Kuala Lumpur: Pinjam along, harta tergadai. Itu yang terjadi kepada lebih 100 mangsa sindiket membabitkan nilai kerugian lebih RM50 juta sejak lima tahun lalu.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, aktiviti haram itu didalangi sindiket terdiri daripada pengamal undang-undang, penjawat awam serta along yang 'bekerjasama' untuk mengambil alih aset milik mangsa.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini pihaknya menerima lebih 100 aduan dengan modus operandi yang sama apabila dokumen perjanjian dimanipulasi bagi tujuan penukaran hak milik.
"Tidak masuk akal apabila ada juga koperasi yang menawarkan pelaburan emas meminta pelabur meminjam along sebagai syarat.
"Sudahlah begitu, wang yang dipinjam itu masuk ke akaun koperasi dan peminjam diminta menyerahkan Perjanjian Jual Beli sebagai formaliti urusan terbabit.
"Tidak lama kemudian, semakan mendapati, aset seperti hartanah dan rumah ini sudah bertukar ke nama orang lain yang tidak dikenali. Kita terima banyak kes seperti ini," katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, antara elemen 'tak masuk akal' lain termasuklah urusan pertukaran hak milik dilakukan di luar waktu pejabat selain nilai belian jauh di bawah harga pasaran.
Memberikan contoh kes di ibu negara, beliau berkata, ada hartanah bernilai RM4 juta dipindah milik secara salah untuk perolehan pinjaman tidak sampai RM1 juta.
Menurutnya, dalam kes tertentu, sindiket turut menggunakan dokumen dipercayai palsu untuk mengambil keuntungan ke atas mangsa.
"PPIM mendapati, ada juga individu berpengaruh di belakang kegiatan ini dan rangkaian ini aktif sejak lebih lima tahun lalu.
"Apa yang membimbangkan, ada pengadu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ada yang jatuh sakit kerana terlalu memikirkan mereka sudah hilang harta benda.
"Kita akan bawa isu ini kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail serta Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk tindakan lanjut," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
RUMAH TERGADAI KERANA ALONG
https://www.hmetro.com.my/utama/2026/06/1372575/rumah-tergadai-kerana-along

No comments:
Post a Comment