Tuesday, January 31, 2023

BANTU GOLONGAN MUFLIS SEBELUM 2017 - HARIAN METRO - 31/01/2023

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan dan Jabatan Insolvensi Malaysia memandang serius nasib mereka yang disahkan muflis sebelum 2017.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia kerana hak individu terbabit seolah-olah dinafikan berikutan langkah penambahbaikan dalam pindaan Akta Insolvensi 1967 pada tahun berkenaan.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila individu disahkan muflis juga terdiri daripada golongan belia dan warga emas yang sudah berusia 75 tahun.

"Mereka yang disahkan muflis selepas 2017 menerima beberapa penambahbaikan dalam pindaan Akta Insolvensi 1967 pada tahun itu.

"Sebagai contoh, peruntukan Seksyen 33C yang memberi pelepasan automatik selepas tiga tahun muflis dan lapan pindan lain dalam akta pada tahun berkenaan.

"Bagaimanapun mereka yang muflis sebelum 2017 perlu menunggu sehingga 15 tahun pentadbiran kes di Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum layak memohon bebas muflis.

"Seharusnya golongan belia yang muflis diberi peluang kedua untuk bebas (muflis) manakala warga emas pula perlu dibebaskan secara automatik kerana faktor umur dan kesihatan mereka," katanya pada sidang media di pejabat PPIM, di sini, hari ini.

Nadzim berharap pelantikan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pengarah Insolvensi yang baharu, M Bakri Abd Majid dapat membantu individu dibelenggu muflis.

"PPIM menyambut baik dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan dalam membela nasib mereka yang muflis."Kami percaya dengan kebijaksanaan Datuk Seri Azalina kerana beliau individu yang bertanggungjawab menambah baik Akta Insolvensi 1967 pada 2017.

"Sebelum ini, mereka yang muflis seolah-olah tidak mempunyai masa depan dan akan terus berada dalam keadaan tidak diberikan pengupayaan untuk bangkit semula.

"PPIM berharap pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian serius terhadap segala perkara yang diutarakan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

BANTU GOLONGAN MUFLIS SEBELUM 2017

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/01/931135/bantu-golongan-muflis-sebelum-2017

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...