Tuesday, March 3, 2026

BINA KEKUATAN MENTAL DAN ROHANI - HARIAN METRO - 01/03/2026

 

Kisah golongan muda yang terhimpit dengan kemiskinan, ketiadaan dokumen pengenalan diri serta janji bantuan yang tidak tertunai memperlihatkan beban emosi yang berat sehingga ada yang mengambil tindakan di luar jangka.

Menerusi konteks itu, Ramadan dilihat sebagai ruang muhasabah dan titik perubahan untuk membina semula kekuatan dalaman.

Wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN mendapatkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan untuk mengupas isu itu.

Bagaimana kita harus melihat tragedi sosial seperti tekanan hidup, isu kewarganegaraan dan kes bunuh diri dalam masyarakat hari ini?

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini amat menyedihkan, khususnya apabila melibatkan golongan muda yang tertekan akibat isu kewarganegaraan, kemiskinan dan tekanan hidup berpanjangan. Terdapat kes seorang pelajar yang tidak memiliki kad pengenalan kerana latar belakang ibu bapanya lalu berdepan tekanan emosi yang berat sehingga mengambil tindakan terjun bangunan.

Dalam keadaan sebegitu, bayangkan tekanan yang ditanggung makan pun susah, ibu sudah meninggal dunia, janji bantuan tidak ditunaikan, harapan berkecai sedikit demi sedikit.

Keadaan ini menuntut kita bermuhasabah. Kita mungkin tidak melalui kesusahan yang sama sekurang-kurangnya kita memiliki dokumen pengenalan dan asas kehidupan yang lebih stabil tetapi sejauh mana kita benar-benar peka terhadap penderitaan orang lain?

Persoalannya bukan sekadar simpati, tetapi apakah usaha konkrit yang kita lakukan untuk membantu.

Masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang saling menguatkan. Jika kita mahu orang lain sihat dari sudut mental dan sosial, kita sendiri perlu membina kekuatan dalaman serta budaya tolong-menolong yang konsisten.

Adakah dan suasana negara turut mempengaruhi masalah sosial serta kesihatan mental masyarakat?

Secara keseluruhannya, suasana negara dan wacana awam hari ini banyak tertumpu kepada isu rasuah, konflik politik dan pertikaian undang-undang.

Hampir setiap hari masyarakat dihidangkan dengan naratif negatif.

Sama ada di media sosial, kenyataan politik atau wacana agama, fokus sering berlegar pada kesalahan, hukuman dan kontroversi.

Apabila unsur positif seperti pembinaan budaya baik, pendidikan sosial harian dan nilai kehidupan asas kurang diberi perhatian, generasi muda hilang rujukan yang seimbang.

Pendidikan sosial bukan sekadar melalui ceramah, tetapi melalui contoh harian dan naratif yang membina.

Jika ruang awam dipenuhi pertelingkahan dan tuduh-menuduh, ia boleh memberi kesan psikologi yang mendalam kepada masyarakat.

Oleh itu, pembinaan budaya yang baik perlu menjadi agenda bersama, bukan hanya menyalahkan individu tertentu tetapi memperbaiki ekosistem sosial secara menyeluruh.

Bagaimana Ramadan boleh membantu membina disiplin dan menjauhkan diri daripada maksiat?

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga.

Dalam Islam, konsep pencegahan atau al-wiqayah lebih utama daripada rawatan.

Puasa ialah latihan pencegahan mendidik nafsu dan membentuk disiplin diri.

Allah SWT berfirman bermaksud, 'Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib), dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.'

Ayat ini menggabungkan aspek pemakanan yang halal dan baik dengan larangan mengikuti jejak langkah syaitan.

Ini menunjukkan bahawa budaya hidup, termasuk cara makan dan gaya hidup, boleh mempengaruhi kecenderungan manusia terhadap kebaikan atau keburukan.

Puasa mendidik manusia bukan sahaja meninggalkan perkara yang membatalkan puasa, tetapi juga menahan diri daripada dorongan hawa nafsu. Ia melatih disiplin yang sukar meninggalkan sesuatu yang halal pada waktu tertentu demi ketaatan kepada Allah.

Jika seseorang mampu menahan diri daripada makan dan minum, maka secara prinsipnya dia juga mampu menahan diri daripada maksiat dan tabiat buruk.

Ramadan menjadi medan latihan untuk membina kekuatan dalaman yang berterusan selepas bulan tersebut berakhir.

Apakah pembaharuan gaya hidup yang boleh diamalkan bagi meningkatkan kesihatan fizikal dan rohani?

Budaya makan berlebihan telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Kadangkala kita merasakan berdosa jika tidak makan ketika dijamu, sedangkan Islam menganjurkan kesederhanaan.

Sunah mengajar supaya berhenti sebelum kenyang. Puasa memberi peluang untuk reset cara hidup termasuk pola pemakanan.

Antara cadangan ialah memanfaatkan konsep pembersihan tubuh seperti autofagi yang berlaku apabila tubuh berpuasa dalam tempoh tertentu.

Jika sahur dilakukan lebih awal dan sekadar minum air pada waktu hampir Subuh, ia memberi ruang tubuh berehat lebih lama daripada proses pencernaan.

Selain itu, amalan mengambil makanan disebut dalam hadis seperti habbatussauda juga dikaitkan dengan manfaat kesihatan daripada sudut pencegahan.

Perubahan ini bukan sekadar kesihatan fizikal, tetapi persediaan menghadapi kemungkinan kesusahan masa depan sama ada krisis ekonomi, gangguan perdagangan atau kenaikan kos sara hidup. Individu berdisiplin dan sederhana lebih bersedia menghadapi cabaran berbanding mereka yang bergantung pada kemewahan dan berlebihan.

Bagaimana puasa ini mampu mengubah kehidupan?

Ramadan peluang membina semula diri memperbetulkan budaya hidup, menahan nafsu dan memperkukuh hubungan dengan Allah.

Jika latihan ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ia bukan sahaja membantu menjauhi maksiat, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih sihat dari sudut fizikal, mental dan spiritual.

Artikel oleh: Harian Metro

BINA KEKUATAN MENTAL DAN ROHANI

https://www.hmetro.com.my/utama/2026/03/1328047/bina-kekuatan-mental-dan-rohani

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL