Wednesday, May 24, 2023

PINDAAN KANUN TATACARA JENAYAH KEMBALIKAN KEADILAN KEPADA MANGSA PENIPUAN DALAM TALIAN - BULETIN TV3 - 23/05/2023

 

PETALING JAYA: Cadangan pindaan Kanun Tatacara Jenayah untuk membanteras jenayah penipuan dalam talian (scam) disifatkan langkah yang sangat efektif dan proaktif.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, proses sedia adabagi mendapatkan semula wang yang ditipu, boleh memakan masa yang sangat lama, malah ramai yang berputus asa untuk mendapatkan semula wang berikutan perlu melalui proses yang sukar.

“Biasanya duit (yang ditipu) ini bertahun-tahun nak bawa keluar,walaupun dah dapat balik, proses dia sukar, usaha untuk memberi kemudahan kepada rakyat ni memang kita harapkan supaya mangsa mendapat balik wang mereka secepat mungkin.”

Katanya lagi, ada juga segelintir mangsa sehingga melalui tekanan melampau, kerana terpaksa meneruskan kehidupan dengan simpanan yang sedikit, selepas ditipu.

Melalui pindaan Kanun Tatacara Jenayah, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mangsa untuk mendapatkan semula wang yang telah ditipu, dalam kadar segera.

Bagaimanapun ujarnya, isu keldai akaun juga perlu diberi perhatian kerana ada segelintir daripada mereka juga menjadi mangsa kepada penipuan.

“Kadang-kadang dia juga tidak tahu, jadi perkara ini perlu dikaji supaya dapat memberi keadilan sebaik mungkin kepada mangsa (keldai akaun).”

Peguamcara dan peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor

Sementara itu, Peguamcara dan peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor menganggap undang-undang sedia ada, wajar dipinda, seiring dengan teknologi yang semakin berkembang.

Selain bertujuan mempercepatkan proses mendapatkan wang yang telah ditipu, pindaan ini juga dilihat dapat membanteras kes penipuan dalam talian, daripada terus berleluasa.

“Scammer ni lebih bijak, setiap kali mereka datang dengan idea scam yang baharu, dan kemudian polis dapat kenalpasti modus operandi, dia nak ‘freeze’ nombor akaun, nak kena dapatkan perintah daripada mahkamah, ataupun perlu ikut

prosedur tertentu, sehingga waktu nak banteras dia dah hilang jejak. Bila ada satu pindaan yang dibuat yang membanteras secara efektif dan segera, maka ianya sangat baik dan menjadi satu alternatif kepada mangsa untuk mendapatkan wang yang telah ditipu.”

“Bayangkan pindaan Kanun Tatacara Jenayah ni memberi kuasa kepada pihak polis, apabila ada laporan yang telah dibuat oleh mangsa, pihak polis kenal pasti nombor akaun,  pergi kepada pihak bank dan terus memberikan arahan untuk bekukan akaun (scammer)”, katanya.

Tambahnya, pindaan Kanun Tatacara Jenayah ini juga dapat memberi perlindungan kepada mangsa yang digunakan sebagai keldai akaun.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, kerajaan memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian (scam) dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Perkara itu dimaklum  Perdana Menteri ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) berhubung langkah kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulangan dana yang dicuri kepada mangsa penipuan dalam talian.


Artikel oleh: Buletin TV3

PINDAAN KANUN TATACARA JENAYAH KEMBALIKAN KEADILAN KEPADA MANGSA PENIPUAN DALAM TALIAN

https://www.buletintv3.my/nasional/pindaan-kanun-tatacara-jenayah-kembalikan-keadilan-kepada-mangsa-penipuan-dalam-talian/

PPIM GESA KERAJAAN TOLAK PINDAAN IHR2005 - SINAR HARIAN - 24/05/2023

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan tidak menandatangani pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR2005) yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Kesihatan Dunia Ke-76 di Geneva, Switzerland minggu depan.

Aktivis PPIM, Datuk Asri Yusoff berkata, Malaysia terutama Kementerian Kesihatan (KKM) perlu tegas dan tidak terikat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menguruskan masalah keselamatan kesihatan global seperti Covid-19.

Beliau menjelaskan, sekiranya kerajaan menandatangani pindaan berkenaan, secara tidak langsung telah memberi kuasa kepada pertubuhan itu untuk mengenakan peraturan dan mengikat Malaysia secara sah mengatasi kedaulatan negara.

"Sekiranya Malaysia menandatangani pindaan berkenaan, maka negara ini terikat dengan arahan dan peraturan yang dikenakan WHO dalam menguruskan isu keselamatan kesihatan global.

Oleh itu kami berharap kerajaan terutama KKM dapat memberi penerangan kepada rakyat mengenai implikasi sekiranya Malaysia tidak menandatangani pindaan tersebut demi menjaga kedaulatan negara," katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai rekod, IHR2005 merupakan peraturan yang digunapakai WHO untuk mengurus dan mengawal kesihatan global, namun tidak bersifat terikat terhadap negara ahli di bawah pertubuhan berkenaan.

Usul pindaan IHR2005 yang akan dibentangkan pada persidangan itu telah dikemukakan kepada negara ahli termasuk Malaysia untuk menyokong Artikel 1 berkenaan definisi 'cadangan tetap' dan 'cadangan sementara' daripada tidak mengikat (non-binding) kepada terikat (binding).

Justeru, sekiranya pindaan berkenaan ditandatangani dan mendapat sokongan negara ahli, maka secara tidak langsung WHO berhak menetapkan peraturan dan mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang telah bersetuju.

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan kepada Sinar Harian, pindaan definisi tersebut memberi kesan kepada IHR2005 melibatkan Artikel 15 dan Artikel 16.

Artikel 15 mengenai cadangan sementara, penambahan frasa 'keadaan yang berpotensi tersenarai dalam Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC)' yang mana Ketua Pengarah WHO perlu mengeluarkan syor sementara mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perkara 49.

Artikel 16 mengenai cadangan tetap, penambahan frasa 'cadangan akses dan ketersediaan produk kesihatan, teknologi dan cara, termasuk peruntukan mekanisme bagi akses yang adil dan saksama.

Oleh itu, WHO dibenarkan untuk mengubah suai atau menamatkan syor tersebut mengikut kesesuaian berdasarkan Perkara 53.

Dalam pada itu Asri yang juga bekas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjelaskan, sekiranya pindaan terhadap artikel-artikel berkenaan diluluskan dan Malaysia menjadi antara negara ahli, IHR2005 akan menjadi undang-undang antarabangsa yang turut mengikat negara ini kepada arahan-arahan serta polisi WHO.

"Demi menyelamatkan kedaulatan negara, Malaysia wajib menolak pindaan IHR2005 dan keluar dari WHO," tegasnya.


Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA KERAJAAN TOLAK PINDAAN IHR2005

https://www.sinarharian.com.my/article/259886/berita/nasional/ppim-gesa-kerajaan-tolak-pindaan-ihr2005

TIADA LAGI SUBSIDI ELEKTRIK, HAJI UNTUK T20 - BERITA HARIAN - 23/05/2023

 

Artikel oleh: Berita Harian

TIADA LAGI SUBSIDI ELEKTRIK, HAJI UNTUK T20

Friday, May 19, 2023

GANGGUAN PERKHIDMATAN DI PLAZA TOL HARUS DITANGANI SEGERA - PPIM - KENYATAAN MEDIA PPIM - 19/05/2023

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak kerajaan memandang serius kegagalan sistem bayaran tol lebuhraya utama negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata, gangguan perkhidmatan seperti yang berlaku Rabu lepas merugikan pengguna jalan raya.

"Bukan sahaja sistem yang dipaksa pengguna beli tidak stabil dan sering rosak, malah ia merugikan pengguna dari segi wang ringgit dan masa kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang teruk," katanya.

Pihak pembekal perkhidmatan ini harus ingat bahawa pengguna terpaksa mengeluarkan wang dahulu sebelum perkhidmatan itu digunapakai dengan kaedah tambah nilai yang tidak langsung menawarkan apa bentuk manfaat pun kepada pengguna.

Nadzim menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyedia perkhidmatan dan mencari penyelesaian alternatif segera bagi mengurangkan beban kepada pengguna.

"Kita perlu ada perancangan pelbagai lapisan, jangka pendek, jangka panjang perancangan menangani krisis, jangan tunggu dah terhantuk baru nak terngadah," katanya.

Pada Rabu, Touch 'n Go eWallet mengalami gangguan yang telah melumpuhkan semua fungsi, termasuk pembayaran dan tambah nilai kad NFC.

Pengguna melaporkan bahawa mereka akan log keluar secara automatik apabila membuka aplikasi.

Gangguan itu juga telah menjejaskan pengguna lebuh raya.

Lorong RFID di plaza tol di Penchala Link dan Kerinchi Link juga ditutup susulan gangguan rangkaian yang berasingan yang dialami oleh pengendali lebuh raya Litrak.


KENAIKAN OPR: PENTING GOLONGAN PEMINJAM TAHU PENGURUSAN KEWANGAN - HARIAN METRO - 18/05/2023

 

Kuala Lumpur: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menyebabkan orang ramai terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Tinjauan mendapati ramai terpaksa mengurangkan simpanan dan berbelanja mengikut keperluan penting saja.

Kakitangan swasta, Nurul Shania Jamali, 25, berkata, walaupun mempunyai pendapatan tetap namun kenaikan OPR turut menjejaskan pendapatan bulanannya.

"Saya mempunyai dua jenis hutang. Untuk saya yang baru beberapa tahun bekerja sudah tentu kenaikan OPR sedikit sebanyak memberi kesan.

"Hutang tetap perlu dibayar jadi inisiatif lain yang terpaksa saya lakukan ialah berjimat-cermat dalam berbelanja," katanya.

Menurutnya, pemahaman yang kukuh mengenai pengurusan kewangan penting untuk mengelak terjebak dalam masalah kewangan di usia muda.

Seorang lagi kakitangan swasta, Muhammad Syahmi Mat Said, 26, berkata, kenaikan OPR buat kali kelima membuatkan kestabilan kewangannya merosot.

"Saya baru beli rumah dan baru tinggal di situ pada bulan lalu. Pada setiap bulan saya perlu bayar dan jumlah itu semakin meningkat mengikut kadar kenaikan OPR.

"Saya membuat keputusan membeli rumah kerana berfikir harga rumah yang semakin tinggi jika tunggu lebih lama harga akan semakin naik.

"Meskipun kadar OPR naik namun sangat penting untuk golongan muda sentiasa bayar hutang untuk memastikan rekod kewangan cantik," katanya.

Menurutnya, semasa bercadang membeli rumah, dia berusaha untuk mencari bank yang menawarkan kadar paling rendah tetapi tidak boleh elak dengan kenaikan OPR.

"Saya dan pasangan terpaksa mengurangkan simpanan lain dan berbelanja mengikut keperluan saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata, penting untuk golongan muda mempunyai pengetahuan mengenai OPR.

"Golongan muda perlu punyai ilmu pengetahuan yang cukup mengenai pengurusan kewangan terutama yang membuat pinjaman.

"Apabila OPR dinaikkan kadar faedah bank juga dinaikkan. Bila perkara ini berlaku akan jadi dua situasi. Pertama, tempoh bayaran pinjaman meningkat jika peminjam pilih mengekalkan jumlah ansuran bulanan yang sama.

"Kedua, mereka boleh juga memilih mengekalkan tempoh bayaran tetapi akan berlaku peningkatan kepada ansuran bulanan," katanya.

Menurutnya, golongan muda mempunyai ilmu pengetahuan yang terhad mengenai pengurusan kewangan akan berbelanja kepada perkara bukan keperluan kerana ingin mengikuti gaya hidup terkini.

"Mereka perlu membuat perancangan berhemah untuk memastikan mereka berupaya membayar semula pinjaman itu sekiranya berlaku peningkatan OPR.

"Jenis pinjaman sangat penting sama ada Islamik atau konvesional kerana terdapat perbezaan antara keduanya.

"Terdapat perbezaan dari konsep untung dan faedah iaitu dari sudut rangka kandungan dan konteks.

"Jadi golongan muda yang baru membuat pinjaman sebaiknya mengetahui dan membuat pilihan yang tepat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, agak sukar untuk golongan muda mengelak daripada berhutang.

"Agak susah golongan muda tidak mengambil hutang kerana mereka tidak dilatih dengan pengurusan wang dengan betul.

"Malangnya dalam sistem pendidikan kita, orang muda tidak didik menguruskan dan memahami isu kewangan dengan betul sejak awal.

"Perkara ini perlu diubah dengan segera jika tidak isu ini akan berlarutan dan tidak akan selesai," katanya.

Beliau berkata, keluarga memainkan peranan penting untuk mengubah budaya dan gaya hidup anak-anak.

"Setiap orang perlu berusaha mendidik anak-anak memahami apa yang perlu dilakukan.

"Mereka tidak tahu kerana tidak diajar dan jika gagal dididik mereka tidak akan tahu cara berjimat cermat.

"Jika hendak membuat pinjaman golongan muda perlu membuat semakan atau bertanya rakan-rakan," katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

KENAIKAN OPR: PENTING GOLONGAN PEMINJAM TAHU PENGURUSAN KEWANGAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/05/968268/kenaikan-opr-penting-golongan-peminjam-tahu-pengurusan-kewangan

Wednesday, May 17, 2023

AKTIVITI | MESYUARAT PPIM BERSAMA PENGARAH KPDNHEP WP KUALA LUMPUR - PPIM - 17/05/2023

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri mesyuarat bersama KPDNHEP WP Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Pengarah KPDNHEP WP Kuala Lumpur, Tuan Ariffin Samsudin di Sunway Putra Tower, Kuala Lumpur.

Mesyuarat membincangkan hal-hal kepenggunaan.







AKTIVITI | MAJLIS RUMAH TERBUKA RAYA JPPM - PPIM - 17/05/2023

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Raya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang dihadiri oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi di Putrajaya. 


AKTIVITI | MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI AIR SELANGOR BERSAMA NGO - PPIM - 07/05/2023

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Air Selangor yang dihadiri oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi di Centre Court CXD, Bangsar Trade Centre. 

Turut serta, Ketua CXD Air Selangor, Tuan Abdul Halem Mat Som.




NEGERI PERLU WARTA KEBENARAN GUNA PEMBESAR SUARA LUAR SURAU, MASJID - SINAR HARIAN - 16/05/2023

 

SHAH ALAM - Semua negeri disaran mewartakan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid hanya untuk azan dan iqamah sahaja.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, daripada sudut undang-undang tindakan tersebut adalah perlu dalam usaha memelihara keharmonian antara kaum di negara ini.

Bagaimanapun tegas beliau, ia juga perlu selari dengan usaha memastikan semua pihak saling memahami dan menghormati Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Penganut agama lain tidak faham, tapi kita juga salah sebab tak fahamkan mereka. Bagi mereka yang faham, tiada masalah. Ada kenalan saya Cina lebih suka tinggal berdekatan dengan masjid atau surau ambil berkat, ada 'ong', kekuatan pada dia.

"Jadi, kalau kita tidak wujudkan suasana untuk mereka faham memahami, hormat menghormati. Dia sebenarnya tidak perlu usaha yang lain.

"Perlu wartakan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid hanya untuk azan dan iqamah sahaja... ia perlu daripada sudut undang-undang. Tapi sebenarnya saya melihat perkara ini daripada sudut memahami dan menghormati itu lebih penting.

"Dengan undang-undang mungkin lebih mudah untuk kawal tapi, andai diwarta pun tapi jika orang lain tidak faham, lama kelamaan akan mencetuskan pergaduhan juga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid di Pulau Pinang hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja seperti mana diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 hingga 2 Julai 2015 dan disahkan pada 23 hingga 24 Ogos 2015.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagaimanapun keputusan itu tidak diwartakan sebaliknya diserahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah untuk mempertimbangkan sama ada keputusan itu sesuai dilaksanakan di masjid, surau masing-masing atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, masyarakat perlu kembali kepada perlembagaan negara bahawa Islam adalah agama persekutuan dan harus dilihat pada sudut penting seterusnya membawa semua rakyat kepada kerjasama penting antara kaum.

Justeru, satu kaedah terbaik perlu difikirkan dengan melibatkan usaha bersama.

"Jadi saya harap semua masyarakat menjaga keharmonian Malaysia. Jika tidak, kita akan menghadapi perkara yang tidak selesai contohnya seperti berlaku di India yang melibatkan ekstremis pelbagai pihak yang ada pembunuhan, runtuhkan masjid, robohkan segala benda," katanya.


Artikel oleh: Sinar Harian

NEGERI PERLU WARTA KEBENARAN GUNA PEMBESAR SUARA LUAR SURAU, MASJID

https://www.sinarharian.com.my/article/258785/berita/nasional/negeri-perlu-warta-kebenaran-guna-pembesar-suara-luar-surau-masjid

Tuesday, May 16, 2023

PPIM NAFI MINTA MOTAC PERTIMBANG TINDAKAN TERHADAP AGENSI UMRAH - KENYATAAN MEDIA PPIM - 16/05/2023

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2023 -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan kenyataan seorang Pegawai Tugas Khas persatuan itu yang meminta Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) mempertimbangkan semula tindakan undang-undang terhadap mana-mana agensi umrah dan pelancongan susulan krisis yang berlaku dalam industri pelancongan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata pihaknya tidak tahu menahu mengenai sidang media atau kenyataan yang dikeluarkan Pegawai Tugas-Tugas Khas PPIM, Harik Fauzi.

"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara ini kerana PPIM masih meneliti maklumat kes dan mengikuti siasatan yang dilakukan MOTAC," katanya.

Susulan kenyataan Harik itu, PPIM mengambil tindakan menggantung tugas beliau berkuat kuasa serta-merta.

"Di PPIM kami memandang serius tindakan yang boleh menggugat perjalanan kes melibatkan pengguna khususnya apabila pengguna mengalami kerugian dan rasa ditipu oleh pemain industri," katanya.

Tambah Nadzim, jawatankuasa PPIM telah mengambil tindakan menggantung jawatan Pegawai Tugas-Tugas Khas PPIM, Harik Fauzi diatas perbuatan beliau melaksanakan beberapa tindakan yang bercanggah dengan keputusan jawatan kuasa PPIM.

"Harik Fauzi didapati melanggar etika dengan bertindak mewakili PPIM serta memberi kenyataan mewakili PPIM tanpa kebenaran dalam isu agensi umrah yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga mengakibatkan ribuan jemaah umrah terkandas.

"PPIM masih memantau agensi umrah/haji tersebut dan masih belum berpuas hati untuk memberi sokongan kepada mereka sebaliknya masih mendesak agak diselesaikan segala aduan yang dilaporkan," katanya.

Semalam, media melaporkan PPIM meminta jemaah umrah yang terlibat dengan kejadian terkandas akibat kegagalan pihak Emraz Travel menguruskan visa dan tiket penerbangan mereka.

Harik dilaporkan meminta jemaah umrah terlibat memikirkan pelbagai sudut sebelum mereka membuat aduan kepada pihak berwajib.

Malah menurut Pegawai Khas Ketua Aktivisnya, Harik Fauzi, banyak faktor terlibat dan menjejaskan teruk operasi agensi pengembaraan tempatan termasuk kes dialami Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. ekoran isu penjadualan semula tarikh penerbangan ke tanah suci.

PPIM menegaskan kenyataan Harik itu tidak mewakili persatuan pengguna itu dan PPIM tidak memihak kepada mana-mana pihak yang menganiaya pengguna.

Monday, May 15, 2023

JAKIM PERLU KEMUKA ALASAN TFI DAPAT SEMULA SIJIL HALAL - UTUSAN MALAYSIA - 14/05/2023

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bersikap terbuka dan telus dalam mendedahkan laporan audit melibatkan Thomas Food International (TFI) di Lobethal, Australia selepas rumah sembelihan haiwan itu menerima semula pensijilan halal mereka dan dibenarkan mengeksport daging ke Malaysia.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, keputusan Jakim itu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menimbulkan persoalan yang dilihat mudah menarik balik penggantungan walaupun tidak sampai setahun tindakan itu dikenakan selepas menimbulkan kontroversi apabila prosedur penyembelihannya didakwa tidak mengikut syariat Islam.

“Isu ini telah menjadi isu nasional dan kepentingan awam, mengapa ia tidak didedahkan dan dijadikan dokumen awam, bagi memastikan rakyat dapat melihat sendiri melalui pembacaan bagaimana proses audit dijalankan.

“Jakim perlu bersikap terbuka apabila ia melibatkan isu kepentingan awam,” katanya di sini semalam.

JPV kelmarin mengesahkan penarikan balik penggantungan kelulusan eksport TFI selepas selesai melakukan proses pengauditan yang ketat di semua rumah sembelihan di negara itu pada tahun lalu.

TFI sebelum ini dibatalkan kelulusan kebenaran eksport oleh JPV dan Jakim pada14 Mei tahun lalu selepas Utusan Malaysia mendedahkan isu ketidakpatuhan prosedur halal rumah sembelihan itu.

FAIZAN MOHD. NOR

Dalam pada itu, Faizan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri untuk terus membongkar isu penyembelihan halal diselia badan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Katanya, isu penyembelihan tidak mematuhi prosedur halal yang didedahkan Pekemas sebelum ini membuka mata rakyat Malaysia betapa longgarnya pematuhan halal apabila melibatkan pusat penyembelihan luar negara.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Jakim perlu menghebah dan menjelaskan alasan kelulusan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan rakyat lebih yakin dengan status sijil halal yang diberikan kepada syarikat tersebut.

“Jakim perlu menerangkan apa yang berlaku walaupun akan timbul pelbagai reaksi dari rakyat, sama ada yang setuju atau tidak setuju.

"Persoalannya, adakah wujud kaedah baharu? Apakah kaedah yang diperbetul dan apa yang membuat Jakim mempersetujui sijil halal yang diberikan semula kepada syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi.


Nadzim berkata, Jakim juga perlu mengambil inisiatif meletakkan syarat dan kaedah baharu kepada syarikat tersebut bagi memastikan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap integriti jabatan berkenaan.

“Sebagai contoh, Jakim boleh melantik pihak yang berautoriti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sentiasa ada di rumah penyembelihan dan dengan teknologi kini mungkin boleh memasang kamera yang disambungkan terus kepada Jakim,” katanya. – UTUSAN 


Artikel oleh: Utusan Malaysia

JAKIM PERLU KEMUKA ALASAN TFI DAPAT SEMULA SIJIL HALAL

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/jakim-perlu-kemuka-alasan-tfi-dapat-semula-sijil-halal/

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN - UMMAH TODAY - 12/05/2023


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kerajaan untuk merangka undang-undang yang berkaitan dengan pinjaman daripada bank dan syarikat luar.

Tindakan ini diperlukan kerana terdapat penipuan yang dilakukan terhadap pengguna untuk menarik kereta yang memiliki pembayaran tertunggak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih mesra dengan panggilan Toqqi menyatakan bahawa mereka telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna mengenai penarikan kereta oleh syarikat yang menawarkan pinjaman untuk pembelian kereta.

Beliau mengungkapkan kebimbangan tentang kekurangan ketelusan mengenai prosedur undang-undang yang diikuti oleh syarikat-syarikat tersebut ketika menarik semula kenderaan.

“Apabila kenderaan akan ditahan, pengadu menerima notis lelong. Ini bermakna jika pinjaman tidak dilangsaikan, pengadu tidak dapat mengambil semula kenderaan mereka”.

“Ada pengadu yang menerima notis lelong yang menyatakan bahawa jika baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kenderaan ini akan dilelong pada tarikh tertentu”.

“Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikuti sehingga tindakan penarikan dan lelongan ini dilakukan?“, ujar Toqqi dalam sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat pada Khamis.

Puan Marina Sulaiman, dua dari kiri bersama Datuk Nadzim Johan.


Brother Vince Focarelli bergambar bersama tetamu

Toqqi menyatakan bahawa kes penarikan kereta ini adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Mengikut prosedur yang sebenar, notis lelong akan diberikan terlebih dahulu jika dalam tempoh dua bulan 21 hari tidak ada tindakan daripada peminjam, baru kenderaan tersebut akan ditahan dan dilelong“.

“Ini sangat zalim kepada peminjam yang sedang menghadapi kesukaran. Mereka akan menunggu sehingga saat-saat terakhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan perlu memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat hari ini.

Oleh itu, mereka perlu memeriksa dengan teliti bagaimana undang-undang mengenai pinjaman daripada bank dan syarikat luar boleh dilaksanakan untuk mengelakkan rakyat dari penipuan.

Selain itu, Toqqi juga mencadangkan agar kerajaan menjalankan kajian sebelum melaksanakan cadangan untuk meningkatkan sumbangan majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 20%.

“Kajian perlu dijalankan terlebih dahulu. Kita tidak mahu berlaku kesan buruk seperti majikan terpaksa menghentikan pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai alternatif kerana tidak mampu memberikan sumbangan 20%,” katanya.


Artikel oleh: Ummah Today

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN

https://www.ummahtoday.com.my/ppim-gesa-kerajaan-rangka-undang-undang-membabitkan-pinjaman/?fbclid=IwAR0emF8ZrTlmNkOdeP4r1OKMEywk13Dg5kBPHxgqTAE9JYBMTxLeSbZ0MnM

Friday, May 12, 2023

SYARIKAT KAPITALIS YANG MENAWARKAN PERKHIDMATAN SEWA BELI KENDERAAN MENINDAS PENGGUNA - TV PERTIWI - 11/05/2023

 

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan mendedahkan, terdapat beberapa syarikat kapitalis yang menawarkan perkhidmatan sewa beli kenderaan menekan para pengguna sehingga menyebabkan mereka ditindas. 

Sumber: TV Pertiwi

SYARIKAT KAPITALIS YANG MENAWARKAN PERKHIDMATAN SEWA BELI KENDERAAN MENINDAS PENGGUNA

https://www.youtube.com/watch?v=Sn6Fbo1Juv8

LHDN PERLU AMBIL KIRA STATUS KEMAMPUAN WARIS - BERITA HARIAN - 12/05/2023

 

Artikel oleh: Berita Harian

LHDN PERLU AMBIL KIRA STATUS KEMAMPUAN WARIS

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANG-UNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN - BERITA HARIAN - 11/05/2023

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan merangka undang-udang membabitkan pinjaman dengan pihak bank dan juga syarikat luar.

Perkara itu perlu dilakukan kerana ada pihak yang melakukan penipuan ke atas pengguna bagi menarik kereta yang mempunyai bayaran tertunggak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna membabitkan kereta yang akan ditarik daripada syarikat yang menawarkan pinjaman untuk membeli kereta.

"Kita sendiri tidak tahu undang-undang apa yang mereka ikut (syarikat menarik kereta). Apabila kereta mahu ditarik, pengadu terus mendapat surat lelong. Bermakna sekiranya tidak melangsaikan pinjaman, pengadu tidak boleh mengambil semula kereta mereka.

"Ada pengadu menerima surat lelong mengatakan sekiranya baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kereta ini akan dilelong pada suatu tarikh.

"Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikut sehingga membolehkan tindakan tarik dan lelong ini dilakukan," katanya pada sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali.

Nadzim berkata, kes membabitkan tarik kereta adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur biasa.

"Mengikut prosedur yang sebenarnya, notis untuk melelong kereta akan diberi terlebih dahulu sekiranya selepas dua bulan 21 hari tiada tindakan daripada peminjam, baru kereta terbabit akan ditarik dan dilelong.

"Perkara ini sangat zalim kepada peminjam yang susah. Mereka akan tunggu ke saat akhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang.

"Kerajaan hari ini faham kesusahan rakyat. Oleh itu mereka juga perlu teliti bagaimana undang-undang membabitkan pinjaman dengan bank dan juga syarikat luar boleh dilakukan untuk mengelakkan rakyat daripada ditipu," katanya.

Katanya lagi, melalui aduan yang diterima kadar faedah dikenakan oleh syarikat pinjaman luar adalah antara tujuh sehingga lapan peratus sebulan, malah ada yang mengenakan faedah sehingga 10 peratus.

Sementara itu, Nadzim turut mencadangkan pihak kerajaan untuk melakukan kajian sebelum melaksanakan cadangan menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus.

"Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu. Kita tidak mahu ada kesan buruk seperti majikan terpaksa membuang pekerja tempatan dan mengambil pekerja asing sebagai alternatif kerana tidak mampu memberikan caruman 20 peratus," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

PPIM GESA KERAJAAN RANGKA UNDANGUNDANG MEMBABITKAN PINJAMAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1099987/ppim-gesa-kerajaan-rangka-undang-undang-membabitkan-pinjaman

AKTIVITI | MAJLIS SILATURAHIM AIDILFITRI PPIM - PPIM - 11/05/2023

Kuala Lumpur, 11 Mei 2023 -  Majlis Silaturahim PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat.

Tuesday, May 9, 2023

AKTIVITI | MESYUARAT SESI LIBAT URUS BERHUBUNG PENUBUHAN OMBUDSMAN MALAYSIA - PPIM - 08/05/2023

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri mesyuarat sesi libat urus berhubung penubuhan Ombudsman Malaysia di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM, Putrajaya.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina Othman Said.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...