Friday, March 27, 2015

2528) BERNAMA - 19/03/2015 - Kenaikan Kadar Bas, Teksi Perlu Seiring Penambahbaikan Mutu Perkhidmatan - Komen Reaksi

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Sudah sampai masanya pelarasan dan kenaikan tambang teksi, kereta sewa dan bas ekspres perlu dibuat, namun mutu perkhidmatan perlu juga ditambah baik untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

Demikian antara pelbagai reaksi daripada persatuan pengguna, teksi, bas dan 'netizen' yang melihat kadar baharu itu perlu seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan dan bukannya masih di takuk lama.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata sudah sampai masa kerajaan dan pihak berwajib mengkaji kadar kenaikan dan pelarasan yang perlu dibuat setiap dua tahun sekali untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.


"Sepatutnya pihak berwajib sedar akan perkara ini dan bukannya tunggu sehingga satu tempoh lama untuk menaikkan kadar tambang sehingga rakyat akan memarahi kami. Malah pihak berwajib juga perlu beri penjelasan yang baik.

"Kita bukan kejar keuntungan tetapi sama-sama bertimbang rasa untuk situasi 'menang-menang' semua pihak dan ini memerlukan kerjasama semua pihak baik daripada pihak berwajib, persatuan teksi dan masyarakat," katanya.

Dilaporkan Khamis tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

Kenaikan tambang itu yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Khamis, dibuat berikutan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barangan dan kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Sambil menyambut baik kadar tambang baharu itu, Aslah menjelaskan pihaknya akan bersiap sedia untuk penyesuaian termasuk mengemas kini meter yang lebih 'up-to-date' dan mesra pengguna.

Dalam pada itu, ditanya mengenai rungutan dan stigma masyarakat bahawa kadar baharu tidak setimpal dengan servis buruk sesetengah pemandu teksi, Aslah berkata pangkalan data sikap dan mutu perkhidmatan pemandu perlu diwujudkan.

"Bukan semua pemandu bersikap buruk seperti tidak menggunakan meter, ubah laluan, kenderaan kotor dan perangai gangster. Itu hanya segelintir. Dengan adanya pangkalan data, kita akan kenal pasti pemandu seperti ini untuk tindakan.

"Pihak berwajib dan masyarakat perlu juga sama-sama mainkan peranan dengan kemukakan bukti dan maklumat yang tepat. Jika tidak, memang sukar untuk kita kenal pasti pemandu sedemikian," katanya sambil menambah bahawa terdapat hampir 30,000 pemandu teksi berdaftar di Lembah Klang ketika ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata kenaikan tambang bas ekspres sebanyak 22.6 peratus berkemungkinan akan menyebabkan penurunan pengguna perhidmatan kenderaan awam itu.

Katanya, orang ramai akan berfikir beberapa kali sebelum memilih menggunakan perkhidmatan bas ekspres kerana perlu membayar harga tambang yang lebih tinggi.

"1 April ini akan bermulanya pelaksanaan CBP/GST jadi pengguna fikir harga kebanyakan barang akan naik seiring dengan kenaikan harga petrol.

"Bila harga tambang bas naik, akan wujudnya kesan psikologi terhadap penumpang yang akan membuatkan mereka mula menyimpan wang, sekali gus mereka akan kurang menggunakan perkhidmatan bas," katanya.

Beliau berkata situasi itu bagaimanapun masih terlalu awal untuk digambarkan, dan trend penggunaan orang ramai terhadap perkhidmatan bas ekspres hanya dapat dilihat selepas lima bulan tambang bas naik atau pada hujung tahun ini.

"Kami juga belum dapat lihat bagaimana kenaikan harga tambang ini akan memberi kesan kepada kami dalam dua atau tiga bulan ini.

"Namun saya harap keadaan akan kembali seperti sediakala selepas beberapa bulan kenaikan tambang ini, baik kepada pengusaha mahu pun pengguna," kata Mohamad Ashfar.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Khidmat Aduan Pelanggan Nasional (NCCC), Muhammad Shaani Abdullah berkata pelarasan dan kadar baharu tambang teksi dan bas ekspres itu perlu seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan dan sikap pihak yang terlibat.

"Apa gunanya pelarasan dan kenaikan kalau servis kepada pengguna sangat teruk dan tidak ikut undang-undang? Tengoklah pemandu teksi yang tidak ikut meter, bersikap seperti gangster, kebersihan kenderaan tiada, sopan santun pun tidak nampak langsung.

"Banyak tindakan dan sikap mereka yang tidak boleh terima teguran masyarakat malahan sangat berleluasa. Bagaimana masyarakat hendak terima kenaikan kalau perkara seperti ini pun tidak ditambah baik?," katanya kepada BERNAMA.

Muhammad Shaani mempersoalkan tindakan pelarasan dan kadar baharu yang dibuat ini kerana teksi Uber - aplikasi menyewa kenderaan menerusi talian - masih boleh beroperasi dengan mengenakan caj murah malahan mendapat sambutan.

"Kenapa Uber boleh caj rendah tapi teksi biasa tidak? Adakah kos atau modal pelesenan tinggi? SPAD kena buat kajian akan perbandingan ini," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula meminta masyarakat faham bahawa kenaikan ini adalah bersesuaian dengan keperluan perbelanjaan masa kini.

Menurutnya, pemandu teksi dan bas juga sebahagian daripada masyarakat yang tidak boleh lari daripada kenaikan harga barangan dan perubahan hidup yang semakin mencabar setiap hari, khasnya di Lembah Klang.

"Ada antara mereka yang menemui kita dan meluahkan perasaan sebelum ini akan tambang yang tidak naik sekian lama dan tiada tindakan oleh pihak berwajib untuk mengkajinya.

"Satu realiti yang harus diterima bahawa pemandu teksi juga kena beli barang keperluan harian, kena servis teksi dan lain-lain lagi. Mereka memerlukan sumber pendapatan yang lebih realistik. Kita kena bagi ruang kepada mereka juga.

"Tapi saya percaya, apabila tambang telah naik, mutu perkhidmatan juga harus ditingkatkan dan mereka lebih berbudaya," katanya.

Sementara itu, tinjauan di twitter BERNAMA selepas tersiar tajuk berita kenaikan tersebut mendapati, 'netizens' mempersoal dan meminta perkhidmatan teksi dan bas diperbaiki dan ditambah baik ke tahap yang lebih baik daripada sekarang.

Antaranya "?@zoalisas - Teksi busuk buruk pun nak caj org mahal2?" ; @Zieuptownace- Servis dah upgrade ke? ; ?@mymohan - RM3...still same....previously was 10c for 110m so whats the very much different dan @juzzfikri - Mutu dan kualiti tetap di takuk lama.

--BERNAMA



Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1118598

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...