Monday, June 22, 2026

RUMAH TERGADAI KERANA ALONG - HARIAN METRO - 20/06/2026

 

Kuala Lumpur: Pinjam along, harta tergadai. Itu yang terjadi kepada lebih 100 mangsa sindiket membabitkan nilai kerugian lebih RM50 juta sejak lima tahun lalu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, aktiviti haram itu didalangi sindiket terdiri daripada pengamal undang-undang, penjawat awam serta along yang 'bekerjasama' untuk mengambil alih aset milik mangsa.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 100 aduan dengan modus operandi yang sama apabila dokumen perjanjian dimanipulasi bagi tujuan penukaran hak milik.

"Tidak masuk akal apabila ada juga koperasi yang menawarkan pelaburan emas meminta pelabur meminjam along sebagai syarat.

"Sudahlah begitu, wang yang dipinjam itu masuk ke akaun koperasi dan peminjam diminta menyerahkan Perjanjian Jual Beli sebagai formaliti urusan terbabit.

"Tidak lama kemudian, semakan mendapati, aset seperti hartanah dan rumah ini sudah bertukar ke nama orang lain yang tidak dikenali. Kita terima banyak kes seperti ini," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, antara elemen 'tak masuk akal' lain termasuklah urusan pertukaran hak milik dilakukan di luar waktu pejabat selain nilai belian jauh di bawah harga pasaran.

Memberikan contoh kes di ibu negara, beliau berkata, ada hartanah bernilai RM4 juta dipindah milik secara salah untuk perolehan pinjaman tidak sampai RM1 juta.

Menurutnya, dalam kes tertentu, sindiket turut menggunakan dokumen dipercayai palsu untuk mengambil keuntungan ke atas mangsa.

"PPIM mendapati, ada juga individu berpengaruh di belakang kegiatan ini dan rangkaian ini aktif sejak lebih lima tahun lalu.

"Apa yang membimbangkan, ada pengadu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada yang jatuh sakit kerana terlalu memikirkan mereka sudah hilang harta benda.

"Kita akan bawa isu ini kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail serta Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

RUMAH TERGADAI KERANA ALONG

https://www.hmetro.com.my/utama/2026/06/1372575/rumah-tergadai-kerana-along

AKTIVITI | SIRI MINGGU KE-56: BERKEBUN DI KEBUN BANDAR VILLA PUTERI – PPIM - 20/06/2026

Selain berfungsi sebagai lokasi pertanian bandar, Kebun Bandar Villa Puteri (KBVP) turut menjadi platform pertemuan dan perkongsian ilmu yang menarik minat pelbagai pihak untuk berkunjung dan mengadakan sesi perbincangan.

Pada minggu ini, KBVP menerima kunjungan Dato' Ali Maju yang singgah melawat kebun serta beramah mesra dan berbincang bersama pelajar-pelajar UiTM. Seperti kelaziman, maskot kesayangan KBVP, Toqqi, turut menceriakan suasana.

KBVP juga mengalu-alukan kehadiran ahli baharu dari Sudan, iaitu Pn. Muna.

Antara tarikan istimewa pada kali ini ialah sajian makanan tradisional Sudan yang disediakan sendiri oleh Pn. Muna. Beliau amat menitikberatkan aspek pemakanan sihat dan kesihatan dalam kehidupan seharian.

Pn. Muna turut menyediakan minuman kesihatan yang popular di negaranya, iaitu air bunga raya tanpa gula, yang terkenal dengan khasiat dan kesegarannya.

Selain hidangan dari Sudan, turut disajikan menu istimewa tempatan seperti ubi rebus, sambal ikan bilis dan lempeng, yang menambahkan lagi kemeriahan suasana di KBVP.

Pertemuan santai seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah membuka ruang kepada perkongsian budaya, pengalaman dan ilmu yang bermanfaat kepada semua.

Friday, June 19, 2026

AKTIVITI | LAWATAN TAPAK MAIWP KE KEBUN BANDAR VILLA PUTERI - PPIM - 19/06/2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima kunjungan lawatan tapak daripada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Kebun Bandar Villa Puteri.

Agenda utama lawatan tersebut adalah untuk:

  • Meninjau perkembangan aktiviti pertanian komuniti.
  • Meneroka potensi pembangunan projek.
  • Memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama komuniti setempat.

AKTIVITI | MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN RESTORAN SHAM BEST BUTCHER - PREMIUM KITCHEN - PPIM - 13/06/2026

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi mengahdiri jemputan Majlis Perasmian Pembukaan Restoran Sham Best Butcher - Premium Kitchen.

AKTIVITI | PERJUMPAAN BERSAMA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UITM PUNCAK ALAM - PPIM - 13/06/2026

Perjumpaan dan Perbincangan dengan YDP Tuan Raif Hanafi Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan UITM PUNCAK ALAM Majlis Perwakilan Pelajar di Kebun Bandar Villa Puteri.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL