KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu di sebuah kompleks beli-belah di sini yang didakwa menghina Islam apabila poster dalam acara itu dikatakan mempromosi gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Himpunan membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak wanita termasuk sebuah parti politik berarak bersama lebih 150 orang peserta hadir dengan memakai pakaian hitam sebagai simbol solidariti terhadap isu hak wanita dan keadilan sosial.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata hingga kini tiada ulasan berkenaan segelintir gelagat peserta perhimpunan itu.
"Tiada komen dan permohonan maaf daripada penganjur terhadap perhimpunan yang dilaksanakan.
"Pelbagai sepanduk yang dinaikkan berunsur tidak sopan, menghina agama kita dan meletakkan pentafsiran kitab suci al-Quran yang telah disalah tafsirkan dengan sebegitu teruk sekali.
"Ini dilakukan oleh golongan yang menyokong dan mempromosikan LGBT, malah menganggap diri mereka sebagai minoriti di negara ini," katanya dalam sidang media, hari ini.
Nadzim meluahkan rasa kecewa apabila perhimpunan berkenaan dijaga oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun tiada tindakan diambil ketika itu.
Dalam pada itu, Nadzim menyeru supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Institusi Raja Berperlembagaan dan PDRM untuk bertindak serta menjalankan siasatan.
Tambah Nadzim, negara mempunyai undang-undang dan perlembagaan yang sudah tertakluk di mana perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia.
"Nombor satu adalah apa sahaja aktiviti yang ingin dibuat perlu mengikut undang-undang dan perlembagaan yang ditetapkan.
Jadi setiap rakyat kena faham apa yang sudah tertakluk untuk mengekalkan kemakmuran dan keharmonian negara," katanya.
Turut hadir di sidang media Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair dan Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan serta Pegawai Tugas-Tugas Khas Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid.
Artikel oleh: Berita Harian
NGO DIDAKWA PROMOSI LGBT DALAM HIMPUNAN HARI WANITA

No comments:
Post a Comment