Kuala Lumpur: Pengguna Islam digesa mengambil tanggungjawab sendiri dalam memastikan ayam yang dibeli disembelih mengikut syariat Islam, dan bukannya menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada pusat penyembelihan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana ia adalah kewajipan sebagai orang Islam bagi memastikan keterjaminan status halal ayam yang dibeli untuk dimakan.
"Pensijilan halal tidak semestinya diwajibkan kepada semua pusat penyembelihan ayam kerana terdapat pengusaha membekalkan ayam khusus kepada pengguna bukan Islam yang mungkin tidak memerlukan pensijilan berkenaan.
"Sebab itu pengguna Islam perlu cakna, mencari dan membeli ayam dari pusat penyembelihan ayam yang diyakini mengikut syariat Islam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, aspek kebersihan dan 'tayyib' juga perlu diberi perhatian kerana penyembelihan yang memenuhi syarat asas halal tidak semestinya menjamin ayam berkenaan bersih, selamat serta berkualiti untuk dimakan.
Mengulas penggunaan kaedah renjatan elektrik terhadap ayam sebelum disembelih, Nadzim berkata, beliau difahamkan kaedah berkenaan dibenarkan dalam keadaan tertentu dengan syarat kekuatan arus elektrik dikawal supaya tidak menyebabkan haiwan itu mati sebelum disembelih.
Menurutnya, penggunaan kejutan elektrik bertujuan menyebabkan ayam pengsan dan mengurangkan pergerakannya ketika proses sembelihan dilakukan.
"Setahu saya, memang ada kaedah yang dibenarkan (renjatan elektrik) kerana tidak mahu ayam bergerak ketika hendak disembelih, tetapi kekuatan elektrik itu perlu dikawal dan tidak boleh terlalu kuat," katanya.
Terdahulu, media melaporkan ayam segar yang diproses oleh pusat penyembelihan dan pemprosesan di Puchong yang diserbu pihak berkuasa, direnjat elektrik sebelum disembelih.
Dalam serbuan itu, lebih 6.5 tan ayam mentah berkenaan dirampas kerana disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal.
Premis itu didapati menggunakan kaedah renjatan rendaman air berarus elektrik (water bath stunning).
Turut ditahan dalam Ops Taring Chiller itu adalah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Artikel oleh: Harian Metro
PENGGUNA ISLAM PERLU SEMAK STATUS SEMBELIHAN AYAM, JANGAN HARAP PUSAT SEMBELIH SEMATA-MATA - PPIM

.jpeg)


.jpeg)
.jpeg)

