgar dalam mengambil tindakan pihak-pihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi.

“Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?,” soalnyanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KENAPA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL UMAT ISLAM - PPIM

https://malaysiagazette.com/2025/02/19/kenapa-rayer-obses-campuri-hal-ehwal-umat-islam-ppim/

Monday, January 27, 2025

PPIM GESA MALAYSIA TURUT MENARIK KEANGGOTAAN DALAM WHO - MALAYSIA GAZETTE - 24/01/2025

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak menarik keanggotaan Malaysia daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) seperti mana yang dibuat Amerika Syarikat (AS).

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata gesaan itu bagi memastikan kedaulatan negara terjamin terutama sekali dalam Dasar Kesihatan Negara yang lebih telus dan bebas daripada pengaruh luar.

“Kami sebagai persatuan pengguna mahu kerajaan melihat kembali perkembangan terbaharu yang berlaku di Amerika Syarikat kerana puluhan tahun, seolah-olah kita hanya mengikut sahaja.

“Kita gembira dengan kenyataan kerajaan bahawa pihak mereka belanja RM40 hingga RM50 bilion untuk sektor kesihatan, tapi adakah itu merupakan polisi yang terbaik untuk rakyat.

“Nampaknya kita tidak memberikan perhatian sewajarnya untuk mengelak daripada rakyat jatuh sakit,” katanya dalam sidang media di pejabat PPIM hari ini.

Nadzim berkata demikian mengulas perkembangan terkini Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengaktifkan pengunduran negara itu daripada WHO.

Ini kali kedua dalam tempoh kurang lima tahun yang menyaksikan Trump mengarahkan Amerika keluar daripada pertubuhan tersebut walaupun ramai saintis bimbang langkah beliau akan menyebabkan kejayaan WHO dalam memerangi penyakit berjangkit seperti AIDS, demam malaria dan batuk kering terbantut.

Justeru itu, Nadzim berkata desakan itu harus dipertimbangkan oleh kerajaan kerana ia turut melibatkan pendirian negara terhadap WHO.

“Kita mahu perkara ini dilihat kembali supaya rakyat tidak dijadikan hamba kepada syarikat-syarikat farmasi yang mengeluarkan ubat-ubatan. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM GESA MALAYSIA TURUT MENARIK KEANGGOTAAN DALAM WHO

https://malaysiagazette.com/2025/01/24/ppim-gesa-malaysia-turut-menarik-keanggotaan-dalam-who/

Thursday, October 31, 2024

AMBIL TINDAKAN TEGAS DALAM ISU KIBAR BENDERA ASING SEBELUM HILANG KAWALAN - MALAYSIA GAZETTE - 31/10/2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa bertegas dalam isu kibar bendera negara asing di tempat awam yang tular baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya amat kesal perkara itu boleh berlaku di negara ini dan meminta tindakan tegas pihak berkuasa menanganinya sebelum perkara ini di luar kawalan.

“PPIM sentiasa menghormati dan menyokong tugas pihak berkuasa namun, dalam isu ini (kibar bendera asing) kita tidak boleh berkompromi.

“Apa yang kami bimbang adalah tindakan di luar jangkaan oleh orang awam yang mungkin menyebabkan ketegangan dalam negara ini,” tegasnya.

Pada 24 Oktober lalu, tular di media sosial satu perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera China di tempat awam menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat tempatan.

Perarakan berunsurkan keagamaan itu membabitkan kereta berhias telah berlangsung dari jam 8 malam hingga jam 11.30 malam 24 Oktober lepas dan disertai kira-kira 400 penonton.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata penganjur acara itu melanggar syarat permit yang diluluskan pada 2 Oktober lalu.

Azizi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Terbaharu, hari ini media melaporkan Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Johor turut disertai delegasi dari China, Vietnam, Thailand, Filipina, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee merupakan salah seorang peserta yang menghadiri perarakan tersebut.

“PPIM berpendapat mereka sepatutnya turut disiasat di bawah akta hasutan kerana perbuatan penganjur dan peserta itu bukan sahaja menghina negara namun menghasut orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Pada masa sama, PPIM juga berharap agar menteri dan menteri besar negeri-negeri terbabit mengeluarkan kenyataan-kenyataan bijak yang berdasarkan fakta dan akta dan bukan yang berbentuk bacul dalam kemelut yang berkaitan dengan kedaulatan negara ini, tambahnya.

Ujar beliau, PPIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan Malaysia. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

AMBIL TINDAKAN TEGAS DALAM ISU KIBAR BENDERA ASING SEBELUM HILANG KAWALAN

https://malaysiagazette.com/2024/10/31/ambil-tindakan-tegas-dalam-isu-kibar-bendera-asing-sebelum-hilang-kawalan/ 

Saturday, September 21, 2024

PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL DENGAN GISBH - MALAYSIA GAZETTE - 21/09/2024

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaaan mengamalkan ajaran sesat dan bersekongkol untuk melindungi ahli kumpulan Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan, terdapat banyak perkara yang tidak tepat ditularkan di media sosial dan cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang berjalan.

“PPIM seperti mana banyak pihak lain sebelum ini bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam untuk pengguna di Malaysia.

“Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan itu yang kini sedang tular.

“PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, PPIM tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu yang berlaku dalam GISBH sehinggalah perkara tersebut didedahkan baru-baru ini.

Ini termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, penggubahan wang haram dan lain-lain lagi.

“Sehubungan itu, kami meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan PPIM dengan isu yang tidak berkaitan.

“PPIM juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran islam,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL DENGAN GISBH

https://malaysiagazette.com/2024/09/21/ppim-nafi-dakwaan-bersekongkol-dengan-gisbh/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL