Friday, March 27, 2015

2522) HARIAN METRO - 20/03/2015 - Minta SPAD Kaji Semula


Kuala Lumpur: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berhubung penetapan kadar baru tambang teksi dan bas ekspres lebih 40 peratus bermula pada 1 April depan yang disifatkan sebagai membebankan pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendapat kenaikan itu akan menimbulkan pelbagai implikasi lain termasuk peningkatan kepada pengangkutan awam yang lain.

Katanya, kadar baru yang diumumkan juga agak tinggi sekali gus memberi kesan kepada pengguna perkhidmatan itu dan ia wajar dikaji semula bagi membantu golongan bawahan.

“Kita melihat daripada beberapa aspek antaranya peningkatan kadar ini akan mempengaruhi perkhidmatan lain. Hari ini mungkin bas ekspres dan teksi, tetapi akan datang mungkin LRT, MRT dan bas sekolah turut menimbangkan untuk menaikkan kadar.

“Ia menyebabkan pengguna akan beralih kepada kenderaan sendiri yang menimbulkan isu lain seperti kesesakan dan pertambahan kos harian.,” katanya.

Bagi Pemuda UMNO, keputusan itu tidak kena pada masanya kerana negara berdepan pelbagai isu kepenggunaan lain seperti harga barangan dan kadar 40 peratus itu wajar dikaji semula.
EXCO Pemuda UMNO, Rahman Hussin berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum berhubung perkara itu kepada SPAD semalam meminta agar dikaji semula kadar kenaikan bagi mengurangkan beban pengguna.

“Kita merasakan kadar itu tinggi jika dibandingkan dengan perkhidmatan ditawarkan. Contohnya teksi yang menggunakan meter, sepatutnya dikaji semula kerana ada teksi yang dalam keadaan kurang elok untuk membawa penumpang, tetapi masih beroperasi,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menggesa kualiti perkhidmatan pengangkutan awam ditambah baik selaras dengan kenaikan itu kerana sebelum ini pelbagai aduan mengenainya dibuat orang ramai.



No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...