Monday, March 30, 2015

2533) ARKIB BERITA PPIM - 20/02/2015 - UTUSAN - Dikhuatiri Wujud Monopoli



PUTRAJAYA 19 Feb. - Cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang kini dalam pertimbangan kerajaan untuk dilaksanakan dibimbangi akan mewujudkan monopoli pihak tertentu, sekali gus menyebabkan rakyat terbeban apabila terpaksa membayar caj doktor dan caj ubat-ubatan yang tinggi. 

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)Datuk Dr. Ma'amor Osman mendakwa, monopoli diyakini akan berlaku dalam kalangan pengeluar ubat-ubatan yang dibekalkan ke farmasi-farmasi sekiranya langkah pengasingan itu dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membuat kajian terperinci dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan, syarikat swasta, golongan profesional, pengamal perubatan dan pengguna bagi memberi keadilan serta mewujudkan ‘situasi menang-menang’ untuk semua pihak terlibat.

“Tidak salah jika kita mahu melakukan transformasi da­lam sektor kesihatan dengan mengambil contoh negara luar. Tetapi dalam masa sama, jika amalan kita hari ini telah memberi keselesaan, keuntungan dan mengutamakan kebajikan pesakit mengapa perlu ikut negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peru­­batan Malaysia (MMA), Dr. H. Krishna Kumar berkata, para doktor masih belum bersedia untuk melaksanakan pengasingan fungsi klinik dan farmasi.

“Pesakit mungkin keliru dengan arahan doktor berhubung pengambilan sesuatu ubat dan ini boleh membahayakan kesihatan jika mereka mengambil ubat yang tidak sepatutnya,’’ katanya.

Doktor perubatan yang juga Exco Biro Kesihatan Puteri UMNO, Dr. Nur Faizah Ali berkata, rakyat negara ini belum bersedia dan banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuk jumlah farmasi di luar bandar yang masih kurang dan waktu operasi sesebuah farmasi iaitu adakah ia dibuka selepas tengah malam.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...