PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkenalkan dasar baharu bagi menangani tekanan kenaikan kos bahan mentah yang semakin membebankan pengusaha restoran.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga barangan mentah sehingga 30 peratus ketika ini memerlukan satu anjakan paradigma melibatkan peniaga dan pengguna secara menyeluruh.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan makanan di samping mengawal pembaziran yang dilihat semakin berleluasa.
“Pengusaha restoran dan masyarakat juga perlu dididik secara serius agar mempraktikkan budaya bersyukur dan antipembaziran. Restoran ‘mamak’ sangat sinonim dengan masyarakat kita, namun pengusaha sendiri perlu mendidik pelanggan mereka.
“Penggunaan bahan mentah secara berlebihan dalam penyediaan makanan dan minuman bukan sahaja meningkatkan kos operasi malah memberi kesan kepada kesihatan pengguna.
“Trend penyediaan minuman bersusu dengan kuantiti susu yang tinggi sering menyebabkan pembaziran apabila tidak dihabiskan pelanggan. Amalan memesan minuman dalam kuantiti separuh perlu dijadikan budaya baharu demi menjimatkan kos operasi harian peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengakui telah terkesan dengan kenaikan kos operasi industri makanan dan minuman dengan peningkatan harga barangan dianggarkan antara 10 hingga 30 peratus susulan tekanan global.
Selain itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia juga menjangkakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50 peratus berikutan kenaikan kos minyak dan operasi.
Nadzim dalam pada itu turut mencadangkan lebihan makanan diproses menggunakan teknologi pembungkusan retort yang mampu memanjangkan jangka hayat makanan sehingga dua hingga tiga tahun.
“Makanan tersebut boleh dijual semula pada harga lebih rendah atau diagihkan secara sistematik kepada golongan memerlukan, berbanding kaedah sedia ada yang sering berakhir sebagai sisa buangan,” katanya.-UTUSAN.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PERLU DASAR BAHARU TANGANI TEKANAN KOS MAKANAN
https://www.utusan.com.my/berita/2026/03/perlu-dasar-baharu-tangani-tekanan-kos-makanan/

No comments:
Post a Comment