Showing posts with label SINAR HARIAN. Show all posts
Showing posts with label SINAR HARIAN. Show all posts

Tuesday, September 15, 2026

PENGEDAR GUNA 'LINGO' RAHSIA JUAL DADAH ONLINE - CAPRICE - SINAR HARIAN - 14/09/2026

KUALA LUMPUR - Penggunaan kod khas atau 'lingo' tertentu kini menjadi trend dalam usaha mengelabui pihak berkuasa bagi urusan penjualan dadah secara dalam talian di pelbagai platform media sosial.

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, pengedar dadah kini semakin bijak dengan kerap menukar istilah serta kod rahsia bagi mengelak dikesan atau disekat pihak pentadbir platform.

Menurutnya, pada peringkat awal, istilah tertentu seperti 'Pui Pui' digunakan sebagai kod bagi merujuk kepada sejenis 'dadah zombi', namun kod berkenaan sentiasa berubah mengikut peredaran masa sebaik sahaja ia mula dikesan.

"Dulu zaman kelab malam, pengguna tidak akan sebut nama dadah secara terbuka seperti ecstasy, sebaliknya menggunakan ayat atau istilah tertentu. Perkara sama berlaku sekarang dalam talian.

"Penjual dadah ini sangat bijak. Apabila sesuatu ayat atau kod disekat, mereka akan cipta ayat baharu.

"Oleh itu, pentadbir platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook perlu lebih peka dan bertanggungjawab menyekat kod-kod baharu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) & Caprice bertajuk 'Jual Dadah Online, Perlu Tunggu Aduan Baru Bertindak?' yang berlangsung di Sembang-Sembang Cafe, Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, di sini pada Isnin.

Hadir sama dalam wawancara khas itu ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Caprice berkata, antara cabaran utama dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja bawah umur ialah sikap sesetengah ibu bapa dan pihak sekolah yang enggan tampil membuat aduan kerana bimbang akan aib serta menjaga reputasi.

Jelasnya, keadaan itu mewujudkan satu kitaran negatif apabila ibu bapa malu untuk mengakui anak mereka terlibat dengan dadah, manakala pihak sekolah pula bimbang nama baik institusi terjejas.

"Kanak-kanak bawah 18 tahun adalah tanggungjawab penuh ibu bapa. Namun, sukar untuk meyakinkan keluarga mangsa tampil ke depan atau membawa anak mereka ke balai polis kerana isu ini dianggap 'taboo'.

"Mereka bimbang anak mereka akan dikenakan tindakan undang-undang atau dihantar ke pusat pemulihan.

"Kebanyakan aduan yang diterima oleh pihak kami bukanlah secara terus daripada ibu bapa, sebaliknya daripada rakan-rakan atau saudara-mara yang melihat mangsa menjadi 'zombi' di sekolah," katanya.

Mengulas penyelesaian utama, Caprice berpendapat, beban dan tanggungjawab tidak harus diletakkan sewenang-wenangnya ke atas bahu ibu bapa atau agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya penyekatan perlu dilakukan terus di peringkat saluran atau platform.

Agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bergerak sekiranya ada aduan," katanya.

Namun, menurutnya, dengan teknologi yang semakin canggih, platform media sosial itu sendiri yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

"Jika platform boleh mengesan dan menyekat kata kunci berkaitan hal-hal lain, mereka sepatutnya mempunyai keupayaan untuk mengesan pengedar dadah secara dalam talian.

"Sekiranya saluran utama disekat, pengguna akhir tidak akan dapat mengaksesnya," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menganggarkan menerima sekitar 30 hingga 40 aduan secara purata pada setiap bulan berkaitan pelbagai isu masyarakat, termasuk kes di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) dan lokasi tertentu.

Bagaimanapun, katanya, aduan berkenaan tidak berfokus khusus kepada penjualan dadah dalam talian sahaja.

Caprice dan PPIM menyeru masyarakat serta keluarga yang terkesan dengan isu dadah supaya bersatu dan menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan diambil terus terhadap platform terbabit sebagai langkah pencegahan.

Artikel oleh: Sinar Harian

PENGEDAR GUNA 'LINGO' RAHSIA JUAL DADAH ONLINE - CAPRICE

https://www.sinarharian.com.my/article/796285/berita/semasa/pengedar-guna-lingo-rahsia-jual-dadah-online---caprice

Wednesday, September 9, 2026

SCAMMER: PPIM SOKONG HUKUMAN SEBAT, PENJARA MAKSIMUM - SINAR HARIAN - 09/09/2026

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian diperketat, termasuk mengenakan hukuman sebat dan penjara maksimum terhadap scammer.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan@toqqi berkata, tindakan lebih tegas itu perlu bagi membendung kegiatan sindiket penipuan siber yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan rakyat mengalami kerugian kewangan dalam jumlah besar.

Menurutnya, undang-undang sedia ada perlu dikemas kini agar seiring dengan perkembangan modus operandi penjenayah siber yang semakin canggih.

“Sudah tiba masanya undang-undang negara dikemas kini kerana hukuman sedia ada dilihat terlalu ringan dan gagal memberi kesan pencegahan berkesan kepada dalang sindiket.

“Masyarakat tidak boleh terus berdiam diri apabila mangsa terus teraniaya, sedangkan penjenayah hidup selesa tanpa rasa takut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nadzim berkata, PPIM menyokong usaha PDRM membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke peringkat kementerian bagi membolehkan hukuman lebih berat digubal dan dilaksanakan segera.

Beliau turut menyokong cadangan supaya hukuman sebat dan penjara maksimum dikenakan terhadap sindiket scammer kerana jenayah berkenaan bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan mangsa.

“Jenayah kolar putih ini mendatangkan kerosakan teruk yang menyamai jenayah berat serta merosakkan kesejahteraan hidup rakyat secara kejam,” katanya.

Dalam pada itu, PPIM mencadangkan tindakan lebih agresif di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi membekukan serta merampas harta dan aset yang diperoleh melalui kegiatan haram.

Nadzim berkata, kerajaan juga perlu memperketat kawalan terhadap institusi kewangan dan platform digital bagi memutuskan rantaian operasi sindiket penipuan dalam talian.

“Semua pihak termasuk pihak berkuasa, penggubal undang-undang dan rakyat perlu bersatu hati mendesak hukuman maksimum dikenakan terhadap golongan yang merampas harta rakyat melalui penipuan siber.

“Langkah ini penting demi memelihara ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

SCAMMER: PPIM SOKONG HUKUMAN SEBAT, PENJARA MAKSIMUM

https://www.sinarharian.com.my/article/795514/berita/semasa/scammer-ppim-sokong-hukuman-sebat-penjara-maksimum

Thursday, September 3, 2026

TOLAK PESANAN TIDAK HALAL, JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM - PPIM - SINAR HARIAN - 24/08/2026

 

SHAH ALAM - Semua penyedia platform P-Hailing di Malaysia digesa memastikan penghantar beragama Islam tidak dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ia bukan sekadar persoalan penerimaan atau penolakan pesanan, sebaliknya melibatkan hak penghantar Muslim mencari rezeki tanpa perlu memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.

“Sekiranya pesanan tersebut jelas melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim sewajarnya diberikan ruang untuk menolak pesanan berkenaan tanpa penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan mereka jatuh.

“Penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, penolakan pesanan atas faktor agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.

Katanya, sekiranya penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh sehingga menjejaskan peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan bentuk penalti algoritma yang memberi implikasi ekonomi kepada penghantar.

“PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.

“Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan,” katanya.

Mengulas lanjut, PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama bagi membolehkan penghantar Muslim memilih untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal.

“Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.

“Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya, sekali gus memastikan hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan,” katanya.

Dalam pada itu, PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu berkenaan susulan perkembangan ekonomi digital yang turut melibatkan persoalan halal serta haram dalam rantaian perkhidmatan penghantaran.

“PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas serta praktikal.

“KESUMA juga perlu meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872],” katanya.

PPIM berkata, keputusan sistem dan algoritma berkaitan penugasan perkhidmatan juga boleh memberi kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan, justeru perkara itu perlu diteliti dalam konteks perlindungan pekerja gig.

Dalam pada itu, PPIM mencadangkan satu standard atau garis panduan nasional berkaitan penghantaran barangan tidak halal berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.

Menurutnya, garis panduan itu sekurang-kurangnya perlu memastikan penghantar Muslim mempunyai pilihan untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan arak dan khinzir tanpa menjejaskan kadar penerimaan, prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau peluang pendapatan.

“Platform juga perlu menyediakan mekanisme semakan atau rayuan yang telus sekiranya penghantar percaya mereka telah dikenakan tindakan secara tidak adil.

“Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna, sebaliknya membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif,” katanya.

PPIM turut menyeru penyedia platform mengambil tindakan proaktif, manakala JAKIM dan KESUMA perlu memimpin penyelesaian melalui garis panduan serta kerangka perlindungan yang jelas supaya teknologi serta algoritma tidak menyebabkan penghantar Muslim terpaksa mengorbankan pegangan agama dalam mencari rezeki.

Artikel oleh: Sinar Harian

TOLAK PESANAN TIDAK HALAL, JANGAN HUKUM PENGHANTAR MUSLIM - PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/793341/berita/nasional/tolak-pesanan-tidak-halal-jangan-hukum-penghantar-muslim---ppim

Monday, August 17, 2026

PPIM BANTAH CADANGAN IMPORT SEMULA BABI HIDUP MELALUI PELABUHAN KLANG - SINAR HARIAN - 15/08/2026

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah keras cadangan membawa masuk semula ternakan babi hidup melalui Pelabuhan Klang, Selangor kerana dikhuatiri menimbulkan risiko pencemaran alam sekitar dan menjejaskan integriti rantaian bekalan halal.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pengurusan dan pengendalian ternakan babi secara terbuka di kawasan pelabuhan bukan sahaja berisiko menyebabkan pencemaran, malah menyentuh sensitiviti umat Islam khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.

Beliau berkata, PPIM mengambil maklum bahawa aduan rasmi telah dikemukakan berulang kali kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan, namun tindakan konkrit masih diperlukan bagi menangani kebimbangan berkenaan.

"Proses pemindahan haiwan tersebut dilihat amat kotor, tidak sistematik dan tidak mengikut piawaian sanitasi yang ketat.

"Antara isu paling kritikal ialah tindakan melepaskan air kumbahan dan sisa buangan daripada aktiviti pemindahan haiwan tersebut secara terus ke dalam laut, sekali gus berisiko tinggi mencemaskan ekosistem perairan di sekitar pelabuhan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Nadzim berkata, intergiriti rantai bekalan halal tidak boleh dikompromi, sekali gus aspek kebersihan dan keterjaminan halal di Pelabuhan Klang perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan antara pintu masuk utama perdagangan negara yang mengendalikan pelbagai barangan serta produk makanan.

Lebih mengejutkan, beliau memaklumkan, hasil pemantauan mengesahkan kawasan laluan ataupun kemudahan yang digunakan untuk memindahkan ternakan babi tersebut tidak pernah disamak mengikut syariat Islam selepas proses pengendalian selesai.

"Situasi ini amat membimbangkan kerana produk makanan halal lain turut menggunakan laluan, fasiliti serta peralatan yang sama semasa proses pemuatan dan penurunan barangan," ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, keadaan itu secara tidak langsung boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti rantaian bekalan makanan halal yang melalui pelabuhan berkenaan.

Nadzim berkata, pihaknya menyokong bantahan Persatuan Pekerja Pelabuhan Klang dan penduduk sekitar terhadap usaha membawa masuk ternakan berkenaan melalui pelabuhan itu.

"Proses penyucian atau samak mengikut syariah juga perlu diwajibkan di mana-mana fasiliti yang terjejas bagi memelihara status halal rantaian bekalan awam.

"Hak dan kebajikan pekerja serta penduduk sekitar juga perlu dilindungi dengan memastikan aspek keharmonian, kebersihan awam dan sensitiviti agama terus terpelihara," katanya.

Beliau menegaskan integriti rantaian halal dan ke]'bersihan awam merupakan hak pengguna yang perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi demi kepentingan pihak tertentu.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas operasi pengimportan babi hidup dari Sarawak yang pernah dijalankan sebelum ini, yang mana ia didakwa menimbulkan masalah pencemaran bau, kebersihan dan ketidakselesaan kepada persekitaran.

Menurutnya, usaha menghidupkan semula aktiviti itu hanya akan mengembalikan kebimbangan sama, selain mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.

"PPIM turut mempersoalkan kewajaran membawa masuk haiwan hidup dari Sarawak sedangkan bekalan daging babi sejuk segar dari Thailand sudah dibenarkan masuk secara berterusan," menurutnya.

Dalam pada itu, kata beliau, PPIM mencadangkan sekiranya bekalan dari Sarawak masih diperlukan, pengimportan dibuat dalam bentuk daging yang telah diproses atau sejuk beku dan bukannya haiwan hidup.

Nadzim menambah, kaedah berkenaan lebih mudah dikawal dari aspek kebersihan dan pengendalian, selain dapat mengurangkan risiko pencemaran serta penyakit.

"PPIM turut mendesak Kerajaan Negeri Selangor meneliti semula kewajaran operasi rumah sembelih babi di Rawang, selaras dengan langkah penutupan ladang babi di seluruh Selangor yang dijadualkan selesai menjelang Julai 2026," tegasnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM BANTAH CADANGAN IMPORT SEMULA BABI HIDUP MELALUI PELABUHAN KLANG

https://www.sinarharian.com.my/article/792159/berita/nasional/ppim-bantah-cadangan-import-semula-babi-hidup-melalui-pelabuhan-klang

Tuesday, August 11, 2026

FAHAMI AFA SUPAYA LEBIH BERSEDIA URUS BIL ELEKTRIK - SINAR HARIAN - 10/08/2026

 

PUTRAJAYA – Perubahan pada bil elektrik mudah mencetuskan kebimbangan pengguna, lebih-lebih lagi apabila peningkatan jumlah yang perlu dibayar terus dikaitkan dengan tanggapan bahawa tarif elektrik telah dinaikkan.

Kekeliruan yang timbul dalam perbincangan awam termasuk di media sosial menunjukkan masih terdapat pengguna yang belum memahami sepenuhnya fungsi Automatic Fuel Adjustment (AFA), termasuk perbezaannya dengan tarif asas serta bagaimana mekanisme itu boleh mempengaruhi jumlah bil elektrik bulanan.

Hakikatnya, bil elektrik bukan sekadar ditentukan oleh jumlah tenaga yang digunakan, sebaliknya turut berkait dengan kos sebenar untuk menjana dan membekalkan elektrik dalam persekitaran pasaran tenaga yang sentiasa berubah.

Sebahagian daripada kos penjanaan itu pula dipengaruhi faktor di luar kawalan pengguna termasuk perubahan harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing, selain perkembangan geopolitik, gangguan bekalan serta perubahan permintaan tenaga global.

Dalam keadaan itu, AFA yang dilaksanakan mulai Julai 2025 bagi menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) berperanan melaraskan komponen kos penjanaan bagi mencerminkan perubahan kos sebenar berbanding unjuran.

Mekanisme itu juga tidak semestinya membawa kepada caj tambahan kerana pelarasan boleh menghasilkan rebat apabila kos berkaitan penjanaan lebih rendah atau surcaj apabila kos meningkat, bergantung kepada keadaan semasa.

Justeru, AFA tidak seharusnya difahami secara mudah sebagai satu lagi kenaikan tarif elektrik, sebaliknya kefahaman mengenai fungsi mekanisme itu penting supaya pengguna dapat membezakan antara tarif asas, penggunaan sebenar dan pelarasan kos penjanaan.

Sebagai syarikat utiliti yang berhubung secara terus dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) harus lebih bertanggungjawab, telus dalam memberikan khidmat mereka kepada rakyat.

Namun, masih terdapat persepsi dan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai struktur bil, perubahan kadar serta ketelusan maklumat berkaitan kos penjanaan elektrik.

Kerajaan pula terus memainkan peranan melalui dasar, kawal selia dan langkah perlindungan bersasar bagi memastikan keseimbangan antara kemampanan industri tenaga dengan kepentingan pengguna.

Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, kekeliruan mengenai AFA perlu diperbetulkan supaya pengguna tidak terus menganggap setiap perubahan pada bil elektrik sebagai kenaikan tarif.

Menurutnya, perkara paling asas yang perlu difahami ialah AFA bukan tarif elektrik baharu, sebaliknya mekanisme yang mencerminkan perubahan sebenar kos penjanaan elektrik dan boleh menghasilkan rebat atau surcaj bergantung kepada keadaan pasaran tenaga semasa.

“Dengan mengetahui kadar AFA lebih awal, pengguna mempunyai masa untuk merancang penggunaan elektrik dan bajet bulanan.

“Sebagai pengguna, kita juga dituntut mendapatkan maklumat yang sahih sebelum membuat kesimpulan kerana Islam mengajar kita supaya melakukan tabayyun,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan, kos penjanaan elektrik tidak dapat dipisahkan daripada turun naik harga tenaga dunia yang dipengaruhi pelbagai faktor termasuk konflik geopolitik, permintaan tenaga dan gangguan bekalan bahan api.

Malah katanya, Malaysia turut menggunakan sumber bahan api yang dipengaruhi pasaran global, menyebabkan perubahan harga dan keadaan pasaran antarabangsa turut memberi kesan kepada kos penjanaan elektrik negara.

"Seperti komoditi tenaga lain, kos bahan api bagi penjanaan elektrik turut dipengaruhi keadaan pasaran dan rantaian bekalan global.”

“Apabila harga gas asli atau arang batu meningkat di pasaran dunia, kos menjana elektrik turut meningkat, manakala nilai tukaran ringgit berbanding mata wang asing turut mempengaruhi kos pembelian bahan api,” jelasnya.

Beliau berkata, pengguna perlu melihat perkara itu secara menyeluruh kerana perubahan kos berkenaan merupakan sebahagian daripada realiti pasaran tenaga global.

Dalam konteks itu, Nadzim berharap pengguna tidak lagi keliru antara rebat, surcaj dan AFA kerana setiap satunya perlu difahami dalam konteks bagaimana perubahan kos penjanaan diterjemahkan kepada bil pengguna.

“Apabila kos bahan api menurun, pengguna boleh menikmati rebat, manakala surcaj mungkin dikenakan apabila kos meningkat.

“Penjelasan yang jelas dan berasaskan fakta penting supaya pengguna dapat memahami kesan AFA terhadap bil masing-masing,” ujarnya.

Menurut Nadzim, kekeliruan mudah berlaku apabila pengguna hanya melihat perubahan pada jumlah akhir bil tanpa memahami komponen yang mempengaruhinya.

Keadaan itu boleh menyebabkan pengurangan rebat atau perubahan kadar AFA dianggap sebagai kenaikan tarif, sedangkan jumlah bil elektrik turut dipengaruhi oleh corak dan jumlah penggunaan tenaga.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kefahaman mengenai struktur bil perlu dipertingkatkan supaya pengguna dapat membuat perbandingan berdasarkan penggunaan sebenar dan komponen caj yang dikenakan, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah akhir bil.

Nadzim menjelaskan bahawa AFA merupakan mekanisme pelarasan kos penjanaan elektrik. Namun, kesannya kepada pengguna boleh dikurangkan melalui langkah perlindungan kerajaan, termasuk penyerapan sebahagian kos melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), supaya keseluruhan peningkatan kos tidak dipindahkan kepada pengguna.

“Kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza tetapi saling melengkapi. Yang penting ialah pengguna memahami bagaimana bil elektrik dikira supaya mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan tekanan yang ditanggung pengguna, termasuk melindungi pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan daripada kesan pelarasan AFA. Pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 1,000 kWj sebulan pula masih berpeluang menikmati Insentif Cekap Tenaga, sekali gus menggalakkan penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

“Langkah perlindungan ini memberi ruang kepada rakyat menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global dengan lebih tenang.

“Pada masa sama, ketelusan maklumat perlu terus diperkukuhkan supaya pengguna memahami rasional setiap pelaksanaan,” katanya.

Bagi PPIM, pengguna juga mempunyai peranan penting dalam mengawal bil elektrik melalui amalan penggunaan tenaga secara cekap dan membuat perancangan berdasarkan corak penggunaan masing-masing.

Justeru, orang ramai disaran memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi atau portal myTNB, menggunakan fungsi Energy Budget, memanfaatkan skim Time-of-Use (ToU) mengikut kesesuaian, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta mempertimbangkan penggunaan tenaga solar.

Langkah itu bukan sahaja dapat membantu pengguna memahami corak penggunaan elektrik, malah membolehkan mereka mengambil tindakan lebih awal sekiranya penggunaan menghampiri atau melebihi bajet yang ditetapkan.

“Islam mengajar kita mengamalkan wasatiyyah atau bersederhana dan mengelakkan israf. Berjimat tenaga ialah sebahagian daripada amanah mengurus nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT.

“Hak pengguna ialah mendapat maklumat yang jelas, manakala tanggungjawab pengguna pula ialah menggunakannya dengan bijaksana,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

FAHAMI AFA SUPAYA LEBIH BERSEDIA URUS BIL ELEKTRIK

https://www.sinarharian.com.my/article/791103/berita/nasional/fahami-afa-supaya-lebih-bersedia-urus-bil-elektrik

Monday, June 15, 2026

DATUK KERAMAT WAJAR DIBERI STATUS TANAH PEGANGAN KEKAL SEPERTI CHERAS - PPIM - SINAR HARIAN - 12/06/2026

 

KUALA LUMPUR – Pemilik tanah di Datuk Keramat wajar diberikan pertimbangan untuk menukar status tanah pajakan kepada pegangan kekal, sebagaimana dinikmati sebahagian besar kawasan di Cheras.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam kenyataannya berkata, tiada alasan munasabah untuk menafikan pertimbangan sama kepada penduduk di kawasan penempatan tradisi Melayu itu sekiranya kawasan lain telah menikmati status pegangan kekal.

Menurut kenyataan itu, Datuk Keramat mempunyai nilai sejarah, warisan dan identiti yang amat signifikan kepada masyarakat Melayu bandar, selain menjadi antara penempatan tradisi utama Melayu di ibu negara bersama Kampung Baru dan Kampung Pandan.

"Isu ini perlu diberi perhatian serius dan ditangani segera oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PPIM turut menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menegaskan hasrat penduduk Datuk Keramat supaya status tanah di kawasan itu ditukar kepada pegangan kekal.

Sehubungan itu, persatuan itu juga berharap Johari dapat menerajui penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan merancang usaha penukaran status tanah berkenaan secara menyeluruh.

Menurut PPIM, langkah itu perlu dilaksanakan secara telus dan mengambil kira kepentingan jangka panjang penduduk setempat.

"Penyelesaian yang adil serta mampan bukan sahaja mampu melindungi hak pemilik tanah, malah memelihara warisan masyarakat Melayu bandar untuk generasi akan datang," tambah kenyataan.

Artikel oleh: Sinar Harian

DATUK KERAMAT WAJAR DIBERI STATUS TANAH PEGANGAN KEKAL SEPERTI CHERAS

https://www.sinarharian.com.my/article/783561/edisi/selangor-kl/datuk-keramat-wajar-diberi-status-tanah-pegangan-kekal-seperti-cheras---ppim

Friday, June 5, 2026

PPIM GESA PLATFORM MEDIA SOSIAL PATUH KOD BAHARU - SINAR HARIAN - 02/06/2026

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform media sosial mematuhi sepenuhnya pelaksanaan syarat pengesahan umur 16 tahun ke atas bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa pada Isnin.

PPIM dalam kenyataannya menyambut baik pelaksanaan syarat berkenaan sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.

"Pendekatan mewajibkan pengesahan identiti dan mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

"Dalam konteks semasa, di mana kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda," katanya pada Selasa.

Terdahulu, menerusi peraturan baharu itu, individu berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka sebarang akaun media sosial manakala mereka yang ingin mendaftar diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan itu tidak terhad kepada pendaftaran baharu, malah pemilik akaun sedia ada juga wajib melakukan pengesahan identiti bagi memastikan mereka kekal layak mengakses platform itu mengikut kriteria ditetapkan.

Dalam pada itu, PPIM melihat pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sebagai satu perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.

Justeru PPIM menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

"PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi.

"Kami akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

"Perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak. Sehubungan itu, PPIM berharap pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA PLATFORM MEDIA SOSIAL PATUH KOD BAHARU

https://www.sinarharian.com.my/article/782209/berita/nasional/ppim-gesa-platform-media-sosial-patuh-kod-baharu

Thursday, May 21, 2026

TREND MENINGKAT PENIPUAN DIGITAL, KEBOCORAN DATA CECAH RM2.77 BILION - SINAR HARIAN - 19/05/2026

 

KUALA LUMPUR – Kerugian melibatkan penipuan digital dan kebocoran data di negara ini merekodkan peningkatan membimbangkan apabila mencecah RM2.77 bilion tahun lalu berbanding RM1.57 bilion pada 2024.

Statistik itu turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM1.28 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus menggambarkan ancaman jenayah siber semakin serius dan berskala nasional.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, trend peningkatan berkenaan mencerminkan taktik sindiket penipuan yang semakin canggih selain mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem telekomunikasi sedia ada.

Menurutnya, mangsa penipuan digital kini melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Terdapat kes membabitkan kerugian individu mencecah ratusan ribu ringgit.

"Kesan penipuan ini bukan sekadar kehilangan wang ringgit semata-mata, tetapi turut memberi tekanan emosi yang berat serta menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Nadzim (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pada Selasa menyarankan semua pihak berkepentingan perlu mengubah strategi dalam mendepani jenayah siber secara lebih agresif.

Beliau berkata, berdasarkan analisis aduan diterima daripada pengguna, PPIM mendapati kebocoran data peribadi seperti nombor telefon dan maklumat akaun kewangan antara isu utama yang dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk penyamaran identiti, penggunaan akaun pihak ketiga atau keldai akaun serta taktik dikenali sebagai floating money scam.

"PPIM turut mengesan beberapa kelonggaran dalam sistem telekomunikasi negara yang perlu ditangani segera.

"Antaranya isu pendaftaran talian tanpa kebenaran, caj tersembunyi yang tidak telus, gangguan perkhidmatan serta mekanisme langganan yang mengelirukan pengguna," katanya.

Menurutnya, semua pihak berkepentingan perlu mengubah strategi dalam mendepani jenayah siber secara lebih agresif.

"Pendekatan pencegahan awal perlu diberi keutamaan berbanding tindakan selepas pengguna mengalami kerugian.

"Kita mahu aktiviti scam dihentikan sebelum ia sempat sampai kepada pengguna, bukannya bertindak selepas kerugian berlaku," katanya.

Jelasnya, bagi mencapai hasrat itu, penggunaan teknologi seperti pengesanan corak dan sekatan masa nyata perlu dimanfaatkan secara lebih meluas dalam sistem rangkaian negara.

Artikel oleh: Sinar Harian

TREND MENINGKAT PENIPUAN DIGITAL, KEBOCORAN DATA CECAH RM2.77 BILION

https://www.sinarharian.com.my/article/780562/berita/semasa/trend-meningkat-penipuan-digital-kebocoran-data-cecah-rm277-bilion

Wednesday, April 1, 2026

11 NGO DESAK MORATORIUM AKTA PEKERJA GIG 2025 - SINAR HARIAN - 30/03/2026

 

SUBANG JAYA - Gabungan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan melaksanakan moratorium segera terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang dijadual dikuatkuasakan esok, bagi memberi ruang kepada kajian menyeluruh dilakukan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, gesaan itu dibuat bersama beberapa organisasi lain bagi memastikan pelaksanaan akta berkenaan benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan.

Beliau berkata, gabungan itu mengambil maklum usaha kerajaan memperkenalkan rangka perundangan khusus bagi sektor ekonomi gig sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial serta tadbir urus industri yang semakin berkembang.

“Namun, berdasarkan penelitian awal serta maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh di lapangan, masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penelitian dan penambahbaikan sebelum pelaksanaan menyeluruh dapat dilaksanakan secara efektif,” katanya semasa sidang media Tuntutan Moratorium Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC di sini pada Isnin.

Kamarul Baharin (kanan) pada sidang media, Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Antara yang hadir, Pemangku Presiden, Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia, Datuk Mohammed Dauzkaply Nor l Ghazali dan Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Gabungan itu terdiri daripada 11 organisasi mewakili pelbagai segmen dalam ekosistem ekonomi gig termasuk MTUC, PPIM dan Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM).

Gabungan turut dianggotai pertubuhan mewakili pekerja e-haili     ng dan p-hailing seperti Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead Malaysia), Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH) dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG Melaka).

Manakala wakil dari sektor digital dan komuniti penghantar tempatan termasuk Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) dan Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP) turut menyertai gabungan itu.

Kamarul Baharin berkata, antara isu kritikal dikenal pasti adalah takrifan pekerja gig di bawah Seksyen 2 yang disifatkan terlalu umum dan berpotensi menyebabkan lambakan tenaga kerja serta menekan pendapatan pekerja tempatan.

Ujarnya, peruntukan itu juga dilihat bertindih dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan akaun sekiranya mekanisme penguatkuasaan tidak diperjelaskan.

"Selain itu, penubuhan Tribunal Pekerja Gig di bawah Seksyen 22 hingga 30 disifatkan belum matang dari segi bidang kuasa, struktur dan prosedur pelaksanaan, selain berpotensi bertindih dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada.

“Tiada kepastian sama ada tribunal ini akan diwujudkan di seluruh negara atau hanya di Putrajaya, sekali gus boleh meningkatkan kos kepada pengadu,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Majlis Perundingan Gig pula dilihat hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa keputusan yang mengikat, selain menimbulkan persoalan ketelusan dalam pelantikan ahli serta ketiadaan jaminan keterwakilan sebenar pekerja gig.

Katanya, prosedur penyahaktifan akaun di bawah Seksyen 14 juga berpotensi melambatkan tindakan terhadap kes serius dan menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap keselamatan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

“Peruntukan hak berpersatuan di bawah Seksyen 10 turut dilihat mewujudkan pertindihan saluran representasi tanpa kuasa rundingan kolektif yang mengikat, berbeza dengan kesatuan sekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya.

Kamarul Baharin berkata, MTUC juga akan membawa isu itu ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) susulan dakwaan pelanggaran hak pekerja termasuk kebebasan berpersatuan dan rundingan kolektif.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemformalan sektor gig melalui akta berkenaan berpotensi mendedahkan pekerja kepada kewajipan cukai tanpa jaminan perlindungan pendapatan atau sokongan kewangan setara.

Ujarnya, proses libat urus juga dipersoalkan kerana dilihat tidak menyeluruh dan tidak telus, selain membangkitkan isu integriti apabila melibatkan entiti yang hanya didaftarkan secara rasmi pada 2 Mac 2026.

“Perkara ini menimbulkan persoalan bagaimana dasar melibatkan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig boleh dirangka dengan penglibatan entiti yang belum mempunyai status perundangan jelas ketika itu,” ujarnya.

Selain itu, gabungan berkenaan turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan premium insurans komersial dalam sektor e-hailing yang disifatkan memberi tekanan langsung kepada pendapatan pekerja serta berpotensi meningkatkan kos kepada pengguna.

Sehubungan itu, gabungan berkenaan mengemukakan beberapa tuntutan termasuk melaksanakan moratorium terhadap Akta 872, menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme 'sandbox', menjalankan penilaian impak menyeluruh serta memastikan sebarang pindaan mengambil kira prinsip keadilan dan keseimbangan pasaran.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Madani dan semua pemegang taruh dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama,” tambahnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

11 NGO DESAK MORATORIUM AKTA PEKERJA GIG 2025

https://www.sinarharian.com.my/article/773468/berita/nasional/11-ngo-desak-moratorium-akta-pekerja-gig-2025

Tuesday, March 24, 2026

PPIM DESAK KERAJAAN TUTUP KELOMPONGAN INDUSTRI E-HAILING - SINAR HARIAN - 19/03/2026


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan kritikal dalam ekosistem e-hailing dan p-hailing negara yang disifatkan boleh mengundang ancaman keselamatan kepada pengguna.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri melihat kelemahan sistem dan penguatkuasaan yang didakwa menjejaskan hak serta keselamatan rakyat.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap desakan Persatuan Kebajikan Pekerja E-Hailing Malaysia (PKEH) berhubung isu keselamatan dalam industri berkenaan.

“Isu keselamatan penumpang melibatkan maruah dan nyawa, bukan perkara yang boleh dirunding dalam proses birokrasi yang berpanjangan.

“Ketiadaan pangkalan data berpusat telah mewujudkan ruang yang membolehkan individu bermasalah terus beroperasi di platform lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, situasi itu menimbulkan persoalan apabila pemandu yang digantung atau dibuang kerana kesalahan serius seperti gangguan seksual masih boleh berdaftar dengan platform lain.

Katanya, keadaan itu bukan sekadar kelemahan teknikal, sebaliknya menunjukkan kegagalan sistem yang memerlukan tindakan segera.

Dalam pada itu, PPIM turut mengkritik cadangan prosedur di bawah Akta Pekerja Gig 2025 yang memberikan tempoh rayuan sehingga 14 hari bagi kes jenayah.

“Tempoh tersebut tidak wajar bagi kes melibatkan keselamatan kerana ia boleh mendedahkan pengguna kepada risiko berulang,” katanya.

Sehubungan itu, PPIM mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan bagi memperkukuh keselamatan industri berkenaan, termasuk mewujudkan pangkalan data senarai hitam berpusat yang berfungsi secara masa nyata bagi menyekat pemandu bermasalah daripada beroperasi di semua platform.

Selain itu, PPIM mencadangkan agar tindakan yang telah diambil oleh platform terhadap pemandu yang terbukti melakukan kesalahan serius diiktiraf dan disusuli tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Persatuan itu juga menuntut supaya tempoh rayuan selama 14 hari dimansuhkan bagi kes jenayah berat, termasuk gangguan seksual dan pemanduan berbahaya.

PPIM turut menggesa kerajaan agar mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu berkenaan dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu kes menjadi tular.

“Rakyat memerlukan sistem yang benar-benar menjamin keselamatan dan tidak memberi ruang kepada penjenayah untuk terus beroperasi dalam industri e-hailing,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM DESAK KERAJAAN TUTUP KELOMPONGAN INDUSTRI E-HAILING

https://www.sinarharian.com.my/article/772432/berita/nasional/ppim-desak-kerajaan-tutup-kelompongan-industri-e-hailing

Monday, March 2, 2026

PPIM NASIHAT AGAR TIDAK TERPEDAYA, GEM BUKAN DIBAWAH NAUNGANNYA - SINAR HARIAN - 28/02/2026

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihati mana-mana pihak agar tidak terperdaya sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Gabungan Ehailing Malaysia (GEM) berada di bawah naungan atau payung persatuan tersebut.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, semakan terkini mendapati status pendaftaran GEM masih kekal sebagaimana tahun lalu, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar.

Menurutnya, diingatkan bahawa mengikut Akta Pertubuhan 1966, menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah.

"Pihak GEM bukan merupakan gabungan di bawah naungan PPIM dan tidak pernah mewakili persatuan itu dalam mana-mana urusan atau aktiviti.

"Kami mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa GEM mempunyai kaitan dengan pihak kami.

"Bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berterusan,ingin ditegaskan PPIM tiada sebarang kaitan mahupun hubungan rasmi dengan GEM," katanya dalam satu kenyataan

Tambah kenyataan itu, penjelasan tersebut penting bagi memastikan ketelusan identiti setiap organisasi.

"PPIM sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan nasib komuniti, namun penjelasan ini perlu dibuat demi menjaga kepentingan dan kejelasan peranan masing-masing agar tidak timbul implikasi di masa hadapan.

"Diharapkan penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan bagi semua pihak yang terlibat," ulasnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM NASIHAT AGAR TIDAK TERPEDAYA, GEM BUKAN DIBAWAH NAUNGANNYA

https://www.sinarharian.com.my/article/769801/berita/nasional/ppim-nasihat-agar-tidak-terpedaya-gem-bukan-dibawah-naungannya#google_vignette

Monday, January 26, 2026

KERAJAAN DIGESA TANGANI SEGERA ISU PEMANDU E-HAILING - SINAR HARIAN - 23/01/2026

 

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera mengemukakan penyelesaian konkrit terhadap isu kritikal melibatkan pemandu e-hailing, khususnya kenaikan premium insurans, sistem tambang tidak adil serta aspek keselamatan dan perlindungan undang-undang pemandu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, sehingga kini tiada keputusan jelas diumumkan meskipun pemandu e-hailing sering digambarkan sebagai tulang belakang industri pengangkutan awam negara.

Antara tuntutan paling mendesak adalah kenaikan mendadak premium insurans e-hailing yang didakwa mencecah 150 peratus, sekali gus meningkatkan kos operasi dan menjejaskan kelangsungan pendapatan pemandu.

"Pemandu terpaksa mengeluarkan premium insurans berganda iaitu insurans kenderaan serta insurans e-hailing yang boleh mencecah lebih RM2,000.

"Oleh itu Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) digesa mendedahkan data dan statistik tuntutan yang telah diaudit secara bebas bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan dibuat secara telus, adil dan berasaskan fakta sahih," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu PPIM turut menuntut penjelasan mengenai penghapusan sistem tambang secara bidding serta penetapan tambang lantai perkhidmatan e-hailing yang didakwa mencetuskan perang harga dan menekan pendapatan pemandu.

Sebelum ini menurutnya, Menteri Pengangkutan pada 11 Mei 2024 telah menegaskan tiada kebenaran pelaksanaan sistem tambang berkenaan, namun sehingga kini masih beroperasi.

"Timbul persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan, kejelasan dasar serta kebertanggungjawaban agensi pelaksana terhadap arahan kementerian.

"Kegagalan menyelaraskan dasar dan pelaksanaan ini telah menjadikan pemandu e-hailing mangsa kepada sistem yang tidak adil, tidak terkawal dan berat sebelah," menurutntya.

Selain itu PPIM turut menuntut pelaksanaan wajib sistem pengesahan identiti digital (e-KYC) kepada pengguna e-hailing bagi menjamin keselamatan, kebajikan dan perlindungan undang-undang pemandu.

PPIM menegaskan, sistem berkenaan penting bagi mengurangkan risiko jenayah, penipuan, ugutan serta gangguan terhadap pemandu selain memastikan identiti pengguna dapat dikenal pasti dengan jelas.

Artikel oleh: Sinar Harian

KERAJAAN DIGESA TANGANI SEGERA ISU PEMANDU E-HAILING

https://www.sinarharian.com.my/article/765212/berita/semasa/kerajaan-digesa-tangani-segera-isu-pemandu-e-hailing

Wednesday, December 31, 2025

PPIM GESA HAPUS SISTEM TAWAR-MENAWAR, TETAPKAN TAMBANG LANTAI E-HAILING - SINAR HARIAN - 31/12/2025


SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar (bidding) serta menetapkan kadar tambang lantai e-hailing demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengakui sistem tambang bidding memberikan kelebihan tertentu kepada pengguna namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.

Menurutnya, ini kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini sebagai sumber rezeki.

"Amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang daripada menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan walaupun Menteri Pengangkutan sendiri menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang 'bidding' beroperasi di Malaysia.

"Justeru, MOT dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor e-hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, APAD dalam kenyataan memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan konsep permintaan dan penawaran.

Katanya, perkhidmatan e-hailing adalah satu perkhidmatan gig ekonomi yang bersifat pasaran terbuka dan operasi syarikat adalah berbeza-beza.

Tambah PPIM, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal.

Jelasnya, ia berlaku sejak pelaksanaan sistem tambang 'bidding' di Malaysia, sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

"PPIM menegaskan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa.

"Selain itu, sehingga ke hari ini, kerajaan dilihat masih gagal menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing serta kegagalan menangani isu kuota Budi Madani Ron95 (BUDI95) secara menyeluruh dan berkesan," jelasnya.

Sehubungan itu, PPIM menggesa MOT dan APAD agar segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan bagi memastikan kebajikan pemandu ehailing terus terbela serta industri gig sektor e-hailing kekal relevan, mampan dan adil di Malaysia.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA HAPUS SISTEM TAWAR-MENAWAR, TETAPKAN TAMBANG LANTAI E-HAILING

https://www.sinarharian.com.my/article/762342/berita/nasional/ppim-gesa-hapus-sistem-tawar-menawar-tetapkan-tambang-lantai-e-hailing

Wednesday, December 17, 2025

BOIKOT PUSAT BELI-BELAH BENARKAN BAWA MASUK HAIWAN PELIHARAAN - SINAR HARIAN - 17/12/2025

 

SHAH ALAM - Umat Islam digesa supaya memboikot sebuah pusat beli-belah yang membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis kerana tindakan tersebut jelas tidak menghormati kaum majoriti di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, gerakan itu penting bagi memberi pengajaran kepada pengurusan premis terbabit atau mana-mana pihak yang bercadang untuk melakukan tindakan serupa.

"Kita sebagai umat Islam perlu ada harga diri dan tindakan boikot merupakan langkah terbaik sebagai protes terhadap pihak yang tidak menghormati orang Islam.

"Saya yakin kalau semua umat Islam boikot, peniaga yang berniaga di pusat beli-belah itu akan terjejas.

"Ini kerana umat Islam dan Melayu merupakan kuasa beli besar di negara ini. Kalau orang tidak hormat kepada kita, ini cara terbaik untuk membalas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Sunway Square Mall mencetuskan fenomena baharu apabila menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia secara rasmi membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis.

Perkara itu tular selepas beberapa gambar memaparkan seekor anjing dibawa menggunakan troli khas di dalam pusat beli-belah berkenaan, termasuk di hadapan sebuah panggung wayang menarik perhatian masyarakat.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, PPIM juga bersedia jika ada mana-mana pihak ingin menganjurkan kempen atau gerakan untuk memboikot pusat beli-belah tersebut.

Beliau berkata, rakyat khususnya umat IsIam, masih mempunyai banyak pilihan sekiranya kempen boikot terhadap premis berkenaan dijalankan secara besar-besaran.

"Besar harapan kita supaya umat Islam bersatu untuk menolak sebarang tindakan yang tidak menghormati kaum dan agama terbesar di Malaysia ini.

"Usaha ini langkah terbaik memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak harmoni," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

BOIKOT PUSAT BELI-BELAH BENARKAN BAWA MASUK HAIWAN PELIHARAAN

https://www.sinarharian.com.my/article/760806/berita/nasional/boikot-pusat-beli-belah-benarkan-bawa-masuk-haiwan-peliharaan

Monday, November 17, 2025

WAJAR DIKENAKAN DENDA JIKA ENGGAN BAYAR PAMPASAN - SINAR HARIAN - 15/11/2025

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersetuju dengan cadangan supaya syarikat telekomunikasi (telco) membayar ganti rugi atau pampasan kepada pengguna menjadi mangsa penipuan melalui telefon.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, soal keselamatan sememangnya tanggungjawab telco, selain memastikan nasib pengguna terkesan mendapat pembelaan.

"Jika berlaku kes scam disebabkan kelemahan daripada telco, syarikat perlu bayarlah pampasan kepada pengguna.

"Lagipun ia memang tanggungjawab telco menjaga pengguna. Sekiranya mereka enggan membayar pampasan, kerajaan perlu kena-kan denda atau sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Nadzim tidak bersetuju apabila telco mengenakan caj RM10 sebulan kepada pengguna untuk perkhidmatan perlindungan scam.

Beliau berkata, sebarang caj tambahan perIu diterangkan sepenuhnya kepada pengguna terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Malah, beliau berkata, pengguna juga perlu diberikan pilihan sama ada bersetuju atau tidak sebelum caj dimasukkan ke dalam bil.

"Semua perkara perlu jelas termasuklah caj perlindungan scam terbabit, sama ada mereka bersetuju ataupun untuk membayar caj tersebut.

Jika ada pengguna tidak setuju, maka syarikat telco tidak boleh sesuka hati mengenakan caj tersebut," katanya.

Jelas beliau, konsep itu sama seperti insurans yang memerlukan persetujuan pengguna secara jelas dan bertulis.

"Perkara ini perlu ada hitam putih atau perjanjian supaya peng-guna faham tentang perkara itu," katanya.

Beliau turut mengingatkan telco supaya menyatakan dengan tepat pihak mana yang akan menguruskan ganti rugi, jumlah yang dilindungi dan cara ia diproses.

Nadzim sehubungan itu meminta mana-mana pengguna yang telah dicaj tanpa pengetahuan supaya datang ke pejabat PPIM untuk membuat aduan supaya tindakan susulan boleh dibuat. 

Artikel oleh: Sinar Harian

WAJAR DIKENAKAN DENDA JIKA ENGGAN BAYAR PAMPASAN

https://www.sinarharian.com.my/article/756724/berita/nasional/wajar-dikenakan-denda-jika-enggan-bayar-pampasan

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL