Kuala Lumpur: Pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang berkuat kuasa semalam, mampu memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, langkah kerajaan mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar bagi mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Menurutnya, ia dilihat sebagai dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda susulan kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat.
"PPIM berpandangan pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sebagai satu perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.
"PPIM turut menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, PPIM berkata, keselamatan data peribadi pengguna mesti dilindungi dalam pelaksanaan pengesahan umur di media sosial.
"PPIM juga menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak.
"Sehubungan itu, PPIM berharap pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM YAKIN SYARAT PENGESAHAN UMUR BUKA AKAUN MEDIA SOSIAL MAMPU PERKUKUH KESELAMATAN DIGITAL

No comments:
Post a Comment