Showing posts with label HARIAN METRO. Show all posts
Showing posts with label HARIAN METRO. Show all posts

Thursday, March 19, 2026

PPIM SELAR TAKTIK 'SEMBELIH' PELANGGAN GUNA TALIAN PERCUMA - HARIAN METRO - 18/03/2026

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan helah syarikat telekomunikasi yang didakwa mengenakan caj tersembunyi kononnya pakej 'percuma' namun akhirnya menjerat pengguna dengan bil tertunggak mencecah ribuan ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata isu itu bukan lagi perkara kecil sebaliknya satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan puluhan juta ringgit di atas penderitaan rakyat.

Menurutnya, antara taktik digunakan adalah menawarkan talian telefon 'percuma' kononnya sebagai penghargaan kepada pelanggan setia.

"Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telekomunikasi untung berpuluh juta! Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda.

"Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak 'sembelih' pelanggan secara diam-diam.

"Ini satu penganiayaan. Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai mangsa disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua dia kena bayar 'hutang hantu' ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PPIM menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang ditawarkan talian telefon 'percuma' dan dimaklumkan tiada caj dikenakan jika tidak berminat.

Namun katanya, selepas setahun, mangsa terkejut apabila namanya disenarai hitam selain dikenakan caj RM100 setiap bulan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.

"Kita tak boleh biarkan mereka ini terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kes itu berjaya diselesaikan selepas dibawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Jangan sesuka hati menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus," katanya.

Katanya, PPIM menuntut tindakan tegas kerajaan termasuk mengenakan denda mandatori tinggi terhadap telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi, selain audit menyeluruh terhadap sistem bil.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya amalan senarai hitam automatik dihentikan selagi pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.

"PPIM turut memberi amaran kepada syarikat telekomunikasi terbabit supaya menghentikan taktik berkenaan sebelum tindakan lebih drastik diambil," katanya

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM SELAR TAKTIK 'SEMBELIH' PELANGGAN GUNA TALIAN PERCUMA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1335424/ppim-selar-taktik-sembelih-pelanggan-guna-talian-percuma

Friday, March 13, 2026

PPIM BUAT LAPORAN POLIS DAKWA HIMPUNAN HARI WANITA HINA ISLAM - HARIAN METRO - 12/03/2026

 

Kuala Lumpur: Satu laporan polis akan dibuat terhadap beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hak wanita termasuk sebuah parti politik yang didakwa menghina agama Islam dan mempromosi gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, laporan polis itu akan dibuat dalam masa terdekat agar satu tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak yang melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, tindakan menghina agama Islam serta mempromosi gaya hidup songsang melalui pemaparan sepanduk dibawa semasa himpunan baru-baru ini, tidak boleh diterima di negara ini.

"Rakyat Malaysia kena faham yang kita berada di sini dan tertakluk kepada Perlembagaan negara ini.

"Adakah kita hendak meneruskan pendapat individu atau kumpulan tertentu dalam melaksanakan kehidupan kita hari ini?

"Kalau benda-benda pelik yang lain daripada apa yang berlaku hari-hari (seperti mempromosi LGBT), kita nak terima ke? Kita nak diam sahaja ke? Ini disebabkan kita semua ada pegangan. Yang (tindakan pelik) lain itu sepatutnya tidak boleh diterima," katanya pada sidang medianya bersama beberapa NGO di ibu pejabat PPIM hari ini.

Turut sependapat, Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid yang menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan beberapa NGO hak wanita dan sebuah parti politik yang mengambil kesempatan semasa himpunan itu.

Katanya, pihaknya membangkitkan isu itu agar pihak berkuasa mengambil perhatian, sebelum ia menjadi kritikal.

"PPIM dan NGO lain ini prihatin terhadap hal yang boleh merosakkan masyarakat. Atas dasar itu juga kita bangkit dan suarakan hal ini supaya pihak berkuasa ambil cakna.

"Jangan tunggu sampai dah kritikal, baru nak ambil tindakan. Bila sudah tenat, nampak kecoh satu negara, macam-macam tindakan baru diambil," katanya.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang membawa budaya asing ke dalam masyarakat negara ini.

"Kita menentang perbuatan sebegini. Peliknya kenapa ada segelintir daripada kita ini tak ramai pun, bawa budaya asing sebegini dalam masyarakat kita dan pihak berkuasa tidak merasakan perkara ini satu yang sensitif.

"Ini perkara yang perlu kita lihat dengan serius. Kenapa dan mengapa? Orang buat kerja tak betul kita benarkan dan orang buat kerja betul kita tak benarkan.

"Apabila perkara terbalik ini berlaku, kita sedang menunggu kehancuran sesebuah tamadun. Barat sudah rosak dan sudah merebak ke negara-negara timur. Sasarannya sekarang ini adalah Malaysia selepas berjaya di negara jiran yang lain," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM BUAT LAPORAN POLIS DAKWA HIMPUNAN HARI WANITA HINA ISLAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1332888/ppim-buat-laporan-polis-dakwa-himpunan-hari-wanita-hina-islam

Tuesday, March 3, 2026

BINA KEKUATAN MENTAL DAN ROHANI - HARIAN METRO - 01/03/2026

 

Kisah golongan muda yang terhimpit dengan kemiskinan, ketiadaan dokumen pengenalan diri serta janji bantuan yang tidak tertunai memperlihatkan beban emosi yang berat sehingga ada yang mengambil tindakan di luar jangka.

Menerusi konteks itu, Ramadan dilihat sebagai ruang muhasabah dan titik perubahan untuk membina semula kekuatan dalaman.

Wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN mendapatkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan untuk mengupas isu itu.

Bagaimana kita harus melihat tragedi sosial seperti tekanan hidup, isu kewarganegaraan dan kes bunuh diri dalam masyarakat hari ini?

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini amat menyedihkan, khususnya apabila melibatkan golongan muda yang tertekan akibat isu kewarganegaraan, kemiskinan dan tekanan hidup berpanjangan. Terdapat kes seorang pelajar yang tidak memiliki kad pengenalan kerana latar belakang ibu bapanya lalu berdepan tekanan emosi yang berat sehingga mengambil tindakan terjun bangunan.

Dalam keadaan sebegitu, bayangkan tekanan yang ditanggung makan pun susah, ibu sudah meninggal dunia, janji bantuan tidak ditunaikan, harapan berkecai sedikit demi sedikit.

Keadaan ini menuntut kita bermuhasabah. Kita mungkin tidak melalui kesusahan yang sama sekurang-kurangnya kita memiliki dokumen pengenalan dan asas kehidupan yang lebih stabil tetapi sejauh mana kita benar-benar peka terhadap penderitaan orang lain?

Persoalannya bukan sekadar simpati, tetapi apakah usaha konkrit yang kita lakukan untuk membantu.

Masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang saling menguatkan. Jika kita mahu orang lain sihat dari sudut mental dan sosial, kita sendiri perlu membina kekuatan dalaman serta budaya tolong-menolong yang konsisten.

Adakah dan suasana negara turut mempengaruhi masalah sosial serta kesihatan mental masyarakat?

Secara keseluruhannya, suasana negara dan wacana awam hari ini banyak tertumpu kepada isu rasuah, konflik politik dan pertikaian undang-undang.

Hampir setiap hari masyarakat dihidangkan dengan naratif negatif.

Sama ada di media sosial, kenyataan politik atau wacana agama, fokus sering berlegar pada kesalahan, hukuman dan kontroversi.

Apabila unsur positif seperti pembinaan budaya baik, pendidikan sosial harian dan nilai kehidupan asas kurang diberi perhatian, generasi muda hilang rujukan yang seimbang.

Pendidikan sosial bukan sekadar melalui ceramah, tetapi melalui contoh harian dan naratif yang membina.

Jika ruang awam dipenuhi pertelingkahan dan tuduh-menuduh, ia boleh memberi kesan psikologi yang mendalam kepada masyarakat.

Oleh itu, pembinaan budaya yang baik perlu menjadi agenda bersama, bukan hanya menyalahkan individu tertentu tetapi memperbaiki ekosistem sosial secara menyeluruh.

Bagaimana Ramadan boleh membantu membina disiplin dan menjauhkan diri daripada maksiat?

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga.

Dalam Islam, konsep pencegahan atau al-wiqayah lebih utama daripada rawatan.

Puasa ialah latihan pencegahan mendidik nafsu dan membentuk disiplin diri.

Allah SWT berfirman bermaksud, 'Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib), dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.'

Ayat ini menggabungkan aspek pemakanan yang halal dan baik dengan larangan mengikuti jejak langkah syaitan.

Ini menunjukkan bahawa budaya hidup, termasuk cara makan dan gaya hidup, boleh mempengaruhi kecenderungan manusia terhadap kebaikan atau keburukan.

Puasa mendidik manusia bukan sahaja meninggalkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi juga menahan diri daripada dorongan hawa nafsu. Ia melatih disiplin yang sukar meninggalkan sesuatu yang halal pada waktu tertentu demi ketaatan kepada Allah.

Jika seseorang mampu menahan diri daripada makan dan minum, maka secara prinsipnya dia juga mampu menahan diri daripada maksiat dan tabiat buruk.

Ramadan menjadi medan latihan untuk membina kekuatan dalaman yang berterusan selepas bulan tersebut berakhir.

Apakah pembaharuan gaya hidup yang boleh diamalkan bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan rohani?

Budaya makan berlebihan telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Kadangkala kita merasakan berdosa jika tidak makan ketika dijamu, sedangkan Islam menganjurkan kesederhanaan.

Sunah mengajar supaya berhenti sebelum kenyang. Puasa memberi peluang untuk reset cara hidup termasuk pola pemakanan.

Antara cadangan ialah memanfaatkan konsep pembersihan tubuh seperti autofagi yang berlaku apabila tubuh berpuasa dalam tempoh tertentu.

Jika sahur dilakukan lebih awal dan sekadar minum air pada waktu hampir Subuh, ia memberi ruang tubuh berehat lebih lama daripada proses pencernaan.

Selain itu, amalan mengambil makanan disebut dalam hadis seperti habbatussauda juga dikaitkan dengan manfaat kesihatan daripada sudut pencegahan.

Perubahan ini bukan sekadar kesihatan fizikal, tetapi persediaan menghadapi kemungkinan kesusahan masa depan sama ada krisis ekonomi, gangguan perdagangan atau kenaikan kos sara hidup. Individu berdisiplin dan sederhana lebih bersedia menghadapi cabaran berbanding mereka yang bergantung pada kemewahan dan berlebihan.

Bagaimana puasa ini mampu mengubah kehidupan?

Ramadan peluang membina semula diri memperbetulkan budaya hidup, menahan nafsu dan memperkukuh hubungan dengan Allah.

Jika latihan ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ia bukan sahaja membantu menjauhi maksiat, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih sihat dari sudut fizikal, mental dan spiritual.

Artikel oleh: Harian Metro

BINA KEKUATAN MENTAL DAN ROHANI

https://www.hmetro.com.my/utama/2026/03/1328047/bina-kekuatan-mental-dan-rohani

Monday, March 2, 2026

PPIM ULANGI PENDIRIAN, TIADA SEBARANG KAITAN DENGAN GEM - HARIAN METRO - 28/02/2026

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengulangi pendirian pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan rasmi dengan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM).

PPIM dalam satu kenyataan berkata, GEM bukan gabungan di bawahnya dan tidak pernah mewakili PPIM dalam mana-mana urusan atau aktiviti.

"PPIM mengambil maklum bahawa sehingga kini masih terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir pihak yang beranggapan bahawa GEM mempunyai kaitan dengan pihak kami.

"Bagi mengelakkan sebarang salah faham yang berterusan, PPIM ingin menegaskan semula pendirian kami sebagaimana kenyataan yang telah dikeluarkan pada 26 Ogos 2025.

"PPIM ingin menjelaskan bahawa kami tiada sebarang kaitan mahupun hubungan rasmi dengan GEM," katanya.

Sebelum ini, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya tiada kaitan dengan GEM seperti heboh diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Nadzim berkata, GEM pernah bernaung di bawah PPIM ketika awal penubuhan, namun selepas itu bergerak sendiri tanpa rujukan atau nasihat daripada pihaknya.

Mengulas lanjut, PPIM turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terpedaya sekiranya terdapat dakwaan yang mengatakan GEM berada di bawah naungan mereka.

"Selain itu, semakan terkini kami mendapati status pendaftaran GEM masih kekal sebagaimana tahun lalu, iaitu sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar.

"Pihak kami sekadar ingin mengingatkan bahawa mengikut Akta Pertubuhan 1966, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan aktiviti sebagai sebuah pertubuhan tanpa pendaftaran yang sah," katanya

PPIM berkata, pihaknya sentiasa menghormati usaha mana-mana pihak dalam memperjuangkan nasib komuniti, namun penjelasan dibuatnya itu perlu dilakukan demi menjaga kepentingan dan kejelasan peranan masing-masing agar tidak timbul implikasi pada masa hadapan.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM ULANGI PENDIRIAN, TIADA SEBARANG KAITAN DENGAN GEM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1328115/ppim-ulangi-pendirian-tiada-sebarang-kaitan-dengan-gem

Monday, February 23, 2026

'7 TAHUN SAYA JADI HAMBA DIA' - HARIAN METRO - 23/02/2026

 


Artikel oleh: Harian Metro

'7 TAHUN SAYA JADI HAMBA DIA'

'RASUL AKHIR ZAMAN' - HARIAN METRO - 23/02/2026

 

Rawang: Niat asal hanya mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mahu mencari ilmu, namun seorang lelaki terperangkap' dalam hutan selama lima tahun, mengusahakan tanaman untuk kelangsungan hidup dan dipaksa mengabdikan diri kepada lelaki yang mengaku dirinya sebagai 'rasul akhir zaman.'

Itu yang dilalui Muhammad Nabil Danial Mohd Zain, 36, hampir tujuh tahun lalu ketika 'mengikut' seorang lelaki yang kononnya mendakwa diri sebagai 'rasul akhir zaman' namun perbuatan lelaki itu didakwa bertentangan dengan agama dan disifatkan takbur, ujub, riak dan sombong.

Mendedahkan pengalaman selama tujuh tahun mengikuti individu itu hingga memberi kesan besar terhadap rumah tangga dan hubungannya dengan keluarga, Nabil Danial berkata, dia mahu mempelajari al-Quran dan mula mengikut ajaran itu pada 2018.

Menurutnya, dia diperkenalkan kepada lelaki terbabit oleh rakannya yang juga pengikut lelaki berusia 60-an itu.

Katanya, pada mulanya semua berjalan lancar namun berubah selepas setahun apabila lelaki berkenaan mula mendakwa dirinya sebagai 'rasul akhir zaman'.

"Turut bersama saya, isteri dan tiga anak serta kakak ipar bersama dua anak dan bapa mentuanya.

"Saya sudah mula berasa tidak betul tetapi saya mahu tengok dahulu (adakah benar seperti didakwa) termasuk akhlak," katanya

Nabil Danial ditemui ketika hadir membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, baru-baru ini.

Dakwanya, pada mulanya lelaki itu mengatakan bercucuk tanam kerana mahu doa dan sokongan daripada tumbuhan yang akhirnya diminta untuk dijadikan pekerjaan dan sumber rezeki perlu datang daripada tumbuhan, manakala lain adalah haram serta kotor.

Katanya, sepanjang dia bersama ajaran lelaki itu, dakwanya semua orang tidak beriman dan bertakwa melainkan yang mengisytiharkan dengan 'rasul akhir zaman' itu saja, malah didakwa lelaki berkenaan semakin merepek terutama mengenai wanita dan suami isteri.

Nabil mendakwa, tenaganya dikerah dan pernah melihat pengikut ajaran itu dipukul jika menentang atau mempertikaikan perbuatan serta ajarannya, malah lelaki itu juga didakwa 'pintar' memanipulasi pengikut lain termasuk keluarganya.

"Dia pandai manipulasi supaya orang membenci saya termasuk keluarga sendiri. Bila kerap jumpa isteri, anak dan keluarga, dia letak saya dalam kondisi mensyirikkan Allah sebab tinggalkan rasul," dakwanya.

Nabil Danial mendakwa ajaran lelaki itu bertentangan dengan al-Quran dan didakwa bercelaru serta menimbulkan kekeliruan terutama berkaitan institusi perkahwinan.

Lebih membimbangkan, Nabil mendakwa perkahwinannya turut dipertikaikan dan dianggap tidak sah di sisi ajaran berkenaan, malah mendakwa tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab sebagai suami hingga menyebabkan hubungan dengan isteri, anak dan keluarga mentua terjejas.

Dia turut mendakwa pernah mengalami kecederaan fizikal selepas dibaling besi oleh individu itu sehingga mengalami pendarahan dan kesan kesihatan berpanjangan termasuk strok dan slip disc.

"Saya mula sedar semua ini tidak betul apabila saya tertidur ketika dakwah lelaki berkenaan dan dibaling besi di kepala sehingga berdarah. Saya juga pernah bertanya penerangan ayat namun dia mengatakan saya menentangnya dan membantah rasul Allah.

"Saya kemudiannya dihalau pada tahun lalu," katanya yang mengakui berdepan tekanan emosi dan kemurungan kerana perkara itu.

Dalam pendedahannya itu, sepanjang tujuh tahun bersama ajaran lelaki berkenaan, banyak pengikut dimalukan, dihina serta dipengaruhi secara psikologi termasuk ahli keluarganya sendiri serta perbuatan lelaki itu juga didakwa melampui batas antara berlainan jantina.

Artikel oleh: Harian Metro

'RASUL AKHIR ZAMAN'

https://www.hmetro.com.my/utama/2026/02/1325631/rasul-akhir-zaman

Saturday, February 21, 2026

'JANGAN MEMBAZIR, MAKANAN YANG TAK HABIS SUDAH BERLORI-LORI' - PPIM - HARIAN METRO - 21/02/2026

 

Kuala Lumpur: Waspada dengan nafsu makan yang tidak terkawal sehingga mengundang pembaziran, sikap yang dicela di dalam Islam.

Itu nasihat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan selepas pemerhatian pihaknya mendapati bertan-tan makanan dibuang begitu saja terutama ketika bufet Ramadan.

Katanya, ia tidak mencerminkan sikap sebenar umat Islam terutama ketika hadir ke majlis berbuka puasa yang mengenakan caj tinggi, namun akhirnya makanan dibuang.

"Yang kita dengar, paling banyak adalah sate. Seorang yang sepatutnya makan tiga cucuk, tetapi ambil sampai 10 cucuk. Sudahnya tak makan, lepas itu buang.

"Ramadan ini mencakupi disiplin, kesederhanaan dan berjimat cermat. Tetapi apa yang kita dapat aduan, cukup menyedihkan.

"Bayar mahal satu hal, kemudian membazir tak makan. Bila bercakap hal Palestin dan Gaza, dia melenting. Tapi bila datang bulan puasa, orang ini jadi tak terkawal," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, pihaknya mencadangkan kepada pengurusan hotel di seluruh negara untuk tampil dengan inisiatif retort, untuk memastikan tidak berlaku pembaziran.

Beliau berkata, biarpun sudah menjadi budaya sejak sekian lama, tetapi sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan lebihan makanan tidak dibazirkan dengan begitu mudah.

"Jadikan Ramadan ini pencetus perubahan kepada usaha kita untuk meningkatkan amalan. Kita kena ubah supaya sekurang-kurangnya Ramadan kali ini lebih baik dari yang lepas," katanya.

Ditanya mengenai apakah inisiatif paling mudah untuk mengelakkan pembaziran, beliau berkata, segala-galanya bermula dari rumah dengan didikan ibu bapa menjadi pencetus awal.

Katanya, dengan mendidik anak-akan untuk mengambil makanan dalam jumlah yang perlu saja akan menjadikan mereka generasi berdisiplin.

"Kita kena belajar menghargai dan bersyukur. Dari awal perlu ditekankan mengenai keperluan berjimat cermat, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.

"Maknanya, apa juga yang kita lakukan akan jadi baik jika kita buat ketetapan untuk mendapat reda Allah SWT," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'JANGAN MEMBAZIR, MAKANAN YANG TAK HABIS SUDAH BERLORI-LORI' - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1324998/jangan-membazir-makanan-yang-tak-habis-sudah-berlori-lori-ppim

Tuesday, February 10, 2026

'SUDAH-SUDAHLAH, BANYAK SANGAT YANG SUDAH TERTIPU' - HARIAN METRO - 09/02/2026

 

Kuala Lumpur: Terhad, cepat dan yuran guaman saja. Itu antara tiga janji yang kerap digunakan scammer untuk memperdaya pembeli rumah, taktik terbaru yang dikesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dengan iklan di pelbagai platform media sosial, ia menjadi trend terkini pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang mudah.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai wujud scammer yang menawarkan yuran guaman serendah RM1,500 untuk mendapatkan rumah di Johor.

Katanya, setakat ini, ramai pembeli rumah yang menjadi mangsa selepas melihat iklan di media sosial.

"Satu daripada elemen aduan yang membabitkan scam ini adalah mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk menipu orang sehingga mereka membayar sesuatu.

"Hari ini, kita dapat aduan berkaitan dengan satu penipuan mengenai kerajaan negeri Johor menawarkan sesiapa nak beli rumah, bayar RM1,500.

"Kita dapat aduan ramai juga yang dah terkena. Kalau seorang RM1,500, 10 orang, berapa. 100 orang? Ini cukup menakutkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran ekspres seperti itu dengan menyemak terlebih dulu dengan pihak berwajib.

Nadzim berkata, sebarang urusan terutamanya membabitkan wang perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana scammer di luar sana sedang menunggu untuk memperdaya mangsa.

"Yang membabitkan tawaran kena hati-hati sangat, terlalu ramai yang kena tipu dan orang dalam keadaan teruk nak beli rumah.

"Contoh yang ini, bayar RM1,500 dah dapat rumah. Kita sudah semak dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memang tak ada," katanya.

Beliau turut mendedahkan, antara taktik lain digunakan scammer termasuklah menggunakan logo palsu, iklan ekspo hartanah dan tawaran segera di media sosial.

"Saya cadangkan, kita semua buatlah kumpulan WhatsApp untuk mengingatkan sesama kita agar tidak tertipu lagi.

"Sudah-sudahlah, banyak sangat yang sudah tertipu," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'SUDAH-SUDAHLAH, BANYAK SANGAT YANG SUDAH TERTIPU'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1320895/sudah-sudahlah-banyak-sangat-yang-sudah-tertipu

Thursday, February 5, 2026

GESA AUDIT NASIONAL - HARIAN METRO - 05/02/2026

 

Artikel oleh: Harian Metro

GESA AUDIT NASIONAL

PPIM GESA KERAJAAN SIASAT KELAB PERSENDIRIAN BERLESEN - HARIAN METRO - 04/02/2026

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menjalankan audit nasional dan siasatan menyeluruh terhadap kelab persendirian berlesen di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), susulan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), organisasi itu mendakwa terdapat lebih 300 premis mesin slot berlesen di seluruh negara, masing-masing dengan 20 hingga 30 mesin slot.

Katanya, kartel terbabit menggunakan modus operandi berpura-pura menggaji kakitangan seolah-olah di bawah kelab dan mengawal bilik mesin slot.

"Ahli kelab yang membangkitkan soalan semasa dan luar AGM (Mesyuarah Agung Tahunan) berkaitan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, jurang dan percanggahan kewangan termasuk perakaunan dua lapis akan disasarkan melalui 'laporan insiden yang direka'.

"Jawatan keahlian dan disiplin diarahkan menubuhkan pasukan siasatan yang dipilih oleh pengerusi dan jawatankuasa disiplin atau individu yang didakwa kroni bagi membuat keputusan menjadikan mereka persona non-grata atau dipecat dari kelab.

"CCTV (kamera litar tertutup) dalaman digunakan untuk memantau pergerakan ahli yang disasarkan yang didakwa disambung ke telefon peribadi pengendali kelab dan pengerusi untuk pemantauan dari rumah," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sekurang-kurangnya tujuh laporan polis dibuat oleh pihak terjejas.

"Satu dossier (dokumen) terperinci dan menyeluruh dihantar kepada ROS Kuala Lumpur pada 15 Disember tahun lalu dan ditandatangani lebih 19 ahli sebuah kelab.

"Ia mengandungi dakwaan berikut berserta bukti berkaitan transaksi kewangan tidak sah, perakaunan dua lapis, kebimbangan pengubahan wang haram termasuk salah guna kuasa oleh pengerusi dan ahli majlis," katanya.

Katanya, pendedahan dokumen berkaitan turut mendakwa kecurian lebih RM14,000 oleh seorang kakitangan tidak dilaporkan dalam AGM walaupun diketahui dan pelaku terus bekerja.

"Laporan akaun menunjukkan kelab (tuan tanah) berhutang RM1 juta kepada Bilik Mesin Slot (penyewa).

"Pada AGM kelab 2024–2025, peletakan jawatan juruaudit yang dilantik berlaku secara mengejut tanpa notis.

"Pada AGM Ogos 2025, walaupun dibantah ahli, pihak berkuasa meluluskan akaun kontroversi, dibantu ahli tajaan bilik mesin slot yang duduk sebagai ahli majlis," katanya.

Dalam pada itu, PPIM dan CASSA merayu supaya kelulusan baharu dihentikan serta lesen premis mesin slot ditarik balik bagi kelab yang terlibat dengan rasuah, pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan manipulasi akaun kewangan.

"Kerajaan digesa menyekat dan melarang orang Islam daripada memasuki bar kelab dan bilik mesin slot.

"Perlu ada rekod bebas keluar masuk ke bilik itu untuk pemeriksaan berkala pihak berkuasa," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA KERAJAAN SIASAT KELAB PERSENDIRIAN BERLESEN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1318746/ppim-gesa-kerajaan-siasat-kelab-persendirian-berlesen

Monday, January 26, 2026

PEMANDU E-HAILING TERKESAN KENAIKAN PREMIUM INSURANS - PPIM - HARIAN METRO - 23/01/2026

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi pemandu e-hailing susulan beberapa isu operasi yang dilihat memberi tekanan berterusan kepada golongan berkenaan.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, pemandu e-hailing kini berdepan peningkatan kos dan keperluan operasi yang semakin mencabar dalam usaha meneruskan kelangsungan pendapatan harian.

Jelas kenyataan itu, antara isu yang sering dibangkitkan ialah kenaikan premium insurans e-hailing yang memberi kesan langsung kepada kos operasi pemandu.

"PPIM menerima beberapa aduan daripada pemandu e-hailing berkaitan peningkatan premium insurans yang difahamkan memberi kesan kepada pendapatan mereka.

"Sehubungan itu, PPIM berharap pihak berkaitan dapat meneliti perkara ini termasuk penyediaan data yang diaudit secara bebas bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan premium dibuat secara telus dan berasaskan fakta," katanya.

Selain itu, katanya, PPIM turut menyentuh mengenai struktur tambang perkhidmatan e-hailing yang mempengaruhi kestabilan pendapatan pemandu.

"Sistem tambang secara tawar-menawar perlu dihapuskan kerana mencetuskan perang harga termasuk merosakkan kestabilan ekosistem e-hailing," katanya.

Dalam pada itu, PPIM turut membangkitkan isu berkaitan keselamatan termasuk cadangan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna e-hailing.

Katanya, cadangan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan perlindungan kepada pemandu ketika menjalankan tugasan harian.

"Bantuan segera dan perlindungan sewajarnya kepada pemandu sekiranya berlaku sebarang kes jenayah atau salah laku oleh pengguna.

"PPIM menegaskan bahawa tanpa mekanisme pengesahan identiti pengguna yang kukuh dan sistem perlindungan menyeluruh termasuk pemandu e-hailing akan terus terdedah kepada risiko keselamatan," katanya.

PPIM juga berharap, segala isu yang dibangkitkan dapat diteliti secara menyeluruh melalui kerjasama semua pihak demi kesejahteraan industri e-hailing negara.

Artikel oleh: Harian Metro

PEMANDU E-HAILING TERKESAN KENAIKAN PREMIUM INSURANS - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1314482/pemandu-e-hailing-terkesan-kenaikan-premium-insurans-ppim

Monday, January 12, 2026

HIDUP TAK BERKAT, JANGAN 'SONGLAP' DUIT SEDEKAH! - HARIAN METRO - 10/01/2026

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan dana awam bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

Rakyat mahu menyalurkan bantuan, tetapi penyalahgunaan oleh segelintir pihak menjejaskan imej Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan institusi bantuan lain.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, budaya salah guna dana kini menjadi isu serius dan memerlukan langkah pencegahan menyeluruh.

"Kita menghadapi masalah keyakinan, lepas tu pelaksanaan pun ada isu, tetapi yang paling penting ialah budaya ini sudah menjadi satu keadaan yang amat memalukan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia.

"Contohnya sekarang ini, apabila kita nak menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, rakyat mula bertanya-tanya dan ragu-ragu, dan masalah ini bukan hanya berlaku di NGO sahaja tetapi kebanyakan tempat juga.

"Keadaan ini menyebabkan keruntuhan keyakinan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita dan kita perlu menangani isu ini dengan serius kerana ia bukan mudah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nadzim menyeru NGO dan masyarakat supaya menerapkan prinsip asas kejujuran dalam setiap tindakan mereka.

Katanya, setiap sen dana awam mesti digunakan secara telus dan berkat bagi mengelakkan penyelewengan.

"Pesanan saya, carilah yang berkat dan mesti menjadikan keberkatan itu sebagai pegangan dalam setiap tindakan mereka.

"Ini bukan sahaja terpakai untuk organisasi besar, malah untuk setiap individu yang terlibat dalam pengurusan dana supaya setiap tindakan dipantau dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau menambah pendidikan integriti dan pemantauan berterusan perlu diterapkan sejak dari keluarga hingga ke NGO.

"Kalau kita buat tak baik, kita akan dapat tak baik. Percayalah, kita tak boleh lari," katanya.

Dalam pada itu, Nadzim menegaskan masyarakat dan pihak berkuasa perlu bertindak bersama bagi memastikan amalan integriti dan ketelusan dipatuhi.

Hari ini muka depan Harian Metro melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'popular' berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpul 'harta haram' hasil kutipan dana jutaan ringgit.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

Beliau melahirkan rasa kecewa berikutan masih ada segelintir NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.

Artikel oleh: Harian Metro

HIDUP TAK BERKAT, JANGAN 'SONGLAP' DUIT SEDEKAH!

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1309237/hidup-tak-berkat-jangan-songlap-duit-sedekah

Saturday, January 3, 2026

'RM200 PUN ORANG SANGGUP PINJAM, TAHUN 2026 ALONG PULA SEMAKIN LICIK' - HARIAN METRO - 01/01/2026

 

Kuala Lumpur: RM200 pun terpaksa pinjam along.

Nilai terbabit mungkin dianggap kecil, namun itulah gambaran sebenar betapa parahnya tekanan hidup dihadapi segelintir masyarakat sehingga sanggup terjerumus dengan pinjaman daripada ceti haram.

Itu antara 'catatan duka' Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sepanjang tahun lalu yang merekodkan kes pinjaman along masih menjadi antara yang tertinggi sejak 2007.

Setiausaha Kerjanya, Zharif Johor berkata pelbagai cabaran diterima pihaknya untuk membanteras kegiatan along yang semakin 'berkembang' sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, secara purata antara 40 hingga 50 aduan berkaitan along diterima setiap hari, membabitkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pekerja buruh dan berpendapatan rendah.

"Sekarang ini, pinjam RM200 pun terpaksa pergi kepada along, ada RM300. Ini jelas menunjukkan tekanan kos sara hidup yang sangat tinggi.

"Dulu kes along biasanya membabitkan jumlah besar, kebanyakannya peniaga.

"Tetapi sekarang, kita terima aduan daripada pengawal keselamatan, buruh, pekerja kecil malah warga asing juga mula terjebak," katanya kepada Harian Metro.

Zharif berkata, peningkatan kos sara hidup menjadi faktor utama mendorong orang ramai membuat pinjaman segera tanpa memikirkan risiko jangka panjang.

Katanya, walaupun nilai pinjaman kecil, kesannya sangat besar apabila mangsa dikenakan faedah melampau, ugutan serta tekanan berpanjangan daripada sindiket along.

"Kes-kes kecil inilah yang sebenarnya lebih menyedihkan.

Mereka pinjam untuk keperluan asas seperti makan, tambang atau kos harian. Bila tak mampu bayar, mereka jadi mangsa ugutan," katanya.

Beliau berkata, sejak hampir dua dekad menangani isu itu, corak dan modus operandi along juga semakin berubah dan licik, termasuk penggunaan media sosial dan aplikasi atas talian bagi menjerat mangsa.

Menurut Zharif, keadaan itu membimbangkan kerana sindiket along sentiasa berevolusi dan berpotensi bertindak lebih agresif terhadap mangsa, termasuk tindakan balas atau ugutan melampau.

Beliau berkata, selagi tiada penyelesaian holistik, isu along akan terus berlarutan, khususnya bagi golongan terdesak yang memerlukan bantuan segera.

Zharif menegaskan, pihaknya tidak berputus asa dalam membantu mangsa, namun mengakui cabaran semakin besar apabila sindiket terus mencari ruang memerangkap pengguna.

"Justeru, kita cadangkan kepada pihak berkuasa untuk menambah baik bantuan seperti pusat zakat termasuk di negeri-negeri untuk mempelbagaikan kemudahan sedia ada," katanya.

Zharif berkata, berdasarkan rekod PPIM, isu membabitkan penipuan pelaburan juga mencatatkan jumlah kes yang tinggi sepanjang 2025.

Menurutnya, semua kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan pengguna di negara ini agar lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pinjaman atau pelaburan yang berisiko.

"Kita faham, dalam keadaan tertentu, kita tak punya banyak pilihan. Apa yang ada, itulah yang kita cuba.

"Tapi sepanjang PPIM membantu, kita dapati tidak ada yang selamat dari cengkaman along, serta penipuan sindiket," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'RM200 PUN ORANG SANGGUP PINJAM, TAHUN 2026 ALONG PULA SEMAKIN LICIK'

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1306110/rm200-pun-orang-sanggup-pinjam-tahun-2026-along-pula-semakin-licik

Friday, January 2, 2026

LAPAN NGO SOKONG HAPUS SISTEM TAWAR-MENAWAR E-HAILING, DESAK KERAJAAN TETAP KADAR TAMBANAG LANTAI - HARIAN METRO - 31/12/2025

 

Kuala Lumpur: Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan industri gig menyokong gesaan supaya sistem tambang e-hailing berasaskan tawar-menawar dihapuskan dan mendesak kerajaan menetapkan kadar tambang lantai untuk perkhidmatan itu.

Dalam kenyataan bersama, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan tujuh lagi NGO berkata, kewujudan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang beroperasi dengan sistem itu memberi impak negatif kepada pemandu lain.

"Apabila tawar-menawar dibenarkan, mahu tak mahu, EHO lain terpaksa bersaing menurunkan harga tambang hingga menyebabkan seluruh pemandu e-hailing menerima kesan.

"Persaingan dalam industri sememangnya akan dijadikan alasan sebagai menguntungkan pengguna, namun kerajaan sepatutnya turut melihat kesan terhadap pemandu e-hailing.

"Tiada keseimbangan dalam polisi kerajaan dalam memastikan pengguna dan pemandu e-hailing menerima manfaat yang munasabah terutama pada ketika kos sara hidup semakin meningkat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Penghantar, gesaan sama disuarakan Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (TENAGA GiG).

Empat lagi NGO yang sependapat menyuarakan hal sama adalah Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS), Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP) dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) .

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.

Menurut PPIM, gesaan itu bertujuan menjaga kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing.

Artikel oleh: Harian Metro

LAPAN NGO SOKONG HAPUS SISTEM TAWAR-MENAWAR E-HAILING, DESAK KERAJAAN TETAP KADAR TAMBANAG LANTAI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1305742/lapan-ngo-sokong-hapus-sistem-tawar-menawar-e-hailing-desak-kerajaan-tetap

Wednesday, December 31, 2025

PPIM GESA SISTEM TAMBANG TAWAR-MENAWAR DALAM INDUSTRI E-HAILING DIHAPUSKAN - HARIAN METRO - 31/12/2025

 

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa supaya menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, kementerian juga harus mengawal kadar tambang e-hailing dengan menetapkan kadar tambang lantai demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri itu.

Menurutnya, PPIM mengakui sistem tambang tawar-menawar memberikan kelebihan kepada pengguna, namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.

"Adalah amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan, walaupun Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang tawar-menawar beroperasi di Malaysia.

"Justeru, kementerian dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem Industri Gig Sektor E-Hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut PPIM, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal sejak pelaksanaan sistem tambang bidding di Malaysia sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.

"PPIM menegaskan bahawa syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa," katanya.

Pada 23 Disember lalu, APAD dalam kenyataan memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan oleh konsep permintaan dan penawaran.

Menurut APAD, perkhidmatan e-hailing adalah satu perkhidmatan gig ekonomi di mana ia bersifat pasaran terbuka dan operasi syarikat adalah berbeza-beza.

Menurut peraturan APAD iaitu syarat-syarat lesen yang perlu dipatuhi bahawa pemegang lesen hendaklah memastikan pemandu tidak tawar-menawar selepas berjaya mendapat tempahan, sebaliknya memberikan perkhidmatan berdasarkan tempahan yang diterima.

Kementerian Pengangkutan kini sedang menjalankan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam (PSPA) yang antara lain mengkaji kewajaran mengawal selia tambang e-hailing.

Hasil kajian tambang lantai e-hailing itu akan dibentangkan untuk pertimbangan lanjut.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA SISTEM TAMBANG TAWAR-MENAWAR DALAM INDUSTRI E-HAILING DIHAPUSKAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1305648/ppim-gesa-sistem-tambang-tawar-menawar-dalam-industri-e-hailing-dihapuskan?utm_source=WA-HM&utm_medium=social&utm_campaign=WATraffic

Tuesday, December 23, 2025

MALAYSIA RANGKUL 3 EMAS SUKAN MEMANAH BERKUDA DI CHINA - HARIAN METRO - 23/12/2025

 

Kuala Lumpur: Pasukan memanah berkuda Malaysia meraih tiga pingat emas dalam Global Horseback Archery Masters 2025 di Honghuashan Sports Centre, Shenzhen, China.

Kejayaan cemerlang pada kejohanan 10 hingga 13 Disember lalu itu dimulakan dalam Kategori Junior apabila Abu Bakr Muhamad Akmal, 13, muncul juara dan meraih pingat emas bagi Serial Format.

Manakala abangnya, Muhammad, 15, selaku kapten pasukan, memenangi pingat perak dalam kategori sama.

Dalam Hungarian Format, Abdurrahman Ahmad Mu'az, 15, menghadiahkan pingat perak buat negara, sementara Muhammad menambah koleksi pingat dengan meraih gangsa.

Dominasi Malaysia diteruskan dalam acara Masahi Format apabila pasukan negara berjaya menewaskan pencabar dari pelbagai negara untuk merangkul pingat emas, sekali gus mengesahkan keunggulan mereka dalam acara berpasukan.

Prestasi konsisten atlet negara turut terserlah dalam Kategori Terbuka apabila Abdurrahman sekali lagi menaiki podium dengan memenangi pingat perak dalam Hungarian Format, manakala Abu Bakr menambah pingat gangsa dalam Serial Format.

Kapten pasukan, Muhammad berkata, kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan sepasukan untuk terus mencipta nama di peringkat dunia.

Menurutnya, kejohanan berkenaan mempertandingkan dua peringkat umur iaitu junior (11 hingga 16 tahun) dan terbuka, selain tiga format utama iaitu Serial, Hungarian dan Masahi yang masing-masing mempunyai cabaran tersendiri.

"Serial format memerlukan atlet memanah tiga sasaran, Hungarian pula menuntut ketepatan dari jarak jauh sejauh 45 meter, manakala Masahi adalah acara berpasukan yang memerlukan kerjasama untuk menjatuhkan lima papan sasaran," katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Muhammad mengakui persaingan sengit dengan kehadiran atlet elit dari Mongolia, China dan Turki, selain faktor cuaca sejuk dan hujan yang turut menguji kemampuan atlet.

Sementara itu, jurulatih pasukan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata, cabaran terbesar atlet Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia adalah dari segi kos, khususnya perbelanjaan latihan dan penjagaan kuda.

"Dalam memanah berkuda, bukan hanya atlet yang perlu dilatih, kuda juga adalah atlet yang memerlukan penjagaan rapi, makanan, rawatan dan latihan berterusan.

"Kami terpaksa menggunakan simpanan sendiri termasuk menjalankan pelbagai usaha sampingan termasuk perniagaan kecil bagi menampung perbelanjaan pasukan.

"Namun Alhamdulillah, dengan pengorbanan semua pihak, kita berjaya membuktikan bahawa Malaysia kini berada di puncak dunia. Nama Malaysia sudah mula disebut-sebut dalam kalangan jurulatih dan pemanah berkuda antarabangsa," katanya.

Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, pasukan negara menyasarkan kejohanan utama pada 2026 termasuk World Horseback Archery Championship di Mongolia dan World Nomad Games di Kazakhstan.

"Persaingan dijangka lebih sengit terutama dengan kehadiran kuasa besar seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun kami yakin mampu bersaing jika mendapat sokongan dari segi penajaan, latihan dan logistik," katanya.

Kejohanan Global Horseback Archery Masters 2025 itu mendapat pengiktirafan rasmi World Horseback Archery Federation (WHAF) dan disertai lebih 70 atlet dari China, Kazakhstan, Turki, Iran, Iraq, Thailand, Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyeru kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi perhatian dan sokongan dana kepada sukan sunnah berkenaan.

Artikel oleh: Harian Metro

MALAYSIA RANGKUL 3 EMAS SUKAN MEMANAH BERKUDA DI CHINA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1303306/malaysia-rangkul-3-emas-sukan-memanah-berkuda-di-china

Thursday, December 18, 2025

TIADA MAKANAN, TIADA AIR BERSIH, TIADA UBAT UNTUK MANGSA BANJIR ACEH - HARIAN METRO - 18/12/2025

 

Kuala Lumpur: "Keadaan penduduk sangat teruk, tiada makanan dan air bersih apatah lagi ubat-ubatan," kata Ketua Lembaga Aceh Bersatu (LEMBATU), Tengku Munawar Spdi mengenai mangsa banjir dan tanah runtuh dahsyat yang berlaku di Aceh, Sumatera, Indonesia.

Sejak bencana banjir 'luar biasa' melanda 26 November lalu, hidup mereka masih ditemani kelaparan, kegelapan dan ketidakpastian terhadap masa depan.

Menurut Tengku Munawar, bencana melanda keseluruhan kawasan berkenaan hampir sebulan lalu itu disifatkan terburuk selepas bencana tsunami pada 2004.

Katanya, sehingga kini penduduk dihimpit kesusahan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman, malah terpaksa berlindung di masjid serta madrasah apabila kediaman mereka masih ditenggelami lumpur tebal.

"Ada antara mereka terpaksa berjalan sejauh lima hingga 10 kilometer semata-mata untuk mendapatkan sedikit beras.

"Lebih menyedihkan, anak kecil tidak mendapat makanan sehingga ada yang menangis tanpa henti dan akhirnya diam. Begitu juga ibu mengandung dan orang tua yang tidak mendapat ubat-ubatan," katanya dalam sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Tengku Munawar berkata, lapan sukarelawannya meninggal dunia dalam misi bantuan selepas menempuh perjalanan yang sukar termasuk mendaki untuk menghantar bantuan kepada mangsa bencana.

Katanya, apa yang menyukarkan keadaan untuk bantuan dihantar kepada mangsa adalah keadaan jalan yang masih berlumpur dan banyak kenderaan tertimbus.

Menurutnya, laluan turut dihalang kayu balak yang melintang dan tidak dapat dialihkan selain dengan bantuan jentera berat.

Justeru, beliau amat mengharapkan keprihatinan rakyat Malaysia untuk sama-masa membantu mangsa banjir di Aceh.

Sementara itu, Pengurus Kanan Harmoni Prihatin Malaysia, Siti Khadijah Hassan Berseri berkata, pihaknya sudah menggerakkan misi bantuan dengan dua siri bantuan dihantar ke lokasi membabitkan jumlah keseluruhan RM100,000.

Beliau berkata, misi pertama digerakkan pada 9 Disember lalu untuk mengenal pasti situasi dan jenis bantuan diperlukan diikuti penghantaran bantuan makanan serta air bersih dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Saya melihat sendiri keadaan di sana memang sangat dahsyat seakan 'pekan zombi'. Seluruh kawasan dan rumah penduduk ditenggelami lumpur berserta kayu selain mereka juga sudah terputus bekalan elektrik kerana pencawang turut dihanyutkan banjir.

"Paling kami risaukan adalah isu kebuluran sekiranya bantuan makanan dan minuman bersih tidak dapat disalurkan kepada mangsa," katanya yang akan meneruskan misi ketiga pada 31 Disember ini.

Usaha itu turut disokong Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang memaklumkan akan menarik lebih ramai NGO menyertai misi bantuan itu termasuk daripada kerajaan.

Terdahulu, AFP melaporkan setakat Selasa lalu, angka korban banjir di Sumatera dicatatkan pada 1,030 orang.

Artikel oleh: Harian Metro

TIADA MAKANAN, TIADA AIR BERSIH, TIADA UBAT UNTUK MANGSA BANJIR ACEH

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1301462/tiada-makanan-tiada-air-bersih-tiada-ubat-untuk-mangsa-banjir-aceh

Thursday, December 4, 2025

KENA BELASAH, KENA BOGEL DAN DIPAKSA MAKAN DAGING BABI - HARIAN METRO - 03/12/2025

 

Kuala Lumpur: Dibelasah dan dibogelkan antara penyeksaan yang terpaksa dihadapi seorang ahli perniagaan Malaysia selama sebulan yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Poipet, Kemboja, baru-baru ini.

Bukan itu saja, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 40, turut diberi makan daging babi sepanjang dipaksa bekerja sebagai 'scammer' di negara terbabit.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq bernasib baik apabila dilepaskan selepas isterinya membayar RM6,000 dan mengugut ejen sindiket pekerjaan itu untuk melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Berkongsi ceritanya, Muhammad Syafiq berkata, sebelum itu dia ditawarkan oleh rakannya yang sudah dikenali lebih 12 tahun peluang untuk membuka kedai makan di Kemboja.

Katanya, mengikut perancangan, mereka ke Kemboja untuk melawat lokasi tapak perniagaan itu.

"Kami bertolak dari Malaysia ke Bangkok, Thailand melalui laluan darat dan sepatutnya akan ke Kemboja dengan menaiki kapal terbang.

"Bagaimanapun, apabila tiba di Bangkok, pasport saya diambil rakan sebelum saya dibawa memasuki Kemboja melalui jalan tikus. Rupa-rupanya rakan yang saya kenali itu adalah ejen sindiket pekerjaan di sana.

"Sebaik tiba di Kemboja, saya dibawa ke blok bangunan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa bahagian keselamatan siber dari Singapura bagi memperdaya orang ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap hari dia dipaksa bekerja antara 10 hingga 12 jam untuk menghubungi lebih 250 nombor telefon yang diberikan.

Katanya, pada minggu pertama, dia dibelasah beberapa kali oleh pekerja yang lebih senior sebagai salam perkenalan dan untuk menimbulkan ketakutan.

"Ketika itu, saya hanya fikir sekiranya terus diseksa begini, mungkin saya akan mati di sini. Saya hanya mampu berdoa agar keajaiban berlaku.

"Mujurlah dengan usaha keras isteri, saya berjaya diselamatkan. Bagaimanapun sebelum dilepaskan, saya dibogelkan dan diminta memegang pasport sambil mereka merakam video serta dipaksa membuat pengakuan bahawa tindakan saya bekerja di sini adalah atas kerelaan hati," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berharap dengan pendedahan ini, pihak berkaitan termasuk kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara ini daripada terus berleluasa.

"Ini bukan benda main-main dan bukan masalah baharu. Perkara ini boleh terjadi kepada anak-anak, saudara mara dan kawan-kawan kita.

"Justeru itu, saya harap cerita ini menjadi pengajaran dan memohon semua pihak untuk bekerjasama, termasuk meletakkan tekanan di peringkat antarabangsa bagi membendung kejadian ini berulang," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

KENA BELASAH, KENA BOGEL DAN DIPAKSA MAKAN DAGING BABI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1295556/kena-belasah-kena-bogel-dan-dipaksa-makan-daging-babi

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL